24 Disember 2017

O'Bike Belum Sesuai Di Malaysia



Masih ingat catatan aku tentang O'Bike? Sewaktu diperkenalkan, aku cukup teruja walaupun kemudian endorfin aku tak dirembes lagi disebabkan kena ada akaun prabayar.

Apapun ini adalah eksperimen sosial yang baik. Lebih-lebih lagi untuk diperkenalkan di negaraku tercinta.

Apabila terjumpa O'Bike yang satu ditinggalkan depan masjid ini, aku tersenyum. Harap-harap nanti ada laporan penuh projek O'Bike ini.


13 Disember 2017

Blue Ocean Shift: Beyond Competing (Siri 2)



Revolusi Perindustrian 4.0 adalah fasa bertemu Dajjal. .

Anda akan lebih takut jika mendengar ucapan Dr. Michio Kaku tadi dan hubungkan dengan kuliah akhir zaman Ustaz Auni.

Cuma ketakutan itu tak bermakna andai kita menjauhkan diri. Bukankah kita diajar walaupun esok kiamat, teruskan tanam benih di tangan.

Benih apa? 
Pendidikan.

Hanya yang berterusan menjadi konsumer akan mudah diperbodohkan. Lebih-lebih lagi tak ambil tahu dan melarang yang lain ambil tahu.

Dr. Michio berkata "we will have the power of Greek God" dan berkali-kali sebut, "we want to read the mind of God". Bunyi seperti Dajjal bukan?

Ustaz Auni pernah menyebut tentang HAARP yang boleh mengawal cuaca dunia. Kemarau boleh berubah sekelip mata menjadi hujan lebat. Ia juga disebut sebagai "weaponizing weather". Bunyi seperti kuasa Dajjal bukan?

Kalau kita dan waris kita dibekalkan dengan pendidikan yang benar, itulah benih penyelamat.

Pesan Dr. Michio tadi, pendidikan harus menekankan soal pemahaman konsep dan prinsip berbanding penghafalan. Ahli politik patut beri banyak ruang dan galakan kepada usahawan. Ini aku setuju.

Pendidikan yang betul melahirkan ide keusahawanan yang lestari. Dengan sains dan teknologi, industri keusahawanan mampu melonjakkan status sosial.

Jika diteliti sejarah Kordoba, teras keunggulan sains dan teknologi banyak berdasarkan falsafah Barat yang dijernihkan oleh tapisan agama.

Pendidikan betul bagi kita umat Islam ialah menjalin-gabung ilmu sains dengan teras agama untuk solusi yang praktikal.

Dalam hal ini, Prof. Sohail patut kita ketengahkan di negara kita. Lembah Silikon tak patut dijadikan model Maliziy. Anak watan perlu desain sendiri masa depan mereka dalam Revolusi Perindustrian 4.0.

12 Disember 2017

Blue Ocean Shift: Beyond Competing (Siri 1)



Hampir kesemua ahli panel menceritakan kepayahan memulakan perjalanan menuju kejayaan.
Dan mereka semua terinspirasi daripada idea 'Blue Ocean' Prof. Kim dan Prof. Mauborgne seawal 30 tahun lalu.

Daripada persaingan, mereka berubah mencari keunikan tanpa perlu bersaing. Agar kejayaan menjadi milik ramai tanpa menjatuhkan sesiapa.

Mereka akui sebenarnya mereka telah menyeberang Lautan Biru tanpa sedar. Kebanyakannya secara organik lahir daripada cetusan pemikir yang ingin berubah. Buku kedua-dua profesor ini datang kemudian, namun mempercepatkan proses.

Jadi aku terfikir, apakah perubahan menerusi institusi akan lebih berkesan? Kita tunggu dan lihat.

Aku suka dengan kata penutup daripada Prof. Mauborgne.

"Kita bukan sibuk mencari kekayaan atau kuasa. Kita melakukan ini semata-mata ingin membawa perubahan dalam hidup masyarakat."

Perubahan yang memanfaatkan masyarakat, bukan demi diri sendiri. Prof. Mauborgne sebak dalam menyatakan ayat ini. Tentulah ia datang dari hati seorang yang mahu memanfaatkan diri buat yang lain.

The humanness

01 Disember 2017

Maulidurrasul Penting di Pulau Kokos






Sambutan Maulidurrasul itu sangat penting khususnya apabila kita berada di negara asing. Dalam acara yang menaikkan syiar begini, dapat mengukuhkan persaudaraan dan menambah nilai syariat.

Pagi ini kami berarak keliling kampung. Selepas berarak, ada bacaan Quran sebelum diteruskan dengan selawat, zikir dan berzanji. 





Sewaktu aku menyampaikan ceramah seperti yang dipinta Persatuan Islam Pulu Cocos (PIPC), aku mulakan dengan cerita persamaan orang Somaliland dengan Melayu Kokos. Kitab berzanji mereka sama. Ada alunan selawat dan zikir dengan irama yang tersendiri. Kitab ini juga dapat dilihat di Johor.

Sesudah ceramah, mulalah nasyid oleh anak muda. Kemudian kita makan ramai-ramai. Sudah menjadi adat kampung, apabila ada majlis, masing-masing membawa makanan. Jadi, pilihan makanan yang dihidang kepada penduduk begitu banyak. Dikira-kira secara kasar tadi lebih kurang 60 bekas.




Semangat kerjasama yang dapat dilihat sesama orang kampung ini yang membuatkan aku rindu pada zaman kanak-kanak. Serupa dengan keadaan masyarakat kita zaman 80-an dahulu.

Dari susun kerusi, pasang khemah, bakar sosej/daging, buat air, dan sebagainya dibuat bersama. Jarang sekali dapat dengar orang marah-marah, asyik ketawa saja. Sama juga macam orang orang Somaliland.

Ada tiga orang putih ikut serta tadi. Apabila ke Pulu Selma (Home Island), orang putih yang biasanya berpakaian tak cukup kain pasti mengenakan pakaian lebih sopan. Aku tak sempat rakamkan gambar mereka berbaju batik.

Wahai saudaraku sekalian, mereka ini adalah saudara kita. Duduk di sebuah pulau terpencil, namun kecintaan pada agama itu tinggi. Dengan ilmu yang sedikit, mereka mahu beramal.

Sempena Maulidurrasul ini, ambillah kesempatan meneliti diri ini supaya kembali menyuburkan kasih sayang. Alangkah indahnya hidup berkasih sayang. Lebih-lebih lagi andai saudaraku berada di Kokos.

Pasangan suami isteri cukup romantis walaupun sudah tua. Anak muda hormati yang tua, orang tua sayangi yang muda. Semoga Allah pelihara pulau ini dengan iman dan taqwa yang kuat di kalangan penduduknya.

13 November 2017

Board Game Haram Dimain?



Aku teringin ikut serta 'board game camp' baru-baru ini tapi apakan daya tahap kesihatan belum pulih sepenuhnya. Jadi, aku pun sibukkan diri mencari info sikit tentang hal ini.

'Board game' rupa-rupanya pernah popular di kalangan masyarakat Islam bagi menggantikan permainan dadu dalam budaya Arab yang berbaur perjudian. 'Board game' yang dimaksudkan ialah catur.

Eropah baru mengenali permainan catur setelah diperkenalkan oleh umat Islam yang berjaya membuka Sepanyol dalam kurun ke-8. Sedangkan catur dah biasa dimain orang Islam.

Gambar di atas ini ialah set catur Iran kurun ke-12 yang dipamerkan di Muzium Metropolitan New York. Permainan asal India ini diperkenalkan kepada Arab menerusi Parsi.

Sesetengah ulama' mengharamkan permainan ini kerana leka sampai tak tunaikan solat. Bukan catur saja, apa jua permainan pun boleh jadi haram kalau bermain sampai tinggal solat.

Tak sangka pula sukan Polo kuda juga popular di zaman Abbasiyyah sekitar tahun 750. 'Flight Archery' pun sangat popular apabila pertandingan dibuat untuk melihat pemanah yang dapat mengena sasaran dalam jarak paling jauh. Tak lupa juga dengan pertandingan sajak/syair yang dipersembahkan depan khalayak dengan iringan muzik.

Pendek kata, sarjana Islam zaman pertengahan Islam tak larang pun bermain. Al-Ghazali sendiri pernah menyatakan bahawa melarang anak-anak daripada bermain dan hanya menumpukan pada belajar hanya akan mematikan hatinya, menumpulkan pemikirannya dan memberatkan hidupnya.
Kelak, dia akan mengular daripada datang belajar.

Apabila sebut tentang 'board game', aku dan kawan-kawan pun belilah satu board game itu namanya Splendor. Permainan ini bagus untuk mereka yang hendak berjinak-jinak dengan 'board game'. 

Image result for splendor board game


Permainan ini mengajak kita berfikir secara strategik bagaimana untuk melombong hasil bumi yang dijadikan barang dagangan. Kalau nak tahu sejarah penciptaan permainan SPLENDOR ini, boleh baca di Wikipedia.

Bagi orang Melayu, bermain 'board game' adalah suatu yang janggal tapi percayalah jika kamu sudah mula bermain, baru kamu tahu nikmatnya. Betapa berfikir untuk buat perancangan itu penting dalam hidup. Permainan hanya untuk mengasah minda kita sahaja.

Image result for splendor board game

Kalau nak beli boleh KLIK DI SINI sebab Lazada pun dah ada jual sekarang ini. Kalau nak mencuba dulu, komen saja di bawah dan kita set masa untuk bermain di tempat aku. Nak best biar cukup 4 orang.

Ada banyak lagi permainan yang menarik untuk menguji minda bahkan untuk meningkatkan daya kerjasama dalam kumpulan. Elok juga dimain di pejabat untuk tambahkan sinergi para pekerja. Bagi kanak-kanak, mereka juga boleh jadi bijak matematik dan dapat mengasah KBAT mereka. Kalau memang dah berminat, aku boleh perkenalkan dengan komuniti pemain MAINAN GEROTA ini. 

Hah, baru tahu kan nama BOARD GAME dalam Bahasa Melayu ialah MAINAN GEROTA.



09 November 2017

Jarang Dengar Ibnu Sina Cakap Pasal Pendidikan



Ibnu Sina telah berikan garis panduan pendidikan anak-anak selain berkongsi kehebatan ilmu kedoktorannya. Hal ini jarang diketengahkan.

Apabila umur anak mencecah 6 tahun, dia patut dihantar ke maktab (sekolah rendah) sehingga umur 14 tahun. Pada permulaan pembelajaran, tiga perkara asas patut diajarkan iaitu:

1- Al-Quran 
2- Membaca dan menulis
3- Asas keimanan (ma'alim ad-din)

Tambah menarik, prinsip pedagogi telah diperkenalkannya. Guru hendaklah menulis di hadapan apa yang hendak diajarkan, dan minta murid menulisnya kembali. Latihan begini akan membuatkan anak mudah belajar apabila dibiasakan melihat apa dan bagaimana guru menulis dan menerangkannya.

Ibnu Sina juga berpendapat pendidikan anak-anak perlu disulami dengan ilmu syair. Ada empat sebab disuruh belajar ilmu kesusasteraan ini:

1- Kosa kata dan gaya bahasa yang tersusun mampu menguatkan daya fikir anak-anak untuk menyerap konsep dan pemikiran yang lebih kompleks kelak.

2- Menajamkan kemahiran bertutur dengan baik menggunakan istilah yang tepat dengan nada dan gaya bersesuaian.

3- Syair akan membiasakan anak untuk menghargai nilai-nilai murni kemanusiaan dan ketinggian ilmu yang patut disanjung dan dipelihara.

4- Membaca syair adalah satu pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan buat pembaca dan pendengar.

Setelah anak mencapai umur 14 tahun, dia akan memasuki fasa kedua persekolahan. Untuk peringkat ini, tiada set khas bilakah dia patut 'graduate' kerana ia fleksibel.

Peringkat ini anak-anak patut diajar bidang khusus yang dia minati. Dia berhak memilih bidang penulisan, kemahiran manual, sastera, dakwah, perubatan, binaan, perniagaan, pertukangan atau apa jua subjek dan bidang yang dia minati untuk dijadikan kerjaya dalam hidupnya.

Peringkat ini juga disebut sebagai proses transisi menuju kerjaya yang diinginkan. Dalam proses ini perkembangan emosi dan pemilihan subjek adalah amat penting diambil peduli oleh ibubapa.

Komunikasi dan perdebatan anak-anak sesama rakan sebaya adalah sangat bermanfaat buat minda anak-anak dan membantunya mencari solusi terbaik kelak.

Jom gali lebih banyak lagi tinggalan ilmuwan silam!
Edit

12 Oktober 2017

Bekas Penagih Elok Dibentur KOMITED




Semalam ditemukan dengan abang Khalid, pengasas KOMITED (Komuniti Intervensi Dadah Malaysia). NGO yang digerakkan oleh bekas penagih yang cukup komprehensif - pendekatan pencegahan, rehabilitasi dan pembangunan. 

Telah mendirikan 26 'one stop centre' seluruh Malaysia - rumah untuk lelaki, perempuan dan kanak-kanak berasingan lagi percuma. 

Bergerak bawah radar tetapi sangat efektif mengubah hidup penagih. Berpusat di Pahang. Baru menerima tugas mendidik masyarakat Keramat berkenaan dadah akibat kes kebakaran madrasah baru-baru ini. 

Mahu nombor perhubungannya, PM aku. Ceramahnya sangat menarik untuk menjauhkan diri daripada terjebak dadah. Drop out graduate ini hidup bawah jambatan 23 tahun sebelum kembali ke jalan lurus. Kini katanya dia mahu bayar hutang kepada masyarakat.

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular