Gambar Hiasan |
Ingatkah lagi zaman kanak-kanak kita? Kalau dikenang-kenang, era itu aku langsung tak kenal perkataan 'seks'. Ia dianggap tabu oleh masyarakat zaman itu.
Perubahan mulai berlaku pada 1997/1998 apabila kanak-kanak mula didedahkan dengan perkataan 'seks'. Bukan ilmu biologi berkenaan seks tetapi lebih fokus kepada seks sonsang.
Sedikit demi sedikit, penerimaan penggunaan perkataan itu mula meluas. Sehinggakan di Jalan TAR, jualan kuih 'batang buruk Azizan' laris dibeli menjelang Aidilfitri. Hairan juga aku dibuatnya sebab nama jijik berunsurkan seks dapat melariskan jualan.
Barangkali orang dewasa arif tentang seksologi pada waktu itu hinggakan perkataan berkaitan seks itu boleh dijadikan bahan gurauan tanpa sebarang impak negatif.
Cuba bayangkan pada waktu itu, kanak-kanak yang jahil ilmu seksologi sentiasa berada dalam lingkungan sebegitu. Apakah mereka memahami seks dengan cara yang betul?
Aku berpendapat tidak. Orang-orang tua bercakap sambil ketawa. Mungkin difikirkannya seks itu main-main. Media massa pula menonjolkan seks pada erti yang songsang saja - liwat - satu lagi perkataan baru dalam kamus hidup mereka.
Saban hari pendedahan demi pendedahan diceritakan satu per satu kepada khalayak. Sebagai kanak-kanak, semangat inkuiri semakin meningkat. Lantas usaha pencarian makna sebenar semakin bertambah.
Orang tua masih berasa malu untuk menceritakan ilmu seksologi kepada anak, lalu dikatakan, "Diam, nanti dah besar kau fahamlah." Jadi, si anak pun bertanyakan kawan dan mencari bahan bacaan tambahan.
Nah, silap-silap mereka lebih mudah tertarik dengan grafik visual paparan media dan internet berbanding teks yang menghuraikan ilmu seksologi.
Kanak-kanak zaman kini lebih hebat kemahiran berkomputer. Tak perlu lagi tanya ibubapa, terus saja tanya Pakcik Google. Jika yang bising dalam masyarakat ialah seks, liwat atau lucah; taip saja perkataan-perkataan ini, tentu Pakcik Google dapat jawabkan.
Sayang seribu kali sayang. Satu perkataan itu saja akan mendedahkan bukan saja perkataan, bahkan gambar dan video dari seluruh dunia mengenainya. Jika di Malaysia sibuk tentang video lucah ahli politik kononnya, ada lebih banyak pelakon yang lebih handal dari itu.
Gambar Hiasan |
Berita hari ini mungkin berbeza. Sedutan klip video lucah masih cuba ditayangkan dalam berita. Ia bagaikan panggilan kepada semangat inkuiri kanak-kanak untuk mencari-cari video penuhnya. Kesibukan itu akan memonopoli pemikiran mereka berbanding pengetahuan am yang lain.
Aku masih teringat pada tahun 2001, aku ditugaskan memberi motivasi di sebuah sekolah rendah agama. Sebaik saja masuk aku ingin mulakan dengan kisah Nabi kepada anak-anak berusia 11 tahun itu.
Tapi apa yang mengejutkan aku, anak-anak kecil ini menjerit-jerit berkata, " Abang, ceritalah pasal seks." "Abang, bosanlah cerita Nabi.. cerita politiklah." "Abang, cerita pasal perempuan bogel lah.."
Sekarang tahun 2011. Aku tak dapat bayangkan bagaimana pula realiti anak-anak Generasi Z ini. Jika perlu tonjolkan ilmu seksologi kepada umum, biarlah tonjolkan kepentingan menjaga diri daripada terjebak maksiat dan hubungan liar.
P/S: Di China, kerajaan melarang akses kepada sebarang informasi berunsurkan seks
1 ulasan:
bagus pulak kerajaan china ni
Catat Ulasan