25 Oktober 2010

Penyaksian kelahiran suatu keinsafan

Isteriku sudah pun dimasukkan ke wad pagi tadi untuk kelahiran permata hati kami yang pertama. Jika dihitung menurut kebiasaan, anak kami dijangka melangkah ke alam dunia ini 16 Oktober lepas.


Hari ini sudah lajak 9 hari isteriku menanti kelahirannya tapi masih tiada tanda-tanda kelahiran. Konon nak dapatkan 20.10.2010, Allah tak izinkan. Sudah tentu ada hikmahnya.

Hikmahnya banyak sebenarnya kerana banyak urusan aku pada waktu itu perlu diselesaikan. Sama juga dengan ahli keluargaku sendiri dan keluarga mertua. Alhamdulillah penangguhan itu menyelesaikan banyak perkara lain.

Risau juga melihat keadaan isteri yang tidak memperlihatkan tanda-tanda kelahiran akan tiba. Mujur ada rakan-rakan dan orang lain yang memaklumkan pengalaman mereka melahirkan anak menjangkau tarikh jangkaan. Kiranya keadaan yang dialami isteri adalah normal.

Isteriku terpaksa aku tinggalkan di hospital buat sementara kerana polisi yang tidak membenarkan aku menemannya. Sewaktu menziarahinya bersama keluarga, kamar sebelahnya dihuni seorang makcik yang sedang mengerang kesakitan untuk melahirkan anaknya yang kelima tidak lama lagi.

Ya Rabbi, barulah tampak di mataku betapa sakitnya melahirkan anak. Itu pun masih belum dilahirkan, emaknya sudah tak tertanggung derita. Bertambah sayu di hati apabila suaminya tiada di sisi kerana urusan kerja.

Kata ibu, suami perlu berikan sokongan kepada isteri pada saat-saat begini. Sakitnya sukar digambarkan apabila anak semakin rapat menuju ke rongga rahim yang semakin terbuka.

Alangkah ruginya andai kita tak dapat menyaksikan kelahiran ini. Tangisan pertamanya memadamkan segala derita yang dialami sebelum ini oleh sang ibu. Sudah pasti dengan penyaksian ini, kita tak mungkin bisa membuatkan ibu menangis pula kerana keangkuhan kita.

Itulah yang kuharapkan pada esok hari. Untuk menyaksikan kelahiran ini. Untuk kukhabarkan pada alam akan kekagumanku terhadap kehebatanNya. Untuk kuceritakan pada diri tentang sehelai kain putih yang perlu dijaga sebaik mungkin. Untuk kusematkan dalam sanubari akan beban pendidik yang menuju jalan abadi.

7 ulasan:

Akak Kembang berkata...

Suhail..selamat menjadi ayah..doa kak lin semoga selamat semuanya..tak sabar nak nengok anak suhail..

Tanpa Nama berkata...

mudah-mudahan isteri anda selamat melahirkan. saya berdoa agar ibu dan anak selamat. banyakkan bergantung pada-Nya dan ingatlah doa suami amat diperlukan saat isteri ingin melahirkan. pohon agar Allah memudahkan segalanya. insyaAllah segalanya akan berakhir dengan indah. moga-moga anak yang bakal lahir menjadi anak yang soleh yang mampu berbakti untuk agama serta orang tuanya kelak. Amin

Liz berkata...

suhail, cuba minta izin doktor utk temankan isteri sewaktu bersalin nanti. skrg pun, kebanyakan hospital kerajaan dan swasta memberi peluang kepada bapa utk menemani isteri kerana kehadiran bapa dlm bilik bersalin terbukti boleh mengurangkan stress si ibu.

pengalaman tu mmg boleh menginsafkan semua org termasuk bapa yg akan melihat bagaimana susahnya isteri melahirkan anak.

semoga semuanya selamat.

nadmin berkata...

betul suhail,
perlu berada di sisi isteri untuk memberi semangat dan sokongan..
menyaksikan saat melahirkan,
menimbulkan keinsafan dan menjadikan kita lebih syg dan menghargai isteri dan ibu kita..

saat menyambut anak pula, saat itu baru kita benar2 memahami kasih sayang ibu dan ayah kita..

dan ada pepatah Arab:
"mereka yang belum punya anak, belum merasai kemanisan hidup..dan mereka yang sudah punya anak takkan merasai lagi kerehatan hidup"

tapi tak apa, kemanisan itu akan mengatasi segalanya..

Semoga semuanya berjalan lancar..amin..

twayblade berkata...

sejujurnya, semua lelaki wajib saksikan proses kelahiran anak mereka secara live, bukan hanya di youtube semata2. agar timbul rasa insaf, kekaguman, tanggungjawab, kasih sayang, kemaafan dan paling penting, peri kemanusiaan.

congrats in advance to both of you. ciumlah puas2 baby tu nanti, sbb nanti dia dah besar, bau dah masam tak bes dah nak cium hahahaha.

Tanpa Nama berkata...

Hey, I can't view your site properly within Opera, I actually hope you look into fixing this.

Sahalfikri berkata...

Kak Lin: Terima kasih kak. Seronok jadi ayah :)

Anon: Pesanan yg cukup baik untuk dituruti. Terima kasih.

Liz: Alhamdulillah, aku dpt temankan isteri di dewan bersalin. Memang menginsafkan.

Nadmin: Aku suka penghujung pepatah arab tu. Memang betullah, itu cara tarbiyah Allah kpd kita utk menghadapi cabaran lebih besar slp ini agar kita mnjadi org yg sabar.

twayblade: Memang seharusnya semua anak tidak menderhakai ibubapa khususnya apabila menyaksikan keperitan melahirkan kita. Sang ayah dan ibu sama2 akan lebih menghargai ibunya selepas itu.

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular