28 Oktober 2010

Kelahiran itu mengetuk pintu hati


Pada pagi Selasa, isteriku mula mengalami kontraksi. Riang tawanya yang biasa kedengaran kini tiada lagi. Inilah kali pertama aku melihat isteri menahan kesakitan hingga mengalirkan airmata.

Pesan ibu, saat ini aku seharusnya genggam tangannya, gosokkan belakang badan dan usap dahinya. Walaupun kesakitan yang amat perit itu tetap dirasai, tindakan suami tadi mampu menjadikannya lebih tabah dan sabar.

Kesakitan yang dialaminya pada jam 8.30 pagi itu datang setiap lima minit. Setiap kali datang, berkerut dahinya menahan kesakitan. Makanan yang aku bawa sedikit pun tak dapat dijamahnya. Doktor yang datang sebelumku memaklumkan bukaan rahim sudah mencapai tiga sentimeter.

Jika tiada perkembangan atau bukaan terlalu lambat sehingga jam 1 tengahari, doktor akan masukkan air untuk mempercepatkan kelahiran. Ramai mendakwa proses ini lebih sakit daripada kelahiran normal. Aku berasa kasihan padanya.

Air zam-zam yang dibekalkan ayah sudah pun kubuatkan menjadi air selusuh semalam menurut pesanan Dr Harun Din dalam bukunya Doa merawat penyakit (siri 1). Aku harapkan kelahiran normal dan dipermudahkan. Dan apa yang aku perasan, kontraksi mula berlaku hanyalah selepas meminum air itu.

Jadi, aku suruhnya minum lagi. Tambah pula mak pun ada bawa sebotol air zam-zam sebagai tambahan. Tak lama selepas itu, isteriku menyuruhku memanggil doktor, dia sudah tak tertahan untuk meneran. Doktor minta tunggu sekejap sementara menunggu kekosongan di dewan bersalin.

Ya Allah, risaunya aku kalau-kalau anak dilahirkan di wad. Dalam kerisauan itu, aku sempat menunaikan solat zuhur dan berdoa sebaiknya. Isteri sudah pun dikejarkan ke dewan bersalin seusai aku bersolat. Mak menyuruhku segera masuk ke kamar 4.

Sebaik tiba di kamar itu, isteriku sedang meneran kali pertama. Alhamdulillah doaku diperkenan Allah untuk menyaksikan kelahiran ini. Kali ketiga isteriku meneran, terus saja anak kami keluar. Aku tergamam pada waktu itu sehingga tidak kisah tentang berat anak dan pukul berapa dia dilahirkan.

Hanya lafaz tahmid kuucapkan ribuan kali ke hadrat Maha Pencipta Yang Teragung. Sementara menunggu anak dibersihkan, pelbagai kisah ibu dikhabarkan sang ayah kepadaku di bilik menunggu.

Semakin deras lafaz tahmid kuucapkan apabila kisah-kisah mereka menjengah ke telingaku. Ada seorang ayah yang sangat berdebar menantikan kelahiran anaknya yang ditunggu-tunggu sejak jam 9 pagi hinggalah 3 petang. Syukur sekali apabila isteri hanya mengambil masa 7 minit.

Ada pula seorang ayah kelihatan murung apabila kutanyakan status anak. Rupa-rupanya anaknya meninggal dunia sebaik keluar dari perut ibunya dek kerana jantung yang lemah dan paru-paru berada di luar jasad. Sudah tentu takdir Allah itu layak buat kita yang harus merenung jauh pengajaran di dalamnya.

Setelah itu, isteriku kelihatan sangat lemah. Anak perempuan yang dilahirkan seberat 3.01kg langsung disusukan. Sempat aku ucapkan tahniah dan terima kasih kepada isteri kerana melahirkan anak kami. Aku tahu ucapan dan kucupan suami itu sangat bermakna buat isteri.

Dalam keletihan itu, terpaksa juga aku tinggalkannya sendirian bersama anak. Sudah polisi hospital tidak membenarkan suami menemaninya. Hanya sesekali datang menjenguk untuk menghantar makanan atau barangan saja dibenarkan.

Sungguh, kehebatan Tuhan menjadikan kita sebagai manusia penuh dengan ciri kompleks yang tersirat dalam zahir dan batin diri kita sendiri. Ciri-ciri itu jika diteliti dapat menambahkan lagi rasa cinta dan kagumnya kita kepada Dia Maha Pencipta.


Lebih-lebih lagi apabila kita melihat permulaan proses kehidupan manusia di depan mata sendiri melalui kelahiran anak ini. Sudah pasti juga kita bakal melihat perubahan-perubahan dalam fasa kehidupannya yang mencerminkan diri kita suatu ketika dahulu.

Tiada kata lain yang patut kuucapkan kala ini melainkan ucapan terima kasih kepada ibu. Selepas ini aku akan mengerti betapa patah kata dan tindakan yang menongkah ketaatan akan mengguris hati ibu dan ayah. Ampuni anakmu ini ibu.. ayah. 

Benarlah bahawa kehidupan ini umpama roda yang berpusing. Aku kini berada di putaran yang pernah dilalui ibu dan ayah. Jauh di sudut hati, aku terasa seperti ingin menangis apabila menyaksikan kelahiran ini. Namun, aku tabahkan hati untuk membekalkan semangat kepada isteri yang sedang bergelut kala itu.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

tahniah abg suhail n kak nadzifah... :)

SITI berkata...

congrats! :D

wawa berkata...

tahniah suhail di atas kelahiran cahaya mata yg pertama. alhamdulillah segalanya berakhir dengan indah sesuai dengan kehendak takdir-Nya. kini satu lagi nyawa dipertanggungjawabkan ke atas diri kau. mudah-mudahan dewasa kelak anak itu menjadi muslimah solehah yang berbakti kepada agama dan orang tua. amin. once again congrats bro!

p/s : nama dah kasi belum?

twayblade berkata...

syukur alhamdulillah semuanya dipermudahkan Allah. lepas ni mulalah proses hidup baru sbg ibu dan bapa. satu fasa yang tersangat beza dan terlalu asing bg 1st timers mcm ko. byk2 bersabar. dan paling penting sentiasa hulurkan bantuan pada isteri dlm pantang. she'll be needing it the most.

Akak Kembang berkata...

macam muka suhail..congrats

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular