
Bukan mudah untuk bercakap mengikut tahap kefahaman audien. Memang ada sesetengah orang tidak mengambil perhatian perkara ini. Seringkali aku rasa kurang selesa dengan beberapa penceramah di siaran televisyen yang berceramah menggunakan istilah islamik tanpa menerangkan maksud istilah tersebut.
Bukankah apabila bercakap dalam tv, audiennya pasti kebanyakannya adalah masyarakat awam yang tidak mempunyai latarbelakang pendidikan agama yang mendalam. Sebagai contoh, fahamkah anda dengan istilah-istilah berikut:
- mad'u (golongan sasaran)
- tasamuh (berlapang dada)
- wasatiyah (kesederhanaan)
- wasilah (cara)
Andai perkataan di dalam kurungan digunakan, mesej pasti lebih jelas difahami. Bukan saja golongan agamawan sering melakukan kesilapan begini, golongan cendekiawan lain turut terlepas pandang perkara ini.
Pensyarah universiti tak seharusnya menyampaikan taklimat kepada masyarakat di kampung sama sepertimana dia mengajar anak muridnya di universiti.
Begitu juga dengan produk universiti yang bernama mahasiswa/graduan. Sebaik saja anda bersama masyarakat, olah cara penyampaian anda agar tidak seperti anda mempersembahkan tugasan dalam kuliah.
Aku nak cerita tentang pengalaman aku sewaktu menjadi peguam di KL. Aku hormat sangat pada jurubahasa mahkamah jenayah yang aku masuk waktu itu. OKT (Orang kena tuduh) adalah seorang India yang kurang faham bahasa Melayu jika dibacakan pertuduhan seperti ini:
"Bahawa anda, [NAMA] pada [TARIKH] jam [MASA] telah didapati memiliki 5 gram dadah ganja yang disimpan dalam poket sewaktu dua pegawai polis menahan anda di [TEMPAT] ..."
Jadi, jurubahasa dengan selambanya keluar dari tempatnya menuju ke kandang OKT, lalu menerangkan pertuduhan dalam gaya bahasa begini:
"Uncle, nama ini, [NAMA], betul ka?Ada satu hari uncle kena tahan polis, ada betul? Itu polis tahan sama uncle dekat [TEMPAT], ya bukan? Dua orang polis kan? Itu hari, [TARIKH] pukul [MASA] uncle kena tahan, ada betul? Uncle ada simpan ganja dalam poket ka waktu itu hari kena tahan polis?... "
Jurubahasa ini telah memudahkan prosiding (perjalanan) kes apabila jurubahasa pertama nampaknya gagal menyampaikan mesej dengan betul. Tengok tu, betapa pentingnya memahami audien/pendengar kita.
Maka, sempena kempen 1B1A kali ini, aku ingin mengajak kita semua untuk memperbaiki diri dalam berkomunikasi dengan memahami siapa pendengar kita. Moga kita dapat berfungsi dengan baik dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan.