29 Februari 2008

Server down

Maaf sebab tak dapat kemaskini blog ini. Talian internet di sini diserang virus. Jadi, aku terpaksa menumpang komputer lain.

Baru-baru ini aku ke Singapura. Selain bertugas mengambil gambar, aku juga berkesempatan bertemu Mariah Mah. Dia orang cina Muslim yang arif tentang komuniti Islam di China.

Aku dijadualkan ke China pada akhir tahun ini. Tarikh yang pasti belum ada. Bergantung kepada persediaan dan dana. Kalau segala-galanya cukup, maka aku akan lebih awal ke sana.

Di Singapura, aku terasa keamanan dan ketenteraman yang betul berbanding Malaysia. Maksud aku, hubungan antara agama. Hairan bukan apabila aktiviti persatuan Islam ditaja persatuan Buddha.

Program aktivis sukarelawan melibatkan anak-anak terbiar dan bermasalah yang semuanya beragama Islam juga dibantu sukarelawan Kristian dari gereja berdekatan.

Kemurahan hati peniaga Cina beragama Buddha jelas dilihat apabila dipersembahkan kegiatan mendidik anak-anak Islam, dengan spontan dia mengeluarkan cek dan menderma SD 20,000. Sejak itu juga dia tetap menderma setiap bulan.

Makin mengagumkan aku apabila Masjid Ba'alawi sering dikunjungi pemimpin-pemimpin agama lain untuk diskusi dalam isu-isu yang disepakati. Mereka tidak pernah berbalah.

Islam diterima oleh agama-agama lain. Di sana ada Pusat Harmoni (Harmony Centre) yang menempatkan semua aktivis agama. Satu tingkat ke satu tingkat lain, anda akan dapati agama yang berbeza.

Namun, di setiap tingkat itu, mereka hanya menceritakan tentang agama mereka agar difahami. Tidak sekali-kali menghina agama lain atau menimbulkan isu yang memecahbelahkan.


Hairan? Mungkin ada yang merasionalkan keadaan ini dengan mengatakan mereka takut dengan undang-undang. Erm.. mungkin juga itu penyebab asal.

Tapi apa yang berlaku kini bukannya kerana undang-undang. Mereka mempunyai semangat toleransi yang hebat untuk meminimakan perselisihan faham.


Apakah kita di Malaysia perlukan undang-undang juga untuk mencapai toleransi begini? Sebenarnya pada hemat aku, tak perlu. Kita orang Islam sendiri perlu berusaha bertoleransi dahulu.

Nampak mudah tapi susah. Sebabnya kita di Malaysia sering mencari isu untuk perselisihan. Tak perlu sentuh bab antara agama, sesama agama pun masalah makin meruncing.

Tambah pula pilihanraya tinggal seminggu saja lagi. Kita lihatlah pemimpin-pemimpin kita. Adakah dia mempunyai toleransi yang baik atau sering menghina orang lain?

Bukankah yang terbaik ialah menjual produk kita? Bukan mencerca produk orang lain. Seperti di Pusat Harmoni. Inilah kayu ukur yang aku letakkan pada diri dalam menilai sejauh mana pemimpin itu harus diraikan.

Nak tengok berita aku ke Singapura, sila klik di sini

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular