Salahkah kami bergelar anak muda
Hingga tiap saat dan ketika sengaja dibogelkan
Habis telanjang setiap apa yang bersangkutan
Kami dihina dicaci diherdik dan dibenci
Dada akhbar sengaja mengoyakkan pakaian malu kami
Media elektronik mengendap mencari kurap di badan kami
Ucapan si tua membebel tak tentu fasal
Salahkah kami bergelar anak muda
Bukan dulu si tua juga digelar anak muda?
Sudah lupa dari mana datang tua kalau tidak menempuh muda?
Apa hebatnya si tua banding kami anak muda?
Kalau kami dihina dicaci diherdik dan dibenci
Pasti mereka juga dulu begitu
Hei biadap sungguh kau anak muda menyamakan kopi dengan kerak kuali
Zaman kau cukup dahsyat
Tak kenal malu
Tak faham agama
Tak hormat orang tua
Tak sanjung ilmu
Tak punya iman
Kau sengaja bercumbuan di tengah gurun yang lapang dan tak tersembunyi
Kau perbaharui agama seolah kau lebih faham akan ia
Kau tendang si tua umpama tempurung yang tak berguna
Kau pijak buku bagaikan helaian kertas bercorak tiada manfaat
Kau robek iman tanpa usaha menampalnya semula
Wahai orang-orang tua
Kata bidalan mengatakan mereka inilah yang banyak makan garam
Maka cukup masin setiap yang dirasakan oleh lidah mereka
Kata bidalan juga mengatakan mulut mereka ini masin
Maka apa yang dikatakan mereka bisa terjadi
Kasihan kami..
Tiada siapa melihat kebaikan kami
Atas sebab masinnya lidah mereka, tiada yang manis dapat dirasakan
Atas sebab mulut masin, setiap tuduhan jadi kenyataan
Kebaikan yang tak seberapa terselindung sebalik kehinaan
Tiada siapa melihat peluang sekecil zarah
Tiada siapa menawarkan kami keindahan rasa iman
Tiada siapa mengajar kami untuk mengenal malu
Tiada siapa menunjukkan kami agama itu mudah
Tiada siapa menegur dengan baik memuliakan orang lain
Tiada siapa mengajak kami merasai kemanisan iman
Mengapa hanya kami dipersalahkan?
Mengapa orang muda?
Kami hanyalah mangsa keadaan..
Mangsa daripada kisah kejahatan yang terpapar di siaran
Mangsa daripada tunjukajar dari filem yang mempesonakan
Mangsa daripada penolakan dan pandangan sinis setiap insan
Mangsa daripada keseronokan yang tak dibataskan
Mangsa daripada pemulauan masyakarat tempatan
Hanya insan muda yang menerima kami
Insan yang dihinakan masyarakat
Yang selamanya mungkin tetap dalam kehinaan
Kami memang perlukan tunjukajar, pemerhatian, kasih sayang
Tetapi semuanya diberikan insan muda yang juga dipulaukan ini
Maka makin ramai anak muda akan seiringan
Jauh dan makin jauh daripada kebenaran
Kerana tiada ruang untuk mereka menerima pedoman
Daripada orang tua bahkan yang muda lain
Kerana mereka sibuk sesama yang baik
Hanya kejahatan yang menjadi sasaran
Dan kami ditembak, dipanah dan ditombak
Sehingga mati semangat dan usaha untuk menjadi baik
Inilah anak-anak muda yang bakal menjadi orang tua
Entah apalah nasib anak muda abad kemudian?
23 September 2005
Hinanya anak muda
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik
Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...
Popular
-
Mula-mula aku berasa sakit yang tak tertahan pada geraham bongsu yang dah lama di menyempit di hujung rahang kanan. Memang malam itu langsun...
-
Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...
-
Kepada semua pembaca blog sama ada kenalan baru dan lama, anda dijemput hadir ke Majlis Perkahwinan saya yang akan diadakan di Jitra, Kedah ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan