Kewujudan penduduk tempatan di Alam Melayu terbukti dari kajian arkeologi yang jarang (walaupun sepatutnya) dikaitkan apabila bercakap tentang sejarah.
Sekurang-kurangnya sejak 35,000 tahun dahulu manusia telah mendiami kawasan Pentas Sunda dan Pentas Sahul (boleh google peta kawasan ini).
5,000 tahun dahulu, setelah kedua-dua daratan mulai ditenggelami air laut akibat berakhirnya zaman air batu, manusia-manusia ini punya corak hidup dan pencapaian teknologi makin maju.
Buktinya dapat dilihat di Lenggong (Perak), Gya Cha (Kelantan), Gua Kepah (Seberang Perai), Gua Bintong (Perlis) dan Teluk Intan (Perak).
Begitu kelak datangnya pengaruh India, arkeologi juga membuktikan tiada imigran atau penakluk India menguasai petempatan asal.
Orang tempatan tadi yang mengambil pengaruh Hindu dan Buddha dalam kehidupan mereka dan menyesuaikannya dengan budaya asal.
Kemudian sama juga halnya apabila pengaruh Islam tiba. Tidaklah Gujerat, Cina mahupun Arab yang mengubah masyarakat ini melainkan mereka sendiri yang menerima pengaruh ini dan menyesuaikannya dengan budaya tempatan.
Ini bukan sekadar teori tapi terbukti dengan kajian arkeologi. Dek kerana ia dikesampingkan, sumber Windstedt, Skeat dan Blagde , MWF Tweedie dan DGE Hall menjadi rujukan awal zaman penyediaan buku teks sejarah.
Sedangkan orang asing juga telah menyanggah teori migrasi Yunnan, teori Orang Asli berbeza dengan Orang Melayu, teori Greater India, dll.
Geoffrey Benjamin, Bellwood, George Coedes, Mubin Sheppard dan Prof de Silva antara nama mereka yang menyatakan apa yang aku tulis.
Kajian arkeologi tempatan pun semakin maju. Aku sendiri pun baru nak membaca hasil kajian mereka. Moga lepas ini dapat berkenalan dengan ahli-ahlinya.
Langgam arca dewa Avalokitesvara di Kinta (Perak) dikaji mereka berbeza dengan langgam asli kerajaan Dvaravati. Dakwaan dibina imigran India kala itu tak benar.
Candi Borobudur dan Angkor Wat pun tiada senibina kembarnya di India. Itu tandanya ia binaan tempatan yang menerima Hindu Buddha secara sendiri. Orang putih kata "blended culture". Bukan paksaan.
Begitulah juga Islam diterima di Alam Melayu tanpa paksaan. Kala Kristian dipaksakan penjajah Portugis, penentangan hebat berlaku.
Punyalah panjang aku menulis, poin penting nak beritahu ialah orang kita di sini unik. Punya identiti tersendiri yang mesra ilmu dan perbincangan dalam menerima pembaharuan dan perubahan.
Paksaan bakal berdepan penentangan. Penentangan zaman kini lebih mudah dan cepat. Cukup dengan tentera bawang, kerajaan pun lebih berwaspada.
Belajarlah dari sejarah. Masih banyak yang kita tak tahu. Tak.payah melenting. Baca dan baca. Kaji dan kaji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan