Sudah menjadi rutin harian, anda pasti masuk dalam mesyuarat untuk berbincang dan membuat keputusan. Lagi besar jawatan anda, lebih kerap anda bermesyuarat. Bayangkanlah anda ialah Ketua Jabatan, setiap pagi anda perlu bermesyuarat dengan pegawai-pegawai kanan. Sebelah petang, anda pula perlu bermesyuarat dengan semua ketua jabatan lain untuk melaporkan kepada ketua yang lebih atas daripada anda.
Sekarang anda berada dalam bilik mesyuarat. Anda pun mula bercakap dan meminta pandangan. Senyap sahaja bilik mesyuarat. Anak-anak buah tidak ramai bercakap. Ada seorang dua yang bercakap tetapi hanya mengatakan, "Saya setuju" atau "Saya ikut sahaja". Apabila mesyuarat sebelah petang, sama juga situasinya. Semua ketua jabatan pula bercakap begitu kepada ketua lebih atas.
Bagaimana? Seronokkah hari-hari anda? Sahlah tidak!
Apabila kita dilanda masalah, orang mencemuh kita. Ada pula yang menyalahkan kita. Sebahagian lain cuba menyanggah pendapat kita. Kita rasa lemah semangat dan mengharapkan keadaan yang lebih selesa. Selesa macam dalam kisah di atas ke?
Oh, jangan sesekali minta selesa begitu. Potensi akal anda akan mati serta-merta. Anda sebenarnya boleh membuat keputusan yang lebih baik, malah mungkin di luar jangkaan dan kebiasaan apabila idea anda dikritik dan ditambah baik.
Sekiranya anda sekarang berada dalam zon selesa itu, keluarlah. Zon itu akan membuatkan anda lupa diri. Apatah lagi orang bawahan anda kaki kipas. Anda mula merasakan segala yang anda lakukan adalah benar. Lebih teruk lagi apabila anda merasakan orang lain semuanya salah.
Hidup berterusan dalam kelompok sendiri yang sentiasa menyokong anda membuatkan pemikiran anda tidak bercambah, kolot dan syok sendiri. Contoh mudah, andai anda seorang tukang gunting rambut dan hanya berkawan dengan tukang gunting rambut, apakah topik perbualan harian anda? Anda sendiri boleh agak jawapannya. Tentulah hal berkaitan industri gunting rambut tidak lekang dari mulut.
Jika anda si tukang gunting rambut mempunyai kawan pelombong, penjual nasi lemak, pemungut sampah, pegawai bank, jururawat, arkitek, dan akauntan, apakah pula topik perbualan harian anda? Cukup luas bidang yang akan dibualkan.
Itulah sebabnya kita perlu punya kawan yang ramai, fikiran lebih bercambah. Kita perlu banyak mengembara, pandangan lebih luas. Kita perlu banyak membaca, idea datang bertalu-talu. Kita perlu banyak interaksi sosial, pendekatan lebih menyantuni.
Wahai anda yang berasa gah dengan zon selesa anda atas nama apa sekalipun (persatuan, kumpulan, syarikat, keluarga, perniagaan, batch sekolah, alumni, jemaah, dan seumpamanya), mulakan dengan langkah pertama untuk keluar dari garis sempadan anda. Bukan keluar dan meninggalkan terus pangkalan anda. Keluar dan kembalilah, ceritakan kisah di medan tempat anda keluar itu kepada mereka di pangkalan.
Indah yang kita rasakan itu hanyalah keindahan yang kita rekakan, ada keindahan lebih bermakna di luar sana. Sakit yang kita rasakan bukanlah mala petaka terburuk, ada kesakitan yang maha perit lagi di luar sana.