Gambar bangunan Macau bercirikan senibina Portugis (IOS camera - panorama) |
“Hah, sama baunya macam di Beijing,” komen Syed yang
baru tiba di Guangzhou bersama rakan-rakannya. Tiga daripada lima orang ahli
kumpulannya pernah mengunjungi Beijing, jadi mereka sedikit sebanyak sudah arif
tentang adat budaya orang China. Jadi, benarlah telahan saya tentang uniknya
bau China.
Antara budaya dan amalan harian mereka yang sedikit
sebanyak menyumbang kepada keunikan baunya mungkin meloyakan kita. Kadangkala
saya berasa seperti tidak mahu berkongsi mengenai hal ini, kerana ia boleh
membantutkan hajat kita untuk ke China. Namun, saya fikirkan elok juga
diceritakan supaya mereka yang ingin ke sana sudah boleh bersiap sedia.
Memang ramai pengunjung kali pertama akan merungut,
kata mereka orang China pengotor, busuk dan sebagainya. Anehnya, tanggapan ini
langsung tidak menggugat hasrat mereka untuk kembali mengunjungi China berulang
kali.
Meludah di merata tempat itu perkara normal. Tompokan
kesan ludahan mereka ketara dilihat di laluan pejalan kaki, restoran, pasar
raya, di dalam lif dan di mana sahaja ada lantai.