31 Julai 2008

Marilah hidup sihat

Biasanya aku tak suka sentuh isu politik dalam blog ini. Tapi memandangkan aku semakin meluat dengan pengkisahan semula kes liwat DSAI, aku terpaksa kongsi rasa dengan korang.

Baru-baru ini aku panjat Bukit Tabuh. Bersama aku adalah seorang rakan yang sangat totok kepada DSAI. Aku gelarkan mereka sebegini = Anwariyyun. Pendek kata, DSAI bagaikan maksum. Tapi kali ini aku pelik dengan dia. Dia tak lagi menjadi Anwariyyun sejak kes liwat Saiful dibongkar. Dia percaya kepada kawannya, Uncle Pet.

Kelmarin, aku ke rumah nenek aku. Nenek aku ini DULU, KINI dan SELAMANYA akan tetap totok UMNO dan BN. Sudah lama tak berbual. Dia kata awal bulan 8 dia akan sibuk mesyuarat Wanita. Walaupun dia sakit sendi lutut, dia masih gagahkan diri untuk UMNO. Dahsyat kan?

Tanpa aku bertanya, nenekku mulakan cerita. Dia tak suka dengar berita sekarang. Asyik-asyik pasal kes liwat. Dia benci kepada media. Dia kata mengapalah kes ini menjadi isu. Muak. Teruknya kerajaan mengaibkan orang. Kasihan kepada keluarga DSAI.

Kedua-dua situasi di atas membuatkan aku terfikir, siapakah di pihak yang benar? Aku yakin kebenaran akan tertegak nanti. Dalam menilai kedua-dua situasi di atas, aku tidak menyalahkan kedua-duanya. Sebab aku sendiri tak tahu kebenaran.

Seorang asyik mengatakan "..mm..mungkin juga Anwar buat.."
Seorang lagi mengatakan ".. teruknya Anwar diaibkan.."

Semalam, aku tengok News @ NTV7. Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berjaya menawan kerusi Ketua Bahagian Batu Pahat sempena pemilihan MCA walaupun telah terang dan nyata terlibat dalam skandal seks.

Aku terfikir begini. DSAI - kes liwat. Soi Lek - skandal seks. Kedua-duanya melibatkan kehidupan peribadi (andaian : kedua-dua kes benar) yang menjadi modal menggugat kedudukan politik seseorang. Ini adalah persamaan rentak percaturan politik.

Yang ini pula perbezaannya. Masyarakat (termasuk kerajaan) menerima baik Soi Lek meneruskan karier politik yang terencat seketika walaupun peribadi teruknya telah terbukti. Masyarakat [seolah-olah] menghukum DSAI dengan cubaan mematikan karier politiknya melalui kes peribadi yang belum pasti kebenarannya.

Mengapa ini berlaku? Adalah sangat tidak wajar isu liwat yang belum dipastikan ini mengambil masa sangat panjang untuk dilaporkan dalam berita perdana setiap hari. Sedangkan isu Soi Lek langsung tidak kedengaran menjadi modal menjatuhkannya dalam karier politik.

Adakah kerana Soi Lek berbangsa Cina dan bukan beragama Islam (tidak tahu pula pegangan agama dia)? Itu bagi aku bukan isu. Kalau isu mengaitkan Melayu dan Islam, pastinya cara pembuktian mengikut cara Islam. Tapi tidak.

Ya, ini dikatakan isu moral pemimpin. Habis tu, Soi Lek bukan isu moral??? Aku kongsikan cara fikir aku ini untuk mengajak korang semua mencari di mana silapnya suasana politik semasa hari ini. Tengoklah, totok UMNO dan Anwariyyun pun boleh berubah arah.

Apapun, kesimpulan yang boleh aku buat ialah jangan libatkan peribadi seseorang untuk menjatuhkan seseorang (walaupun ini sememangnya diakui taktik politik). Sebabnya sesiapapun pasti ada aibnya sendiri. Kalau dicungkil satu persatu, boleh dikatakan ramai pemimpin hari ini tidak layak memimpin kita.

Aku juga ada aib aku sendiri. Dan aku akan malu (secara fitrahnya) apabila orang mendedahkannya. Bagi menahan malu, aku mungkin tak sekuat Soi Lek untuk mengakuinya. Bahkan agama Islam mengajar umatnya untuk tidak perlu mendedahkan aib diri dan orang lain kepada umum.

Ya, dari segi profesionalism, aku tabik kepada Soi Lek kerana mengakui kesilapannya. Tetapi hakikatnya dia sendiri memang tidak dapat menepis tuduhan itu kerana dialah pelakon video xxx tu. Bagaimana jika ia bukannya benar? Pastinya ia menjejaskan karier politik dan hubungan sosialnya walaupun pada akhirnya terbukti dia tidak bersalah. Bukankah sukar untuk meneruskan hidup dalam keadaan begini?

Sebagai pengamal undang-undang Syariah, aku faham serba sedikit tentang hudud. Hukuman hudud bagi zina sebenarnya tidak mengarah kepada menghukum tetapi menyembunyikan aib seseorang agar dia bertaubat. Dan dengan itu, dia dapat hidup dengan aman dan selesa. Kerana itu tahap pembuktian jenayah itu adalah sangat tinggi yang mana sukar untuk dilaksanakan.

Sekalipun Maiz (sahabat Rasulullah) datang mengaku kepada baginda, Rasulullah sengaja tidak mahu menghukumnya dengan tidak mengendahkannya. Hanya setelah beberapa kali dia membuat pengakuan, barulah Rasulullah menerima pengakuannya memandangkan dia sangat-sangat ingin dihukum.

Aku tidak mahu memihak ke mana-mana, tetapi aku merasakan pendirian nenek aku bersandarkan asas yang sama dengan apa yang aku fikirkan. Jangan isu liwat dipolitikkan sehingga isu-isu semasa mengenai masyarakat Malaysia semakin dipinggirkan.

Aku percaya dalam pemimpin Melayu bercakaran, ada pihak-pihak tertentu yang menangguk di air yang keruh. Aku cintakan Malaysia dan aku tidak mahu negara punah akibat pemimpin yang tidak sedar ada api dalam sekam.

Masyarakat semakin keliru dan pening. Masalah umat harus diselesaikan segera. Ayuh bertindak!

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular