26 Mac 2008

Politik itu najis


Tajuk aku mungkin kasar. Tapi itu adalah kiasan yang mengingatkan aku pada seorang kawan. Dia sangat benci kepada orang politik. Dalam satu majlis, dia terpaksa bersalaman dengan kawanku yang aktif berpolitik.


Sejurus selepas bersalam, lantas disapunya tangan yang bersalam tadi ke baju aku. Aku pun bertanya, "Kenapa kau buat macam ni?". Lalu dia pun menjawab, "Najis!".


"Eh jijiknya kau kata begitu"

"Memang orang politik ni tangannya kotor.. Najis!"


Cukuplah setakat itu permulaan penulisan aku kali ini. Fikirkanlah sendiri kewajaran tindakan kawan aku. Cukup!


***


Melihat perkembangan politik Pulau Pinang amat menarik. Media massa sangat aktif sekarang menceritakan perkembangan negeri-negeri tawanan pembangkang.


Beberapa perubahan yang dilihat menarik di Pulau Pinang.


1) Sistem tender terbuka ke atas semua kontrak bernilai RM50,000 ke atas. (UM)

2) Kenaikan elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) sebanyak RM50 mulai 1 April 2008.(UM)

3) Wakil rakyat tidak dibenar mohon beli tanah. (UM)


Lumrah peralihan kuasa ialah perubahan mendadak ketetapan kerajaan untuk kepentingan rakyat. Motifnya adalah untuk mendapat sokongan dan kepercayaan rakyat. Mungkin terlalu awal untuk mengatakan kerajaan Pulau Pinang akan bertambah baik dalam urusan pentadbiran dan politik.


Walaupun begitu, perubahan ini jelas menidakkan salahguna kuasa oleh pemimpin kerajaan yang berkepentingan. Setidak-tidaknya kita tahu bahawa ada peraturan yang menghalang pemimpin-pemimpin ini berbuat jahat. Tidak jelas di negeri lain.


Apabila kerajaan negeri menyentuh hal DEB, UMNO Pulau Pinang mula mengamuk. Maka, terjadilah demonstrasi membantah kehendak kerajaan. Demonstrasi pilihan terakhir, kata mereka. Kini mereka mula menjadi pembangkang.


Maka, kini mata kita juga mula terbuka kepada betapa perlunya pembangkang. Di Pulau Pinang, UMNO perlu terus membangkang pada sesetengah isu yang penting. Ini akan dapat membangunkan kerajaan dengan lebih baik.


Begitu juga di negeri-negeri lain di mana BN menjadi kerajaan. BA adalah pembangkang yang perlu bagi membangunkan kerajaan dengan lebih baik.


Hairannya mengapa tidak berlaku pembangkang dan kerajaan ini menyatakan sokongan dan kesepaduan dalam sesetengah isu lain? Sudah lupakah kita pada UMNO yang pernah berjabat tangan dengan PAS dalam isu Palestin pada 8 Mei 2002?


***


Aku bimbang kawanku tadi benar. Politik menjadi najis. Maksudku politik kepartian yang terlalu taksub kepada parti sendiri dan menolak sebarang unsur yang datang daripada parti atau kelompok lain. Yang benar hanya dirinya. Yang lain adalah najis baginya.

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular