03 Ogos 2005

Oh Mawi..

Keadaan masakini yang sarat dengan lambakan program realiti tv telah banyak menghantui bukan sahaja remaja bahkan kanak-kanak dan golongan dewasa. Rancangan-rancangan seperti Malaysian Idol, Akademi Fantasia dan Mentor mencatat statistik tertinggi penonton berbanding rancangan berbentuk ilmiah. Namun, ada juga rancangan realiti tv yang bermanfaat seperti Malaysian Top Host yang menggilap bakat pengacaraan seseorang dengan gaya kritik yang lebih sopan dan membina.

Pemimpin negara kita pun kini sudah mula menimbulkan rasa kebimbangan atas penyakit atau 'demam' yang menular ini. Mungkin kita semua perasan semalam TPM kita telah mengingatkan agar masayarakat tidak terpengaruh budaya barat yang ditonjolkan dalam kebanyakan program realiti tv acuan mereka. Kata-kata beliau nampaknya lebih menuding jari ke arah stesen televisyen negara yang mengaturkan rancangan untuk masayarakat Malaysia. Memetik kata-kata beliau :

“Format program realiti televisyen yang popular sekarang seperti Mencari Cinta, Mentor dan Akademi Fantasia kadang kala adegannya agak melencong daripada kebiasaan dan adat resam budaya Timur..”


Perkataan kadangkala yang diucapkan beliau bagi saya merupakan kata-kata berlapik yang berbentuk halus dalam menegur pihak bertanggungjawab. Mungkin keras kalau dikatakan sememangnya membawa acuan barat. Namun, masing-masing juga punya jawapan.

Satu contoh menarik yang pernah saya terbaca dalam akhbar ialah program realiti tv Mencari Cinta yang kononnya didakwa acuan tersendiri ala ketimuran. Antara elemen yang ditonjolkan ialah setiap kali perjumpaan lelaki dan perempuan terbabit, si perempuan mestilah ditemani oleh ahli keluarganya. Adegan berpegangan tangan juga dilarang bak kata penerbitnya. Sekilas pandang nampak baik apatah lagi tujuannya adalah untuk mencarikan jodoh untuk si bujang dan anak dara yang 'terlajak'.



Bayangkanlah kalau-kalau anda berada di tempat salah seorang daripada jejaka pilihan itu. Kemudian, saringan demi saringan akhirnya anda tidak dipilih si gadis sedangkan sebelum ini segala kisah 'pencarian' anda diikuti rakyat Malaysia. Anda telah 'mencabul' maruah diri kerana dimalukan depan orang ramai. Dan sudah tentu, rakyat Malaysia pula sudah belajar untuk 'petah' bicara daripada Roslan Aziz dan Paul Moss dalam mengkritik peserta. Kritikan yang entah sesuai atau tidak itu tiada kayu ukurnya. Akhirnya, masyarakat Malaysia yang berbudaya sopan dengan adat ketimuran akan dikenali sebagai orang yang pandai mengkritik dan memperlekehkan orang lain. Juga tidak lagi berasa malu dengan mendedahkan kisah hidup peribadi. Yang penting apa? Famous..popular..glamour.. itulah matlamat akhir yang dibangga-banggakan.

Agak memalukan bagi diri sendiri agaknya apabila pensyarah juga mula berlawak menggunakan perkataan 'WORLD' dan 'POHON KELAPA' yang sama sekali tidak aku ketahui. Nasib baik tiada yang perasan 'kejahilan' aku dalam realiti semasa sedangkan yang lain turut sama ketawa. Adakah salah kalau mereka menonton program realiti tv? Mungkin tidak sekiranya untuk mengetahui keadaan semasa yang berlaku. Tapi ya jika setiap saat membabitkan peserta AF itu 'wajib' diketahui sehinggakan waktu berita perdana pun tidak diendahkan.

Kesenian adalah satu keperluan fitrah manusia yang mampu membelai dan membentuk jiwa kita menjadi halus. Kehalusan jiwa ini penting supaya manusia itu tidak senantiasa dirundung sedih dan berasa tertekan. Kehidupan seorang manusia yang berjiwa halus akan tampak lebih tenang berbanding yang lain. Kemarahan dapat dikawal dan kebengisan terurai dek kelembutan hati.

Syed Qutb mengaitkan kesenian itu sebagai al-jamal atau maknanya kecantikan. Allah itu sukakan kepada semua yang cantik-cantik. Orang berjiwa seni biasanya akan menyukai setiap yang cantik dan kemas juga tersusun. Hati sanubari mereka ini memang terkendali ke arah yang sebegitu.

Sejarah menunjukkan bahawa muzik diasaskan oleh tokoh Islam bernama al-Kindi dengan penciptaan note muzik. Kemudian banyak tulisan karya al-Farabi pula menjadi penyebab beliau dikenali tokoh muzik dunia. Namun, sejarah membabitkan Islam seringkali dipadam dalam sistem pendidikan akibat penguasaan Barat dalam ilmu-ilmu Islam itu.

Dalam novel terbaru Faisal Tehrani bertajuk Advencer Si Peniup Ney turut dimuatkan persamaan antara abjad Arab dan nota muzik iaitu dal=do, ra=re, mim=mi, fa=fa, sod=sol, dan lam=la. Pemenang kategori Novel Remaja Hadiah Sastera 2004 ini turut mengaitkan sejarah perkembangan ilmu muzik yang bermula daripada orang Islam.

Itulah antara hikmah terselindung sebalik arahan Tuhan untuk membaca al-Quran dengan berlagu. Lagu-lagu atau tarannum itu merupakan terapi hati dan jiwa dalam membina jatidiri muslim yang lembut dan tulus. Zikir-zikir yang dilagukan oleh kebanyakan ulama' Nusantara yang sememangnya berjiwa lembut itu mudah masuk ke dalam hati si pewirid. Secara semulajadi, terapi muzik ini melahirkan masyarakat yang cintakan keamanan, keindahan, kecantikan, kekemasan dan kelapangan fikiran juga perasaan.

Namun, terdapat sesetengah pendapat yang mengharamkan muzik kepada orang Islam seperti fatwa yang dikeluarkan mufti Brunei. Kerajaan negeri Kedah sependapat dengan Yusuf al-Qaradhawi seperti dalam bukunya 'Halal dan Haram' yang berpendapat sebaliknya iaitu menghukum muzik sebagai harus dan dalil-dalil pengharaman yang dinyatakan ulama lain didakwa beliau bersumber daripada hadis-hadis lemah.

Menurut pandangan saya secara peribadi berdasarkan ilmu yang terbatas hasil pembacaan daripada beberapa pendapat ulama dan mengikut kesesuaian semasa, saya meletakkan pada diri saya sebagai harus sepertimana yang digariskan Yusuf al-Qaradhawi berdasarkan syarat-syarat tertentu terutamanya sekiranya muzik itu tidak bercampur dengan perkara maksiat, atau mengarah ke perbuatan maksiat, atau melalaikan muslim daripada mengerjakan ibadah khusus yang wajib.

Sikap tadarruj amat penting dalam kelangsungan dakwah yang kadangkala mengundang kontroversi dan salahfaham. Saya suka merujuk kepada kejayaan dakwah yang dibawa Wali Songo dengan wayang kulit sebagai 'alat' menuju tujuan sebenar iaitu penyebaran Islam. Berikut sedikit sedutan kejayaan dakwah mereka :

Kalijaga pun membuat wayang kulit dan cerita wayang Hindu yang sengaja ''diislamkan''. Sunan Giri lantas menentangnya, karena wayang beber pada masa itu menampilkan gambar manusia utuh yang tidak dengan sesuai ajaran Islam. Tidak kurang akal, Kalijaga mengkreasi wayang kulit, yang bentuknya jauh dari ujud manusia utuh. Inilah ijtihadnya di bidang fikih, dalam upaya melancarkan misi dakwahnya.

Bagaimana pula dengan nasyid hari ini? Adakah jika ia melalaikan kita dan wanita dijadikan ikon pujaan itu patut diterima umum sebagai nasyid yang diterima? Bukannya aku nak menolak dan membenci nasyid tetapi aku yakin ramai yang lebih 'tertawan' hati kepada nasyid zaman Arqam dahulu yang lebih mengajak kita 'dekat' dengan Allah tanpa menggunakan 'umpan' wanita.


Kalau kini, Mawaddah adalah antara kumpulan nasyid yang aku kagumi kerana kekuatan itu masih ada padanya sekalipun dinyanyikan oleh perempuan. Mungkin ia tak 'popular' di Malaysia tetapi ia 'diraikan' di dunia luar hinggakan terdapat pengalaman yang 'jarang' didengar daripada kumpulan nasyid kontemporari sekarang iaitu hanya dengan nasyid mampu membuatkan hati seorang kafir bergetar lalu memeluk Islam di belakang pentas.

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular