23 Julai 2021

Setelah 5 Bulan Tunggu Vaksin

Alhamdulillah masanya telah tiba. 16 Julai 2021, tarikh aku dapat suntikan pertama vaksin.

Aku memang berharap sangat dapat vaksin Sinovac. Sebabnya aku selalu ada urusan ke China. 

Yalah, China hanya terima pengunjung dengan vaksin buatannya. Itu pun adalah reaksi awal mereka terhadap Amerika yang mula-mula menyatakan tak terima vaksin China.

Kita bukanlah nak berkira pasal vaksin mana nak pilih. Cuma atas dasar urusan ke China selalu, takkanlah nanti nak kena ambil lagi vaksin China. Biarlah sekali saja kan.

Lambat pula aku dapat temujanji vaksin. 4 hari lepas baru dapat tahu aku dapat vaksin di MITEC. Lepas itu dimaklumkan di sini ada Pfizer dan Sinovac. 

Aku pun berharaplah dapat Sinovac. Harapan dengan doa sajalah, takkan nak minta pula daripada petugas. Aku redha sajalah nanti dapat apa pun.

Syukur sangat apabila tadi dapat tahu dewan tempat aku beratur diberikan Sinovac. Alhamdulillah.. petanda baik untuk aku susun langkah kembali ke tanah besar. 

Semalam aku baru tahu, China dah mula terima vaksin luar termasuklah Pfizer. Maka, kalau dapat Pfizer pun tak ada masalah. Cuma hati dok berharap juga nak Sinovac.

Aku rasa tak lama lagi satu dunia tak berkira dah vaksin siapa yang mereka terima. Perlahan-lahan mereka mula iktiraf satu sama lain.

Oklah, nak cerita sikit betapa tersusun baik sistem di MITEC. Bab parkir, eloklah parkir di MATRADE daripada berebut cari parkir dalam MITEC atau tepi jalan. 

Bayar RM2 sahaja, cuma kena berjalan kaki sekitar 5 minit. Berpeluh manja sikit tapi tak perlu kalut kejar temujanji sebab banyak yang masuk parkir di MITEC sesak kereta beratur.

Sampai sahaja, tunjuk pengesahan dalam mysejahtera dan teruslah jalan dari satu stesen ke stesen lain. Semuanya lancar dan selesa.

Habis divaksin dan berehat 15 minit, barulah boleh keluar. Papan bingkai bergambar di sini berbeza daripada yang biasa aku tengok orang bergambar. Aku pun mintalah orang tolong rakamkan gambar abam robocop ini.

Selain dapat air 100+, dapat juga baucer percuma tonton filem dalam iq.com (iqiyi) selama 2 minggu. Ini untuk Sinovac sahaja kot.

Di luar dewan ada persembahan dari Anderson Kalang mengalunkan petikan sape Sarawak. Halus gemersik menenangkan suasana.

Ada juga gerai menjual kopi dan roti pastri. Aku memang pantang jumpa kopi. Perut pun rasa lapar. Apa lagi, kita pekena kopi dalam kereta saja lah.

Rasa puas hati betul dapat jalani proses vaksinisasi yang teratur dan selesa. Proses yang dilalui hanya setengah jam sahaja. Beratur pun tak lama.

Sekian laporan dari MITEC.

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular