header-photo

Istanbul Aku Datang 2

Alhamdulillah aku selamat tiba ke Lapangan Terbang Ercan, Cyprus setelah 2 jam penerbangan menaiki Turkish Airlines. Jam 8.00 malam bagaikan sudah tengah malam di Malaysia, sunyi dan sepi. Barangkali beginilah kehidupan di pulau seperti di Pulau Kokos dan Pulau Krismas, Australia.

Lapangan terbang yang kecil seperti di Melaka
Memang orang Melayu rimas rasanya kalau tak mandi. Jadi walaupun suhu sekitar 10 darjah celcius, kami tetap perlu mandi. Setelah mandi, aku juga lebih selesa memakai kain pelekat dan duduk-duduk di ruang lobi hostel.

Bergambar bersama Abdul Kadir (tengah) dan Jufitri Joha 
Budaya pemakanan di sini jauh berbeza dengan rantau Melayu. Setiap pagi kami dihidangkan sarapan berasaskan keju dan susu. Dimakan bersama hirisan daging, roti, tomato, timun, buah zaitun dan telur rebus. Sudah tentu ada jem, madu dan mentega. Terasa sihat benar diet pemakanan ini.

Setiap hari menu yang sama, tidak seperti di Malaysia banyak pilihan menu
Hari pertama berada di Cyprus, kami dibawa bersiar melihat kesan sejarah tinggalan Uthmaniyah selepas mengalahkan kerajaan Venice. Tempat pertama, kami dibawa ke istana dan kubu pertahanan paling strategik untuk melawan musuh dari arah laut. Ia dipanggil istana Kyrenia.

Bendera Turki (merah) dan bendera Cyprus Utara mempunyai corak sama
Cyprus terpecah kepada dua bahagian iaitu utara dan selatan. Kini, Cyprus Utara lebih dikenali sebagai Republik Turki Cyprus Utara bermula daripada kemerdekaan Cyprus Utrara yang diiktiraf sendiri oleh kerajaan Turki pada 15 November 1983 walhal dinafikan oleh PBB dan EU. Bahagian selatan dikuasai oleh Greece sehingga kini.

Pemandangan dari atas kubu istana Kyrenia (nama bandar ketiga terbesar di Cyprus)

Masjid (di tengah-tengah) hanya dibina setelah Uthmaniyah menawan bandar Kyrenia

Pelabuhan di sebelah tepi istana Kyrenia
Seterusnya kami pun dibawa ke Nicosia, bandar terbesar Cyprus Utara di mana masih banyak tapak tinggalan sejarah yang kekal utuh binaannya.

Bekas ibu pejabat polis Uthmaniyah (kanan) bersebelahan dengan bangunan mahkamah yang didirikan British (tengah) di Nicosia
Masjid Selimiya adalah antara bangunan gereja yang ditukarkan fungsinya menjadi masjid oleh kerajaan Uthmaniyah. Sebelum itu, gereja ini pernah menjadi gereja kedua terpenting dunia selepas di Vatican City (menurut penjelasan pemandu pelancong).


Sempat bergambar dengan muazzin masjid Selimiya yang cukup arif dengan sejarah bangunan ini

Kedua-dua menara ini hanya didirikan setelah Uthmaniyah menawannya dan menukarkan  fungsinya
Bersambung...

Istanbul Aku Datang 1

Baru-baru ini aku ke Istanbul untuk membentang kertas kerja mengenai peranan belia dan masyarakat sekelilingnya dalam menyelesaikan masalah di negara-negara Islam. Alhamdulillah, sudah lama tak ke bermusafir. Perjalanan bermula di Istanbul setelah 10 jam setengah berkurung dalam burung besi.

Setiba di Istanbul, penganjur menghantarku dan rakan-rakan ke daerah Esenler. Di sini kami dibiarkan tanpa program supaya dapat berehat. Cuma kami memang tak sabar nak menjenguk dunia Turki dalam suhu 4 darjah Celcius ini.

Berlatarbelakang masjid dan pusat Islam di Esenler
Disebabkan kehausan, kami meredah mencari kedai minum chay (teh) dan kegembiraan pekedai menyebabkan kami tak perlu bayar untuk minuman yang dinikmati


Sesudah solat Asar, kami berbual dengan En. Hasan yang mengajak kami minum chay lagi . Hanya berbual dalam bahasa Arab kerana tidak reti berbahasa Turki.

Kelibat yahudi biasa saja dilihat di Lapangan Terbang Attarturk di Istanbul sementara aku menunggu pesawat untuk menuju ke pulau Cyprus 

Dalam banyak-banyak restoran yang ada di lapangan terbang ini, hanya rotilah yang tak aku ragui kehalalannya buat mengalas perut sementara menunggu 7 jam pesawatku tiba
Aku sebenarnya terkandas kerana terlepas pesawat yang sepatutnya aku naiki bersama rakan-rakan lain. Hanya aku dan Kubanghazi dari Krygystan yang terlepas gara-gara menurut arahan yang tidak jelas. Tak mengapalah, dapat aku berkenalan lebih lanjut kawan aku ini.

Kubanghazi bersama aku dalam keadaan penat menunggu
Bersambung...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...