04 April 2013

Ibu dan isteri minta MC

بسم الله الرحمٰن الرحيم

Kepada sang ayah dan suami,

Mungkin kita tidak begitu faham keadaan anak dan isteri dengan baik pada sesetengah keadaan, khususnya sewaktu kepala kita serabut dengan kerja-kerja yang membebankan di pejabat.

Boleh jadi juga memang dalam setiap masa kita sebenarnya tidak faham situasi anak dan isteri di rumah.

Apatah lagi jika kita tidak pernah meringankan tangan untuk membantu kerja-kerja isteri. Jika anda seperti ini, cuba uji diri anda untuk sehari sahaja tukar peranan.

Baru-baru ini saya mencuba. Sejak berkahwin, tidak pernah pun menguruskan hal rumahtangga dari permulaan pagi hingga penutup malam.

Cubaan saya benar-benar menyedarkan diri betapa sang isteri dan ibu ini lebih banyak pengorbanannya berbanding kita.

1) Hari itu dimulakan dengan bangun pagi, susun pinggan mangkuk. Jerang air dan siapkan sarapan.

2) Anakku bangun. Diajak sama-sama sarapan. Selesai saja, pinggan mangkuk diletak di sinki. Anak dimandikan, dipakaikan baju dan tinggalkan menonton kartun.

3) Pinggan mangkuk tadi dicuci. Kumpulkan baju kotor dan masukkan dlm mesib basuh. Cuci. Sambil menunggu siap sapu lantai.

4) Baju sudah siap cuci. Sidaikan. Mop lantai pula. Sedang sibuk, anak keluar minta makanan. Sediakan makan minum untuknya. Sambung mop.

5) Anak mula bosan dengan kartun. Dia keluarkan mainan dan bersepahlah mainannya. Sambil itu, dia dok ulang alik berlari dan naik kuda.

6) Bermain sekejap dengan dia. Teringat apa nak makan tengahari. Siap sedia masak. Waktu dah nak Zohor. Masak. Solat. Makan bersama.

7) Anak perlu ditidurkan. Tanda dia mengantuk, dia mula buat hal. Sampailah dia terlena, baru sempat cuci pinggan mangkuk tadi.

8) Terfikir pula apa nak makan malam. Biasanya aku juga suka minum petang. Sekejap saja dah Asar. Solat.

9) Anak bangun. Kena siap dah minum petang. Jerang air. Goreng keropok. Bancuh kopi. Hidangkan. Makan bersama.

10) Sebelum Maghrib mandikan anak dulu. Pakaikan baju. Siapkan diri sendiri pula. Solat Maghrib. Baca quran.

11) Masak nasi goreng. Ajak makan malam. Makan. Cuci pinggan mangkuk.

12) Isyak. Nak rehat sambil tengok tv. Anak datang meluru minta bacakan buku. Baca sekejap saja, dia bosan. Ajak main. Kenalah bermain dengannya. Tak dapat rehat.

13) Anak mula mengantuk. Tidurkan dia. Siapkan katil tidurnya. Dukung dia alih ke katilnya. Rehat.

14) Alamak, lupa angkat baju dah kering. Timbunkan dalam bakul. Kenalah lipat.

15) Sebelum tidur, pastikan pintu tingkap semua tutup dan berkunci. Lampu hanya satu saja dibiarkan terpasang. Eh, pastikan semuanya sudah kemas. Dapur dah bersih. Mainan anak dah disimpan. Komputer dah ditutup.

Sedar-sedar semua itu berlaku pantas. Apabila nak tidur, jam menunjukkan 12.30 tengah malam. Sangat penat. Mengantuk.

Itulah rutin harian yang paling ringan perlu dibuat isteriku. Bilakah masanya dia berehat? Hanya untuk tidur malam.

Tidak juga. Kadangkala anak menangis tengah malam, dia akan bangun menenangkan anak. Dalam satu malam mungkin bukan sekali dia menangis.

JADI,

Layakkah kita sang suami dan ayah balik kerja merasakan diri penat, lantas mengharapkan isteri melayan kita seperti raja?

Layakkah kita mengarah atau memerintah isteri menyediakan itu dan ini?

Kalau kita sakit, boleh minta MC dan berehat. Kalau nak bercuti, kita boleh minta cuti dan enjoy.

Tapi isteri dan ibu itu tetap terpaksa kerja sekalipun dia sakit atau sedang bercuti.

Kalau dia minta MC atau cuti daripada kita, sanggupkah kita berikan rehat sepenuhnya kepadanya?

Sayangi, hormati dan hargailah isteri dan ibu kita. Mereka tak pernah merungut dari tahun ke tahun. Kudrat mereka ditumpukan untuk kita dan anak. Jika kita bertukar peranan dengan mereka, belum tentu kita mampu berbuat sebaik mereka.

Ampunkan dosaku wahai ibu dan isteriku. Mungkin orang memandang rendah surirumah seperti kalian, tetapi tidak bagi aku.

Tak mungkin dapat dibalas segala kesenangan dan ketenangan yang kalian berikan buatku.

Bantuan kecil sahaja dapat aku hulurkan saat kalian memerlukan. Terkadang aku hanya fikirkan diri yang penat dan lelah, tanpa fikirkan apa yang telah kalian lalui.

Ya Allah kau berikan ganjaran setinggi-tingginya atas keikhlasan kalian. Terima kasih kerana Kau berikan aku ibu dan isteri terbaik buat diriku.

1 ulasan:

Alin Marlini berkata...

setuju sangat...mari sama2 ringankan beban isteri...hehehe

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular