08 Februari 2023

Pengalaman kena COVID selepas 2 tahun

Setelah 898 hari sejak COVID mula diisytihar outbreak pada 30 Januari 2020, aku akhirnya dijangkiti pada 16 Julai 2022, setelah kesemua vaksin sudah aku dapatkan termasuklah dos penggalak sebanyak dua kali.

Inilah yang dikatakan Ibnu Hajar al-Asqalani bahawa jangkitan itu datangnya daripada kehendak Allah. Ada orang yang dah lengkap vaksin macam aku pun kena. Ada yang anti-vaksin sihat sejahtera. 

Memang betul apa yang Ibnu Hajar katakan itu. Yang salah ialah kita kerana meletakkan vaksin sebagai jaminan selamat atau tidak selamat. Kemudian saling menyalahkan dan bergaduh untuk perkara yang tak meningkatkan iman tentang 'kehendak Allah' ini.

Aku redha dengan ujian ini. Alhamdulillah simptom ringan sahaja berbanding saudara-mara dan rakan kenalan yang diuji dengan kesakitan yang lebih berat dan perit. Malah ramai juga yang mengakhiri derita yang dialami dengan menutup mata selama-lamanya, tanpa sesiapa di sisi, tanpa anak isteri mengiringi ke rumah abadinya, tanpa wajahnya dapat ditatap kali terakhir oleh ahli keluarga.

Blog ini tempat aku tinggalkan kenangan untuk aku ingat bahawa pengalaman ini adalah benar terjadi. Biar anak cucu aku kelak tahu suatu pandemik besar pernah berlaku ketika aku hidup, dan aku pernah mengalaminya. Ingatlah Allah selalu!

HARI PERTAMA (Sabtu, 16/7/2022)

Suhu badan 37.8 C membuatkan badan rasa tak sedap. Sendi di lutut dan buku lali lenguh sangat. Tengkuk di sebelah kiri dan kanan juga sama. Seingat aku memang aku dah sakit di semua tempat itu kerana penat berjalan kaki dan buat kerja komputer. Cuma sakitnya lain sikit kali ini, susah untuk terangkan. Memang lenguh lain macam, hendak pandu kereta pun tak selesa, kalau boleh nak luruskan saja kaki. Kepala memang pening berterusan.

Alhamdulillah kadar oksigen lebih 95 ikut bacaan Oximeter di rumah ini. Simptom lain tiada, masih boleh bau dan rasa, ada selera lagi, tiada batuk dan sesak nafas. Aku hanya ambil ubat homeopati yang sudah aku dapatkan semalam di Melawati.

Tidur malam aku asyik terjaga. Sakit kepala kuat buatkan aku terpaksa ambil Actifast Panadol dua biji untuk tidur.

HARI KEDUA (Ahad, 17/7/2022)

Alhamdulillah suhu badan dah turun jadi 36.7 C dan sakit sendi dan tengkuk juga hilang. Sakit kepala pun tiada lagi. Cuma simptom lain muncul. 

Dada di sebelah kiri berasa kurang selesa sikit, semacam rasa sesak nafas tapi aku boleh bernafas dengan baik. Malah kadar oksigen masih lagi lebih 95. Bacaan nadi per minit sahaja masih lagi lebih 100 seperti semalam. Batuk tiada, deria bau dan rasa masih berfungsi, selera pun baik.

Malam ini aku tak dapat tidur langsung. Aku cuba tidur tapi tak dapat. Mata segar, kepala tak pening. Cuma fikiran sentiasa dihambat dengan macam-macam kerja dan perkara yang tak mahu hilang. 

Ditambah pula aku asyik dengar Nufayl mula batuk-batuk dan ibunya kata suhu badan dia pun naik. Aku jadi tak keruan dalam bilik seorang diri. Aku jenguk tengok dia dari celah pintu yang aku kuak sedikit. 

HARI KETIGA (Isnin, 18/7/2022)

Sampai ke pagi hari ini aku masih tak rasa mengantuk atau sakit kepala. Pertama kali aku rasa begini sedangkan hari dah nak masuk tengahari pun tiada langsung rasa mengantuk. 

Aku cuba untuk buat kerja aku yang banyak tertunda tapi satu kerja pun tak boleh buat. Bukan sebab tak boleh tengok skrin, tapi apabila berfikir aku rasa seperti anxiety, cemas semacam. Aku alihkan diri dengan baca Quran, baca buku atau tengok filem sahaja. Mula berfikir lebih saja, rasa tak tenteram.

Suhu hari ini 36.6 C dah tak rasa panas badan. Sakit dada dah tak ada, sakit-sakit yang sebelum ini pun dah tiada. Tapi simptom lain pula muncul.

Batuk kuat dan selesema. Walaupun sekali sekala batuknya seperti mahu mengeluarkan kahak yang tersimpan dalam paru-paru. Dua tiga kali batuk baru ia muncul. Tekak mula sakit. Sebelum ini tekak hanya kering mahu banyak minum air, kali ini dah mula perit.

Homepati memang aku terus makan. Disebabkan tekak dah perit, aku makan lozeng Difflam Hextra pula. Alhamdulillah lega sikit, rasa peritnya antara ada dan tak ada dah sekarang. Minyak habbatus sauda pun aku titiskan dalam mulut sebagai tambahan.

Batuk lebih menjadi apabila aku makan. Selera makan alhamdulillah masih elok. Cuma batuk berkali-kali memang menyakitkan dada. Aku cuba kulum cengkih, nampaknya berkesan kerana batuk hanya sekali sekala. Menjelang malam lebih menjadi-jadi pula. Cengkih tak berkesan seperti petang tadi. Aku terpaksa tutup penghawa dingin dan buka kipas dengan kelajuan tahap dua. 

Alhamdulillah dalam jam 12 malam baru tiada batuk berterusan. Aku dapat tidur dengan baik malam ini, alhamdulillah.

HARI KEEMPAT (Selasa, 19/7/2022)

Ketika aku sedang menulis ini, berita melaporkan berlaku peningkatan 33% kes baharu. Memang akhir-akhir ini bilangan semakin bertambah.

Aku bangun pagi dengan badan berasa seperti sudah normal. Selepas mandi, aku batuk-batuk kuat semula. Dada terasa penat disebabkan batuk ini. Satu badan bergegar apabila aku batuk. Bahu pun mula rasa penat. Aku sapukan vicks pada dada tapi tak rasa pula panasnya.

Isteriku telefon aku kata dia tak boleh bangun, dia sakit pinggang yang teruk tiba-tiba. Aku terpaksa pergi ke biliknya untuk tengok keadaannya dalam keadaan aku terpaksa memegangnya. Sebagai langkah berhati-hati, aku basuh tangan dengan sabun dan pakai penutup muka untuk membantunya. 

Hari ini jugalah aku kena masak sendiri dan jaga anak-anak kerana isteri sakit yang amat. Aku tawakkal sahaja hanya pastikan aku tak buka penutup muka depan orang lain. Ketika waktu makan, aku kembali ke bilik kuarantin aku untuk buka penutup muka dan makan seorang diri.

Aku juga terpaksa keluar bawa isteri ke klinik untuk pemeriksaan doktor dan X-Ray. Sakit pedihnya nampak sangat kerana aku kenal isteriku bukan jenis mudah mengalah kalau sakit, hinggakan susah aku nak tahu dia sakit ke tidak. Kali ini dia memang betul-betul sakit. Duduk tak boleh, baring kena beralih-alih, dan dipaksakan dirinya berjalan kaki untuk ke klinik.

Syukur tiada yang kritikal tapi tak tahu apa puncanya. Walaupun dah dapat ubat tahan sakit, dia kata masih ada rasa sakit cuma kurang sedikit daripada siang tadi.

Alhamdulillah batuk aku pun hilang sudah. Muncul sesekali apabila aku makan sahaja, terutamanya apabila makanan berminyak. Tidur malamku nyenyak. Memang badan terasa cepat penat walaupun tidaklah banyak sangat kerja yang aku buat.

HARI KELIMA (Rabu, 20/7/2022)

Bangun dengan segar sekali. Tiada lagi semua simptom. Alhamdulillah syukur. Terima kasih Allah kala isteriku perlukan aku, Kau sembuhkan aku. Ini giliran aku untuk balas susah payah isteri aku jaga makan pakai aku tiga hari awal aku kena COVID.

Tiada apa yang dapat aku ceritakan lagi tentang pengalaman COVID kerana keadaan aku terasa seperti sudah normal. Ujian kendiri pun negatif sejak hari ketiga lagi. Keliru pula aku benarkah aku kena COVID atau hanya demam influenza. Tak apalah, aku habiskan saja tempoh kuarantin ini.

Memang aku terpaksa papah isteri bangun dan duduk. Kemudian kerja-kerja rumah perlu aku siapkan seperti mana yang dia biasa lakukan. Sungguh, kalau sang suami baca catatan ini cuba-cubalah sesekali ambil alih tugas surirumah. Baru kita tahu sebenarnya tiada rehat yang cukup buat dia. Kalau sakit sekadar demam, dia biasanya akan tetap buat kerja rumah. Jagalah hati mereka yang bersusah payah demi kita dan anak-anak.

Satu perkara yang sangat penting aku belajar ketika kuarantin. Tempoh ini adalah tempoh merenung diri, bagaimana kita layan isteri dan anak-anak selama ini. Itu yang aku fikirkan. Terdetik juga andai aku tiada nanti, apakah yang aku tinggalkan buat mereka? Banyak sebenarnya perkara yang terfikir ketika duduk sendirian dalam bilik.

Hari ini aku bawa isteri ke rawatan akupuntur di Subang Jaya. Jauh perjalanan kami ambil masa 45 minit. Aku gagahkan diri walaupun tahu aku melanggar perintah kuarantin, tapi aku tiada cara lain. Tiada siapa yang boleh bantu kerana mak mertua aku lebih teruk batuknya sekarang, akibat komplikasi pasca COVID. Hari ini juga adik aku teman ibu buat prosedur sumsum tulang di HPUPM. Aku tawakkal sahaja, dan anak-anak aku tinggalkan sendirian di rumah dengan makanan sudah disiapkan.

Setelah balik barulah aku terasa penat. Lama tak rasa penat dan mengantuk seperti hari ini. Aku dapat tidur dengan puas malam ini.

HARI KEENAM (Khamis, 21/7/2022)

Rasanya sudah tiada cerita COVID untuk aku. Segala-galanya sudah berasa normal. Hanya hendak habiskan perintah kuarantin kendiri sahaja. Aku masih jaga isteri dan anak-anak. Urusan makan pakai juga disiapkan.

Situasi isteri nampak baik. Cuma masih tidak boleh duduk atau berdiri lama. 

Aku terpaksa keluar lagi hari ini membeli barangan dapur dan ubat-ubatan di farmasi. Memang benar kata orang pesakit COVID akan cepat rasa mengah. Memang aku perasan walaupun barang dalam troli tak banyak, aku berasa mengah. Jadi, aku bergerak perlahan sahaja.

Aku perasan fikiran aku melayang sesekali apabila nak cuba mengingat barangan yang nak dibeli. Ingatan aku agak lambat untuk aku dapatkan apa yang aku cuba ingat itu. Adakah sebab aku tak dapat fokus dengan baik kerana fikiran teringatkan keadaan di rumah atau ini juga kesan COVID?

Sepanjang berada di luar, aku pastikan aku jauh daripada orang lain. Alhamdulillah batuk tiada, suara pun dah jelas. 


Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular