04 Ogos 2013

10 pengajaran berniaga di bazar Ramadhan

Ramadhan kali ini aku cuba berniaga di bazar. Aku dibantu adik lelaki berpetang-petang di bazar menjual kuih tepung gomak dan badak berendam. Itu sahaja. Kami memilih untuk berniaga hanya 20 hari. 10 hari terakhir dilapangkan untuk mengisi keperluan peribadi.

Gerai kami di bazar Ramadhan
Maka, beberapa kesimpulan dapat aku pelajari daripada berniaga kecil-kecilan begini.

1) Berniaga itu mengajar kami mengenal maksud rezeki. Hari mendung, cuaca panas, orang sedikit dan segala faktor luaran hanyalah rencah untuk memahami hidangan yang dinamakan rezeki. Memang Allah dah tentukan rezeki untuk kita. Ada masa jualan kita licin, dan ada masa jualan tak habis.

2) Komunikasi dengan orang awam bertambah baik. Mula-mula kita berasa malu dan kekok untuk bertegur sapa pelanggan. Dan memang rata-rata sukar juga melihat peniaga yang mesra pelanggan. Entahlah apa masalahnya. Tapi kalau kita benar-benar serius berniaga (bukan terpaksa), seronok sebenarnya dapat bertegur sapa dengan orang yang tak kita kenali.

3) Kebersihan itu faktor penarik. Seperti kami yang memasak siap-siap di rumah, hanya perlu menjual sahaja. Jadi, untuk menjaga kebersihan lebih mudah berbanding yang buat penyediaan di tempat berniaga. 


4) Keutamaan bukan pada harga tapi selera. Mula-mula kami sengaja berniaga pada harga rendah (dengan saiz kecil), sambil memanggil-manggil pelanggan dengan cogankata "seringgit je". Minggu kedua kami naikkan harga dengan saiz yang besar. Kami dapati pelanggan memang mencari kuih tradisi ini, tidak ramai yang baru mahu mencuba. Tidak pula kedengaran orang berkata murahnya atau mahalnya. Tidak juga melihat orang terpanggil apabila cogankata awal tadi dilaungkan. Mereka lebih terpanggil bila kata " Badak Berendam.. Tepung Gomak". Itu sudah memadai.

5) Surau adalah pendorong peniaga menunaikan solat. Kami rasa gembira apabila ramai juga peniaga bersolat. Yalah, sebelum berniaga seringkali kami dengar kritikan sinis terhadap peniaga yang tidak bersolat. Sebenarnya, bukan masalah peniaga saja.. bergantung kepada oranglah. Cuma apabila ada surau, kita boleh lihat peniaga meninggalkan gerai untuk menuju ke surau. Jadi, suasana itu tercipta untuk mendorong peniaga lain dan pelanggan untuk turut menunaikan solat.

6) Saling memberi sesama peniaga. Ukhuwah sesama peniaga ini lain macam tau. Peniaga kiri kanan depan dan belakang confirm kita baik punya, macam-macam cerita boleh layan. Siap boleh tolong jaga. Dan yang paling menarik, sebelum berbuka puasa, ramai akan saling memberi makanan/minuman yang diniagakan.

7) Berniaga makanan penat. Untuk menyediakan sekitar 300 keping kuih sahaja sudah memerlukan kami menguli, mengisar, mengayak, menggentel, memasak, merebus, menyusun dsb sejak jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang, iaitu sebelum gerai dibuka. Bayangkanlah pada setiap hari begini, disambung pula dengan keletihan berniaga di bazar, di manakah kenikmatan Ramadhan?

8) Untung besar jika pulun habis. Betul kata orang, berniaga bazar Ramadhan untung besar. Tapi jika anda pulun habis berniagalah macam kawan sorang ini setiap hari menyiapkan kek sekitar 900 keping. Dia mula menyediakannya sejak sahur sehingga berbuka puasa. Dan memang diakui tarawih sah tak ketemu. Jadi, apa sebenarnya yang kita cari?

9) Pembaziran boleh dielakkan. Biasanya peniaga akan cuba menghabiskan jualan semampu yang boleh. Kami tidak, kami lebih utamakan berbuka puasa bersama keluarga. Jadi, biarlah ada lebihan pun, kami tetap tutup payung dan lipat meja sebelum azan berkumandang. Yalah, nak bersiap-siap lagi pun dah makan masa. Kan ada solat tarawih pula. Untungnya bulan ini, lebihan jualan boleh diberikan kepada jemaah surau/masjid. Jadi, tetap dapat untung.

10) Anak-anak yang kurang perhatian ibubapa yang berniaga menjadi kasar dan liar. Bukan apa, itu kan kaedah mereka nak dapatkan perhatian. Apabila tak diberikan juga, bertambah kasarlah mereka. Ini sangat jelas kelihatan. Aku cuba eksperimen bawa anak ke gerai. Sungguh, aku tak dapat berniaga apabila perlu melayan anak. Itulah sebabnya perlukan pembantu. Jika anak sudah besar sikit, bolehlah diajak berniaga sekali, itu lebih baik daripada dibiarkan mereka bermain sendirian. Apatah lagi di era pemerdagangan manusia.

Anakku duduk keletihan selepas bermain-main di sekitar bazar
Cukuplah 10 perkara ini yang dapat aku simpulkan daripada pengalaman berniaga di bazar Ramadhan. Kesan paling ketara dalam diri ialah memahami maksud rezeki dan menghargai betapa tingginya nilai Ramadhan yang tak boleh dijual beli.

Amat rugi rasanya apabila penat lelah semata-mata untuk mengejar laba perniagaan sedangkan laba ibadah yang ditawarkan pada kadar lebih hebat dalam bulan Ramadhan disia-siakan begitu sahaja.

Namun, hakikatnya ada kaedah untuk mendapatkan kedua-duanya sekali. Fikir-fikirkanlah dan selamat beramal..

2 ulasan:

ziana berkata...

Saya pengunjung tegar pasar ramadhan..alhamdulillah beberapa soalan yg bermain difikiran ada yg telah terjawab.pokok pangkalnya tepuk dada tanya iman.tq for the info

Sahalfikri berkata...

Terima kasih cik ziana. apa persoalan lain lagi ya? Mana tahu saya boleh jawab.

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular