Ramadhan kali ini aku cuba berniaga di bazar. Aku dibantu adik lelaki berpetang-petang di bazar menjual kuih tepung gomak dan badak berendam. Itu sahaja. Kami memilih untuk berniaga hanya 20 hari. 10 hari terakhir dilapangkan untuk mengisi keperluan peribadi.
|
Gerai kami di bazar Ramadhan |
Maka, beberapa kesimpulan dapat aku pelajari daripada berniaga kecil-kecilan begini.
1) Berniaga itu mengajar kami mengenal maksud rezeki. Hari mendung, cuaca panas, orang sedikit dan segala faktor luaran hanyalah rencah untuk memahami hidangan yang dinamakan rezeki. Memang Allah dah tentukan rezeki untuk kita. Ada masa jualan kita licin, dan ada masa jualan tak habis.
2) Komunikasi dengan orang awam bertambah baik. Mula-mula kita berasa malu dan kekok untuk bertegur sapa pelanggan. Dan memang rata-rata sukar juga melihat peniaga yang mesra pelanggan. Entahlah apa masalahnya. Tapi kalau kita benar-benar serius berniaga (bukan terpaksa), seronok sebenarnya dapat bertegur sapa dengan orang yang tak kita kenali.
3) Kebersihan itu faktor penarik. Seperti kami yang memasak siap-siap di rumah, hanya perlu menjual sahaja. Jadi, untuk menjaga kebersihan lebih mudah berbanding yang buat penyediaan di tempat berniaga.