01 September 2021

Kemerdekaan Hakiki Ustaz Siddiq Fadzil


Tanggal kemerdekaan pada tahun-tahun mendatang akan bertambah maknanya. Aku akan terus mengingatinya sebagai tarikh pemergian tokoh besar dalam hidup aku, Almarhum Ustaz Siddiq Fadzil.

Sungguh aku katakan di sini, kerangka pemikiran yang ada dalam diri aku hari ini dibentuk oleh tokoh-tokoh besar dalam Jemaah PKPIM-ABIM-WADAH.

Sedari usia kanak-kanak, aku dibiasakan mendengar ucapan dan perbincangan ayah dan teman-teman seperjuangannya.

Begitu banyak nama tokoh ilmuwan dan pemikir Islam tempatan dan antarabangsa yang sering bermain di bibir mereka.

Hinggakan nama-nama itu melekat dalam ingatan aku sedang aku duduk meleser di tepi ayah atau bermain di bawah kerusi ketika ayah mengikuti usrah.

Ustaz Siddiq Fadzil adalah antara nama yang sering disebut. Setelah melangkah masuk ke universiti, aku semakin dekat untuk mengenal sosok ulama tempatan ini.

Ulama’ yang lain daripada yang lain. Berpakaian batik dan bersongkok, itulah penampilan yang sering dirakam. Benar-benar persis sosok Nusantara, Buya HAMKA yang terus diingati.

Ucapan ustaz penuh bernas dan hikmah, teradun asas syariah dengan adat budaya, memaksa audien untuk berfikir di sebalik lontaran kata bermadah campur sindiran.

Ucapan ustaz ditunggu ramai, memukau sesiapa sahaja yang mendengarnya walaupun untuk kali pertama. Gelak tawa terhambur sendiri tanpa dipaksa apabila sindiran sinis begitu tajam menepati maksud.

Begitu aku diajar menghormati tokoh begini sedari kecil, aku tidak berani untuk banyak bercakap di hadapan mereka. Lebih banyak tunduk dan mendengar, itulah yang aku pelajari daripada ayah.

Aku tidak pernah berhadapan dengan Ustaz Siddiq Fadzil. Hanya menatap dari jauh, paling dekat pun sekadar berselisih dan mengucap salam.

Masih aku ingat saat kali pertama aku cuba memperkenalkan Konvensyen Ketamadunan Dunia 1.0 sebagai acara ternama tahunan GPTD.

Kami pilih tema “Menjejaki Kegemilangan Tamadun Melayu” dan menghimpunkan tokoh-tokoh dari pelbagai latar belakang untuk beraksi di atas pentas mewah Dewan Bahasa dan Pustaka.

Aku teringin mempelawa Ustaz Siddiq untuk membentang tajuk “Toleransi Ulama’ Melayu : Pendekatan Yang Mendamaikan”.  Barangkali inilah peluang aku bersemuka dengan ustaz.

Surat dan emel yang dikirim tidak dibalas. Beberapa kali aku menelefon pembantu ustaz Puan Asmawati atau lebih dikenali dengan panggilan Kak Ti.

Kak Ti jawab, “Akak dah letakkan surat itu atas meja ustaz. Biasanya akan ada catatan arahan. Jadi atau tidak pun akan diberitahu. Kita tunggu dulu.”

Aku faham dan terus menunggu. Berkali-kali cuba dapatkan jawapan, masih begitu sahaja jawapan Kak Ti.

Tinggal seminggu sahaja lagi sebelum acara dimulakan. Tiba-tiba dapat panggilan daripada Kak Ti mengatakan Ustaz Siddiq sudah siapkan kertas kerja.

Syukur tak terhingga apabila rupa-rupanya dalam diam Ustaz Siddiq sedang menyediakan kertas kerja. Ustaz menyatakan jawapan bersekali kertas kerja. Alhamdulillah, lega sekali.

Pada hari itulah satu-satunya momen aku dapat bersama Ustaz Siddiq. Aku segera menyambut Ustaz Siddiq yang datang sendirian. Dapatlah aku berikan penerangan tentang acara sepintas lalu sambil ustaz mengangguk tanpa banyak cakap.

Kemudian ustaz terus singgah ke reruai buku walaupun disua untuk ke bilik VIP. Dalam hati, aku berasa bimbang kalau-kalau ada yang tak kena dalam acara ini. Siapa yang bekerja dengan aku tentu tahu betapa cerewetnya aku tentang kesempurnaan.

Tepat waktu untuk ustaz mula bicara, pembentang sebelumnya masih belum tamatkan sesinya. Aku sudah sedia terima teguran ustaz. Dan memang itulah yang dibisikkan dalam nada perlahan tentang ketepatan waktu.

Walaupun kami sudah pesan tempoh diberikan kepada setiap pembentang hanya 40 minit, malah ada paparan visual di skrin menunjukkan masa berbaki, susah juga untuk menghentikan sesi yang sedang panas dengan soal jawab.

Audien kali ini jauh berbeza daripada lazimnya. Lebih 300 orang yang majoritinya kami tidak kenal, bukan mewakili ahli jemaah yang sering mendengarkan ucapan Ustaz Siddiq.

Ada yang datang berbusana lengkap Melayu. Ada pelajar sekolah. Ada juga para guru dan orang-orang kenamaan. Ada yang datang dari Sabah dan Sarawak melengkapkan penyertaan seluruh Malaysia. Ditambah pula dengan wakil-wakil Melayu dari Kemboja dan Aceh.

Tibalah masa Ustaz Siddiq beraksi. Gaya bicaranya tetap bertenaga dalam menyampaikan tajuk yang diolah menjadi “Pertembungan Islam Dengan Budaya Peribumi: Pengalaman Alam Melayu.”

Kami padankan ustaz dalam urutan ketiga selepas Puan Zaharah Sulaiman dan Dr. Mat Rofa, sebagai mengisi sejarah dan budaya dengan adunan agama. Padanan itu nampak berjaya apabila ramai orang awam mulai berminat dengan Ustaz Siddiq Fadzil yang mereka baru kenal.

Ustaz akhiri sesi pembentangannya dengan menyatakan, “Syari`at memang bersifat global-universal, tetapi fiqh adalah kontekstual.” Bangunkanlah Fiqh Melayu! Besar maksudnya dan pesan berupa cabaran berani.

“Audien kita hari ini lain ya,”ujar Ustaz Siddiq sewaktu menjamah makanan tengahari. Aku terus menerangkan dari mana datangnya audien kami. Ustaz benar-benar teruja dengan reaksi aktif para peserta. Soalan yang diajukan memberi petanda kepelbagaian latar belakang.

Mohamad Raimi  Ab Rahim, selaku Presiden ABIM waktu itu pun turut sama menemani ustaz. Abg Raimi hadir awal menyertai persidangan ini dan sengaja duduk di tempat peserta walaupun dipelawa duduk di kerusi VIP. Abg Khairul Arifin pun turut serta hari itu merakam bicara tokoh yang kelak diangkat menjadi Tokoh Maal Hijrah 1440H/2018 ini.

Tidak lama selepas itu, sekali lagi ustaz mengunjungi reruai buku dan membeli beberapa buah buku. Aku mengekorinya sambil bantu menjinjing beg tangannya.

Aku sedar budaya suka membeli buku dan banyak membaca ini diperturunkan murabbi kita kepada seluruh para pengikut. Itulah yang ada pada ayah aku yang juga menurun kepada aku.

Suatu kepuasan luarbiasa apabila dapat membaca pelbagai karya dan ragam pemikiran yang mencorak dimensi pemikiran kita.

Subhanallah, moga-moga biografi Dr. Dato’ Siddiq Fadzil diusahakan bagi merakam segala jasa ustaz yang tentunya menjadi amal berterusan kala ustaz berehat di alam sana. Inilah kemerdekaan hakiki ustaz meninggalkan kita setelah berpenat-penatan di dunia.

Muat turun kertas kerja Ustaz Siddiq Fadzil di sini!

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular