16 November 2016

Benarkah Daun Rerama Mujarab?

Sejak aku buat posting berkenaan Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik, itulah posting kedua tertinggi dikunjungi pembaca selepas posting Bedah buang geraham bongsu. Tujuan asal ingin berkongsi pengalaman rakan aku Khai. Untuk pengetahuan semua, sahabat aku ini sudah pun meninggal dunia menjelang Ramadhan 2016. 

Statistik kunjungan posting berkenaan daun rerama mencapai 34,426 kunjungan.

Pemergiannya membuatkan beberapa pelanggan daun rerama bertanya kepada aku tentang kemujaraban daun ini. Beginilah biar aku ceritakan sedikit. Sebelum arwah Khai meninggal dunia, aku sempat menziarahinya. Kasihan melihat keadaannya yang jelas nampak sakit. Dia ceritakan yang dia susah sangat untuk tidur dan selera makannya selalu tiada. Adakala apabila datang selera, dia makan sepuas-puasnya. 

Dipendekkan cerita, arwah Khai mengakui bahawa daun rerama ini sangat baik untuk menyembuh pelbagai penyakit khususnya kanser. Namun, dia memilih untuk tidak mengamalkannya kerana dia mendakwa mempunyai alahan apabila meminum daun ini. Ibunya pun sempat berbisik dengan aku untuk suruh arwah Khai minum lagi air daun ini, tapi aku sendiri jadi kasihan untuk mendesak dia. Aku cuba cakap perlahan-perlahan hingga akhirnya selepas saudaranya yang datang tolong memujuknya minum air daun ini, dia pun berjanji aku meminumnya. Sewaktu aku nak pulang, dia gagahkan diri keluar berjalan kaki mengiringi aku keluar. Aku kata tak mengapa, tapi dia tetap hendak berjalan dalam keadaan lemah longlai dan melambaikan tangan hingga aku hilang dari pandangan.

Tolong sedekahkan al-Fatihah buat sahabatku ini, kemudian sambunglah baca

Aku sempat menghadiahkan buku tulisanku dalam kali terakhir pertemuan aku dengan Khai. Jauh berbeza tubuh badannya berbanding sebelum ini waktu aku berjumpa dengannya bekerja di Hotel Golden Horses di Sungai Besi.

Namun takdir Allah, tiga minggu selepas kunjungan aku, aku mendapat khabar bahawa dia sudah pergi buat selamanya. Bagi aku, ini mungkin petanda Allah sudah memanggil dia untuk pergi meninggalkan dunia ini. Dia sendiri sudah berhenti memakan ubat-ubat hospital, air daun dan juga seleranya hilang. Tiadalah kena mengena dengan apa jua yang berlaku melainkan begitulah caranya Allah ingin memanggilnya pulang.

Baik, cukup sekadar itu. Ibunya juga masih menjual daun rerama buat mengubati pesakit lain. Sewaktu posting berkenaan arwah Khai dulu aku taip, memang benar segala kesan positif yang telah dia alami. Aku dan beberapa ahli keluarga dan pelanggan pun sudah banyak memberikan maklumbalas positif.

Benarkah Daun Rerama Mujarab? Hah, inilah soalan yang sering diajukan kepada aku. Dan jawapan aku di bawah ini nanti adalah antara jawapan yang aku kena sampaikan dengan baik. 

KEMUJARABAN TIDAK TERLETAK PADA DAUN ITU TETAPI KEHENDAK ALLAH YANG MAHA KUASA

Tolonglah jangan sesekali merasakan bahawa daun itu yang menyembuhkan. Menjadi tanggungjawab aku untuk menjelaskan hal ini agar masyarakat tidak bergantung pada makhluk. Kemujaraban apa jua daun dan ubat itu letaknya pada izin Allah yang menciptakannya dengan fungsi tertentu.


Pernah tak kita dengar ada orang makan Panadol, peningnya terus hilang dan ada pula yang makan Panadol, peningnya masih tetap ada? Sebab itu kita kena faham yang ubat dan herba yang kita beli untuk mengubati sebarang penyakit hanyalah ikhtiar kita atas fungsi yang telah dijadikan ke atasnya oleh Allah iaitu untuk menjadi ubat yang menyembuhkan. Namun, boleh saja ia tidak menyembuhkan jika Allah tidak izinkan.

Faham tak? Kalau tak faham, kena cari ustaz lah untuk terangkan lebih jelas. Jadi, bila minum air rebusan daun rerama sakit tidak sembuh, jangan disalahkan pada daun itu. Jangan-jangan aku pun dipersalahkan. Ubat herba ini sefaham aku adalah alam semulajadi yang sesetengahnya serasi dengan badan kita dan ada yang sebaliknya. Ia bukan macam matematik yang jawapannya sudah tentu.

Ianya ialah satu ilmu ETNOFARMOKOLOGI yang kebanyakannya berasal dari pengalaman dan kemahiran orang dulu-dulu yang juga dipanggil sebagai KEARIFAN TEMPATAN. [Berminat nak tahu lanjut tentang ini, boleh baca kertas kerja ini ]


Itulah saja pesan aku kepada semua pengguna, pembeli, penanam, penjual, peniaga, pemborong dan sesiapa saja yang terlibat dalam urusniaga daun rerama ini. Jika kita sembuh, syukurlah kepada Yang Maha Esa. Jika sebaliknya, minta Allah tunjukkan jalan terbaik untuk ikhtiar penyembuhan. Sesungguhnya tugas kita ialah berusaha sedaya upaya, hak untuk memberi apa yang kita hajati itu total milik Allah. Ingatlah ayat Allah berikut:


Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular