Baru-baru ini aku diundang Karya Bestari ke Jakarta untuk sesi bedah buku 'Menumpang Teduh Pohon Akasia: Somaliland Bukan Somalia' pada 1 Oktober 2016 sempena Pesta Buku Antarabangsa Indonesia di Jakarta Convention Center (JCC).
Kali terakhir aku ke Jakarta ialah pada tahun 2003. Lebih 10 tahun aku tak jejakkan kaki ke sini. Tentu sudah banyak perubahan di kotaraya ini. Pemergian kali ini pula secara solo, jadi berharap semuanya lancar saja. Tim Karya Bestari dah pergi lebih awal.
Disebabkan aku dah tahu flight MAS delay, aku cuba menenangkan seorang penumpang yang ingatkan dirinya sudah tertinggal flight. Dari situlah bermulanya perkenalan aku dengan orang Semarang yang sudah lama menetap di Jakarta. Dialah yang mengajarkan aku banyak perkara, dan juga rajin membawa aku ke sana sini untuk bergerak di Jakarta.
Aku nak berkongsi segala input yang telah dia berikan. InsyaAllah perjalanan akan menjadi mudah jika anda ikuti tips-tips yang saya dapatkan daripada saudara Arya ini:
1) Gunakan Grabcar untuk jimat kos
Rupa-rupanya perkhidmatan Grabcar di Jakarta sangat popular. Aku baru tahu perkara ini. Kawan-kawan di Malaysia yang sering ke Jakarta pesan aku supaya cari teksi Bluebird, kadarnya murah. Tapi apabila berbual dengan Arya dan orang Indonesia lain, mereka semua mengatakan Grabcar lebih murah. Kalau dari Bandara Antarabangsa Soekarno Hatta (Lapangan Terbang), boleh jimat hingga IDR100,000 dibandingkan dengan teksi.
Pengguna Android boleh download apps Grabcar Indonesia di sini
Pengguna iPhone boleh download apps Grabcar Indonesia di sini.
2) Naik Damri dari lapangan terbang ke bandar
Walaupun kadar Grabcar lebih murah, Arya mengajak aku naik Damri. Kadarnya hanyalah IDR40,000. Damri ialah perkhidmatan bas dari lapangan terbang ke bandar. Biasanya Grabcar mungkin sekitar IDR150,000 manakala teksi sekitar IDR200,000. Jika perjalanan macet (sesak), kos teksi boleh meningkat setinggi IDR400,000 kata Arya yang pernah mengalaminya.
Kalau naik Damri, kadarnya tetap sama walaupun macet. Cuma apa yang penting, anda tahu ke mana destinasi ingin dituju. Macam saya yang hendak ke bandar, naiklah Damri yang tertulis Blok M (kawasan membeli-belah di tengah-tengah bandar). Kemudian turunlah di stesen berdekatan hotel anda menginap. Kalau tak tahu di mana, semak dulu Jadual Perjalanan Damri. Kalau tak reti juga, turun saja di stesen terakhir dan kemudian naiklah Grabcar.
Stesen bas untuk naik Damri terletak di hujung sebelah kiri lapangan terbang. Sebaik keluar dari gate ketibaan, pusing ke kiri dan berjalan kaki terus hingga keluar daripada bangunan lapangan terbang mengikut susur gajah ke satu kawasan perhentian bas. Tiket boleh dibayar waktu atas bas walaupun ada yang jual di bawah. Lebih selamat bayar di atas kerana anda sudah confirm dapat tempat.
3) Naik Ojek untuk sampai cepat
Semua maklum yang bandar Jakarta ini selalu macet, lebih-lebih lagi waktu kemuncak pagi dan petang orang pergi-balik pejabat. Jadi, lebih mudah kalau nak bergerak ke sana ke mari dengan menaiki Ojek. Ojek itu ialah perkhidmatan memboncengkan penumpang menaiki motosikal menuju ke destinasi. Jadi, tiada masalah pun kalau macet, dapat jimat lebih sejam.
Kawan aku pergi ke Gedung buku Gramedia yang sekadar 3 kilometer dari hotel pada pukul 8 malam menaiki Grabcar pun mengambil masa sejam setengah. Akibatnya dia hanya ada 30 minit saja nak tengok buku. Kalau naik Ojek, kadarnya pun murah, sekitar IDR10,000 untuk 5 kilometer pertama.
Ada Ojek yang berdaftar dengan aplikasi Grab yang dikenali sebagai Grab Bike. Gunakan saja aplikasi Grab. Ada juga yang jenis tradisional, mereka menunggu di tepi jalan. Arya beritahu di sini lebih terkenal dengan Go-Jek, aplikasi tempatan seperti Grab Bike. Menariknya kedua-dua pesaing ini mengenakan jaket dan helmet rasmi masing-masing.
Pengguna Android boleh download apps Go-Jek Indonesia di sini
Pengguna iPhone boleh download apps Go-Jek Indonesia di sini.
4) Cari tempat makan menggunakan aplikasi Qraved
Antara perkara yang paling merungsingkan kita sebagai pelancong ialah di mana tempat makan yang sedap? Kalau kita kenal kawan, bolehlah dia kenalkan tempat sesuai, kalau tidak susah juga nak mencari. Di hotel tempat aku menginap, aku ternampak iklan Qraved, aplikasi tempatan untuk carian tempat makan.
Qraved perkenalkan aplikasi mereka sebagai one stop dining solution in your pocket. Dan memang betullah senang mencari tempat makan sebab ia akan tunjukkan tempat makan terdekat dalam map sekali dengan review orang tentang kedai tersebut. Sesetengahnya siap harga dan boleh reserve seats siap-siap.
Aku hanya sempat tengok-tengok saja tapi tak cuba pergi makan sebab kawan aku dah bawa pergi makan. Jadi korang kalau nak cuba, cubalah. Kebetulan waktu aku kat JCC, ada seorang penulis bercerita bagaimana peniaga di Jakarta yang tak jujur menjual bakso dengan campuran daging lembu dan daging tikus. Tercengang aku dibuatnya. Apabila aku tanya kawan aku memang benar ia berlaku, jadi elakkanlah makan di gerai-gerai kecil di tepi jalan sebagai langkah berjaga-jaga.
Aplikasi ini bukan hanya boleh membuat carian tempat makan di Jakarta, ia juga boleh digunakan apabila melancong ke Bali dan Bandung.
Pengguna iPhone boleh download apps Qraved di sini.
Pengguna Android boleh download apps Qraved di sini
5) Car Free Day setiap hari Ahad
Arya ajak aku berjalan kaki selepas Subuh di tengah-tengah bandar Jakarta. Katanya setiap hari Ahad, jalan ditutup sejauh 20 km dari jam 6 pagi hingga 11 pagi bagi membolehkan masyarakat bersenam, berbasikal, berjalan kaki dan pelbagai aktiviti lain. Jadi, motosikal yang dipandu Arya diparkir berdekatan dengan kawasan yang ditutup laluannya.
Hari Ahad dikenali di sini sebagai Hari Bebas Kendaraan Bermotor (HBKB). Sudah dimulakan sejak 2002 dan melibatkan banyak bandar-bandar lain sekitar Indonesia. Di Jakarta, pada waktu ini hanya bas bandar sahaja diizinkan beroperasi. Ini salah satu cara untuk mempromosi penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam.
Seronok datang waktu ini, dapatlah aku tengok macam-macam aktiviti masyarakat. Selain senamrobik berkumpulan, ada yang berdemonstrasi aman, meminta derma dengan cara menyanyi, mempamerkan binatang peliharaan, menjual barangan cenderamata dan sebagainya.
Semak laman ini untuk tahu laluan yang ditutup di Jakarta supaya anda pun boleh menikmati pengalaman sama seperti saya.
6) Makan Ayam Goreng Berkah
Ini pengalaman menarik buat aku. Disebabkan hendak sangat makan ayam special ini, Arya bawa aku menempuh hujan ke restoran popular ini berdekatan Blok M. Restorannya hanya ada di sini, tiada cawangan yang dibukanya bagi menjaga kualiti masakan. Perniagaan ini tidak pernah mengubah resipi asli keluarga Pak Rachmat sejak 1962. Sesampainya aku di sana, kena berdiri dulu tunggu giliran. Ramai betul orang nak menikmati gorengan ayam kampungnya. Sambal pun marvellous sekali dengan ulam segar. Harga berpatutan.
Sedap kan tengok ayam gorengnya. Dikhabarkan jualan sehari mencecah sebanyak 5,000 ekor ayam kampung. Jangan lupa minum air teh panas asli Indonesia (tanpa gula tapi tak pahit) dan Es Kopyor. Es Kopyor ini ialah air kelapa unik yang dari pokoknya sendiri isi kelapanya sudah terpisah dan terpecah-pecah dalam tempurung kelapa. Apabila digoyangkan kelapa itu, boleh kedengaran isinya berlaga-laga. Lain rasanya dan enak sekali.. Wajib minum!
Nah, tengoklah harganya dan lokasi.
7) Beli di Indomaret lebih murah
Kadangkala apabila berehat di bilik hotel, rasa lapar dan ingin kunyah-kunyah. Air mineral pun kita nak minum kan, jadi eloklah pergi cari Indomaret terdekat dengan anda. Di hotel aku menginap, air mineral berharga IDR18,000 untuk 800ml sedangkan aku membeli air mineral di Indomaret harganya IDR3,800 untuk 1.5 liter. Bayangkanlah dengan harga hotel tadi, aku boleh beli 4 botol air mineral 1.5 liter. Jimat ke tak?
Buat saja carian di google map, pasti akan ditunjukkan Indomaret terdekat dengan anda. Indomaret ini seperti 7-Eleven di Malaysia, cuma di tempat aku menginap, ia tak dibuka 24-jam.
8) Aktifkan kad ATM untuk tukaran wang lebih murah
Di Jakarta terdapat Maybank dan HSBC. Jika anda ada akaun Maybank, sila hubungi call center 1-300-88-6688. Kalau anda dah berada di luar negara, baru nak aktifkan, sila hubungi nombor ini +603-7844-3696.
Aku lebih suka gunakan HSBC sebab akaun aku selalunya apabila withdraw dari luar negara seperti di China dan Jordan dulu kadarnya lebih murah daripada money exchange luar. Sudahlah tiada caj pengeluaran, bahasa digunakan dalam paparan pun bahasa Melayu. Aktifkan hanya sekali, terus boleh gunakan bila-bila masa berada di luar negara.
Kalau yang tiada akaun Maybank atau HSBC pun tiada masalah asalkan menggunakan ATM bank lain yang ada logo PLUS atau Cirrus. Tentulah ada caj tambahan tapi aku tak pasti berapa dikenakan, bergantung kepada bank akaun anda.
9) Beli simkad Indonesia untuk akses internet
Aku hari itu tak sempat beli simkad Indonesia sebab banyak perkara orang lain dah uruskan. Jadi, terasa seperti tak perlu pun, lebih-lebih lagi akses WIFI di hotel cukup bagus. Nak guna Grabcar pun kawan aku dah ada akaunnya, jadi dia sajalah yang buat tempahan.
Ramai yang pesan supaya beli simkad simPATI kerana harganya cukup berbaloi. Bayangkanlah dengan IDR55,000 (lebih kurang RM20), anda boleh dapatkan simkad baru siap 4.5GB internet. Kalau nak guna Grabcar, mesti dapatkan simkad ini dulu sebab aplikasinya perlukan nombor telefon pengguna.
Lainlah kalau anda mampu membayar kadar roaming syarikat telco anda di Malaysia itu. Yang itu terpulang kepada anda membuat keputusan. Apa yang pasti, kalau gunakan simkad tempatan, jika perlu hubungi orang tempatan lebih murah. Guna internet pun murah sangat.
Inilah tips-tips yang aku rasakan sangat berguna buat semua. Sedikit perkongsian ini sebagai tanda terima kasih aku kepada Arya yang banyak membantu aku sewaktu berada di Jakarta. Selamat bercuti ya..