Sebelum bergelar ayah, selalu aku terasa bosan membaca kisah anak-anak orang dalam blog mereka. Asyik-asyik nak cerita tentang anak. Anak makanlah, anak sakitlah, anak jatuhlah, anak tumbuh gigi, anak ketawa, dan sebagainya.
Apalah yang nak dikisahkan sangat pasal anak tu. Tulislah cerita lain pula tapi biarlah dia punya blog lantak dialah nak buat apa. Kini, pandangan aku sudah berubah.
Itulah kata orang tua, belum rasa belum tahu. Pernah suatu ketika aku tanya ibu kenapalah ibu suka terkenangkan anak setiap kali menjamah makanan yang enak. Ibu selalu fikir apa yang dimakan anak-anak saat ibu mula menjamah. Aku jawab, entah-entah anak ibu itu makan lagi sedap, tak perlu ingat pun ibu.
Tapi kini aku sudah rasa menjadi ayah. Baru aku tahu kenapa ibu begitu. Memang benar fikiran aku selalu terkenangkan anak. Apatah lagi ibu yang melahirkan. Ia adalah satu perasaan yang sukar digambarkan. Hanya yang mempunyai anak dapat merasakan.
Dalam tidak sedar, perkara yang aku bosan nak baca dulu, kini menjadi bahan bacaan orang lain pula dalam blog ini. Mungkin kamu juga mengalami rasa bosan itu. Tapi percayalah blog kamu juga akan mula berubah 'nada' apabila kamu menjadi seperti aku.
Lama juga aku tak menulis di sini hanya kerana bermain dengan Najla lebih bererti daripada menghadap komputer. Perasaan inilah yang dikatakan rahmat. Rahmat yang dianugerah Allah hanya sekelumit ini yang membibitkan rasa kasih dan sayang.
Cuma rahmat ini, pesan Nabi kesayangan kita, bukan terhad untuk anak saja. Biar rahmat itu menyeluruh. Mulakan daripada anak-anak, kembangkan kepada ahli keluarga lain, sanak saudara, jiran tetangga, sahabat handai, kaum lain, hatta kepada musuh kita.
Subhanallah, cuba bayangkan rahmat Nabi kepada kita. Perasaan baginda persis perasaan kita pada anak. Kita bukan anaknya tapi Nabi paling ingat diri kita saat baginda dalam sakaratul maut.
p/s: Kita adalah penerus misi menyebar rahmat ke seluruh alam