header-photo

Keluar Dari Zon Selesa


Sudah menjadi rutin harian, anda pasti masuk dalam mesyuarat untuk berbincang dan membuat keputusan. Lagi besar jawatan anda, lebih kerap anda bermesyuarat. Bayangkanlah anda ialah Ketua Jabatan, setiap pagi anda perlu bermesyuarat dengan pegawai-pegawai kanan. Sebelah petang, anda pula perlu bermesyuarat dengan semua ketua jabatan lain untuk melaporkan kepada ketua yang lebih atas daripada anda.

Sekarang anda berada dalam bilik mesyuarat. Anda pun mula bercakap dan meminta pandangan. Senyap sahaja bilik mesyuarat. Anak-anak buah tidak ramai bercakap. Ada seorang dua yang bercakap tetapi hanya mengatakan, "Saya setuju" atau "Saya ikut sahaja".  Apabila mesyuarat sebelah petang, sama juga situasinya. Semua ketua jabatan pula bercakap begitu kepada ketua lebih atas.

Bagaimana? Seronokkah hari-hari anda? Sahlah tidak!



Apabila kita dilanda masalah, orang mencemuh kita. Ada pula yang menyalahkan kita. Sebahagian lain cuba menyanggah pendapat kita. Kita rasa lemah semangat dan mengharapkan keadaan yang lebih selesa. Selesa macam dalam kisah di atas ke?

Oh, jangan sesekali minta selesa begitu. Potensi akal anda akan mati serta-merta. Anda sebenarnya boleh membuat keputusan yang lebih baik, malah mungkin di luar jangkaan dan kebiasaan apabila idea anda dikritik dan ditambah baik.

Sekiranya anda sekarang berada dalam zon selesa itu, keluarlah. Zon itu akan membuatkan anda lupa diri. Apatah lagi orang bawahan anda kaki kipas. Anda mula merasakan segala yang anda lakukan adalah benar. Lebih teruk lagi apabila anda merasakan orang lain semuanya salah.


Hidup berterusan dalam kelompok sendiri yang sentiasa menyokong anda membuatkan pemikiran anda tidak bercambah, kolot dan syok sendiri. Contoh mudah, andai anda seorang tukang gunting rambut dan hanya berkawan dengan tukang gunting rambut, apakah topik perbualan harian anda? Anda sendiri boleh agak jawapannya. Tentulah hal berkaitan industri gunting rambut tidak lekang dari mulut.

Jika anda si tukang gunting rambut mempunyai kawan pelombong, penjual nasi lemak, pemungut sampah, pegawai bank, jururawat, arkitek, dan akauntan, apakah pula topik perbualan harian anda? Cukup luas bidang yang akan dibualkan.

Itulah sebabnya kita perlu punya kawan yang ramai, fikiran lebih bercambah. Kita perlu banyak mengembara, pandangan lebih luas. Kita perlu banyak membaca, idea datang bertalu-talu. Kita perlu banyak interaksi sosial, pendekatan lebih menyantuni.

Wahai anda yang berasa gah dengan zon selesa anda atas nama apa sekalipun (persatuan, kumpulan, syarikat, keluarga, perniagaan, batch sekolah, alumni, jemaah, dan seumpamanya), mulakan dengan langkah pertama untuk keluar dari garis sempadan anda. Bukan keluar dan meninggalkan terus pangkalan anda. Keluar dan kembalilah, ceritakan kisah di medan tempat anda keluar itu kepada mereka di pangkalan.

Indah yang kita rasakan itu hanyalah keindahan yang kita rekakan, ada keindahan lebih bermakna di luar sana. Sakit yang kita rasakan bukanlah mala petaka terburuk, ada kesakitan yang maha perit lagi di luar sana.

Sentap Apabila Nampak Sphinx di China



Cuba perhatikan gambar ini! Jika anda sudah ke Mesir, anda pasti tahu kebenarannya. Tengok latarbelakang pun sudah tahu.

Ini ialah Sphynx di Lanzhou, China Dibina mengikut saiz sebenar sebagai satu daya tarikan pelancong. Bagi menghidupkan bandar yang dahulunya terkenal di Laluan Sutera, pelbagai usaha dibuat. Itu sahaja hasratnya, tak perlulah mengata China sebagai 'copycat master'. Entah-entah nanti kita pun teringin untuk tengok juga.

Sejak Presiden Xi Jinping mengumumkan visi 'One Belt, One Road'  pada 2013, usaha kuasa besar Asia ini bukan lagi main-main. Atas nama perkembangan ekonomi, China mahu dilihat sebagai jambatan utama menghubungkan Asia dan Eropah. 

Jangan terkejut nanti kita juga dapat tumpang gembira naik keretapi laju dari Malaysia hingga ke Istanbul. Kini China sedang membantu Turki menyiapkan projek keretapi laju dari Ankara ke Istanbul sejauh 533km. Perjalanan antara dua bandar ini yang biasanya memakan masa 7 jam bakal dipendekkan menjadi 3 jam setengah.

Seronok bukan melihat perkembangan dunia? Dahulu sewaktu Dr. Mahathir sebut tentang Wawasan 2020, aku pun berasa seronok. Baru darjah 3 waktu itu, sudah membayangkan kereta proton terbang. Pejam celik pejam celik, hanya tinggal 4 tahun sahaja untuk visi itu tercapai.

Hari ini tak dengar lagi tentang visi ini. Tahu tak sebenarnya ada 9 cabaran perlu ditangani menjelang tahun 2020? Setelah 26 tahun wawasan ini diperkenalkan, cabaran manakah yang sudah berjaya ditangani? 

"Sudahlah Suhail, kau fikirkan tentang diri kau saja. Tak perlu sibuk fikirkan hal ini."

Bukan apa, aku nak tempah kereta proton terbang siap-siap.

Bacaan lanjut di sini:
1) https://en.m.wikipedia.org/wiki/Wawasan_2020
2) http://www.hurriyetdailynews.com/more-talks-needed-on-china-turkey-high-speed-railway.aspx?pageID=238&nID=68715&NewsCatID=359
3) http://www.bbc.com/news/world-asia-china-36431831

Mengapa susah membaca?

Soalan yang aku letakkan sebagai tajuk ini boleh dijawab dengan macam-macam jawapan.

Jika kamu suka membaca, aku tahu tulisan ini tetap akan dibaca walaupun ia sepatutnya dibaca oleh yang malas membaca.

Kalau target aku ialah yang malas membaca, sia-sialah aku menulis. Bukankah lebih bijak jika aku bercakap dalam rakaman video?

Entahlah, bagi aku mereka perlu dipaksa membaca. Biarlah mereka malas sekalipun, ada waktu tertentu mereka akan terpaksa baca juga. Aku mengharapkan waktu itu, entah bila aku tak tahu.

Zaman media sosial begitu aktif digunakan masyarakat Malaysia, lambakan info pun menjadi-jadi. Ramai yang suka 'like' dan 'share' walaupun mereka hanya baca seperenggan. Barangkali masing-masing hendak kelihatan seperti sangat 'alert' dengan perkembangan terkini.

Usahawan 'online' selalu naik angin juga apabila ditanyakan soalan yang sudah pun ada jawapannya dalam iklan produk mereka. 

Shawn Hessinger, editor majalah online Small Business Trends mengenalpasti masalah ini terkait dengan siapa yang benar-benar membaca biasanya tidak begitu aktif dalam media sosial. Lebih-lebih lagi tulisan yang serius.

Yalah, kalau telefon pintar asyik melekat di tangan, tentu banyak 'distraction' apabila 'push notification' kerap keluar. 

Tepuk tangan buat mereka yang berjaya menghabiskan pembacaannya dalam paparan telefon walaupun asyik digasak dengan 'notification'. 

Orang yang kita tepuk tangan ini adalah salah satu kelompok yang dikenalpasti serius dalam media sosial. Mereka mencari bahan dan nilai. Satu kelompok lagi yang tadi itulah.

Dalam istilah media sosial, 'pageviews' tidak mampu melambangkan sejauh mana pengunjung memberikan perhatian atas apa yang disampaikan pemilik status. Ia sekadar menampakkan trafik yang tinggi untuk rasa 'syok sendiri'.

'Engagement' ialah kayu ukur terkini melambangkan kualiti pengunjung atau 'friends' yang serius mengikuti perbincangan kita. Upworthy telah memperkenalkan kaedah baru untuk mengesan 'engagement' ini yang dipanggil 'attention minutes'. Berapa lama masa diluangkan untuk melihat satu-satu 'posting' itu lebih penting.

Alah, bayangkanlah kita duduk dengan kawan di kedai kopi. Kita pun mulakan berbual tapi kawan ini langsung tak tengok muka kita. Dia sibuk buat kerja lain. Sekejap kuis-kuis meja, sekejap mengutil kelopak bunga, sekejap tengok lantai. Tapi mulut sebut, "wah hebatlah", "bagus cerita kau", "aku suka benda ni" dan macam-macam lagi ayat yang biasa kita baca dalam ruangan komen di media sosial. Dia langsung tak tengok muka kita tau. Apakah kita termotivasi dengan komen dia tadi? 

Walau apa jua yang berlaku, kemalasan ini tidak berpanjangan sebenarnya. Ada ketikanya golongan ini akan membaca juga. 

Paling tidak, mereka akan membaca hal yang 'trending' menjadi bualan ramai. Paling tidak, mereka ada 'assignment' yang perlukan mereka mencari bahan walaupun bahan itu akhirnya menjadi 'assignment' yang 'copy paste'. Paling tidak, mereka akan 'search' di 'google' yang akan membawanya ke blog seperti ini untuk memaksa mereka membaca.

Kalau anda habis membaca 'posting' ini, anda sebenarnya tidak malas membaca. Anda mungkin dari kedua-dua golongan di atas. Dan tahniah aku ucapkan kerana dalam banyak-banyak sebab kenapa malas membaca, anda akhirnya menolak segala sebab itu.

Pendek kata, jika kita mahu kita akan buat sungguh-sungguh. Jika sebaliknya, jangan harap dapat baca ayat ini. 

Dalam zaman apapun membaca itu adalah tradisi yang tidak boleh dipisahkan bagi seorang manusia. Asal penurunan wahyu yang pertama jelas sekali 'memaksa' kita membaca. 

"Bacalah dengan nama Tuhan yang menciptakan kamu."(Al-'Alaq:1)

Alang-alang dah baca, bacalah lanjut apa yang aku catatkan dari kajian orang putih itu:
1) http://smallbiztrends.com/2014/02/people-dont-read-what-they-share-social-media.html
2) http://www.theverge.com/2014/2/14/5411934/youre-not-going-to-read-this



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...