header-photo

Uniknya Bau China

Gambar bangunan Macau bercirikan senibina Portugis
(IOS camera - panorama)
“Hah, sama baunya macam di Beijing,” komen Syed yang baru tiba di Guangzhou bersama rakan-rakannya. Tiga daripada lima orang ahli kumpulannya pernah mengunjungi Beijing, jadi mereka sedikit sebanyak sudah arif tentang adat budaya orang China. Jadi, benarlah telahan saya tentang uniknya bau China.

Antara budaya dan amalan harian mereka yang sedikit sebanyak menyumbang kepada keunikan baunya mungkin meloyakan kita. Kadangkala saya berasa seperti tidak mahu berkongsi mengenai hal ini, kerana ia boleh membantutkan hajat kita untuk ke China. Namun, saya fikirkan elok juga diceritakan supaya mereka yang ingin ke sana sudah boleh bersiap sedia.

Memang ramai pengunjung kali pertama akan merungut, kata mereka orang China pengotor, busuk dan sebagainya. Anehnya, tanggapan ini langsung tidak menggugat hasrat mereka untuk kembali mengunjungi China berulang kali.  

Meludah di merata tempat itu perkara normal. Tompokan kesan ludahan mereka ketara dilihat di laluan pejalan kaki, restoran, pasar raya, di dalam lif dan di mana sahaja ada lantai.

9 Jam Menuju Masjid

Dalam pesawat AK1018 kali ini, hanya aku sahaja orang Melayu. Destinasinya ialah Macau, dan kemudiannya aku akan melewati sempadan untuk memasuki China.

Sebaik sahaja melepasi Gongbei, kakiku memijak Zhuhai.

 "Bau China masih sama," getus hatiku. Sudah lima tahun aku tinggalkan bumi ini, tapi baunya masih sama. Aku boleh cam bau bumi ini.

Badan aku sudah keletihan menaiki pesawat selama empat jam setengah. Sebelum tiba di Guangzhou, aku telah menempuhi empat jam lagi perjalanan menaiki bas dan berjalan kaki. Bayangkanlah betapa jasad ini amat merindukan tilam empuk.

Bersama grup Jabatan Akauntan Terengganu - menara baru dicat semula
Masjid Huaisheng. Aku singgah di sini dahulu sebelum mencari hotel. Solat dan berehat sebentar. Masjid ini cukup bermakna buat diri ini. Lebih-lebih lagi buat Saad bin Abi Waqas. Pakcik Nabi ini telah membina masjid ini pada tahun 630 sebagai tanda memperingati baginda sewaktu Saad menetap di sini.

 "Abang kalau nak bergambar jangan lupa tangkap gambar menara putih itu." Pesan aku sambil menuding jari ke arah menara asli yang dibina pada zaman Saad Abi Waqas. Ramai pengunjung Melayu dibawa ke masjid ini, tapi sayang sekali sejarahnya tidak diceritakan agen pelancongan.

Yalah, mereka sendiri kebanyakannya orang bukan Islam. Tiada signifikan penting dalam hidup mereka tentang masjid ini. Apatah lagi tentang pakcik Nabi. Tentang Islam, masih belum 'dibukakan' hati untuk mengenalinya.

Aku pantang ditegur orang Melayu. Semua yang menegur aku sewaktu berada di masjid ini, tentu aku ceritakan sejarahnya. Terpinga-pinga mereka apabila mengetahui Islam tiba di tanah besar China ini lebih awal daripada Tanah Melayu.

Biar lebih ramai sedar, ziarah ke China bukan sekadar untuk membeli-belah. Bukan pula untuk berbuat maksiat. Datanglah dengan menikmati keunikan sejarah Islam di China.

Aku baru tahu sedikit. Makin dicari, makin banyak pula kisahnya. Ini baru kisah Guangzhou.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...