header-photo

Tak ada duit pun boleh menderma

Menderma itu memang sangat dianjurkan. Ada yang kata, kalau kita ada duit cukup-cukup makan, macam mana nak derma pula. Ini bertentangan dengan penjelasan Ustaz Yusuf Mansur dalam bukunya "The Miracle of Giving" yang memetik ayat 7 Surah At-Talaaq yang bermaksud:

"Dan orang yang disempitkan rezekinya hendaklah memberi nafkah (bersedekah) dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekadar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan"

Sewaktu berkunjung ke Jakarta, aku sempat membeli buku itu dan membacanya memberikan satu kefahaman baru dalam mengerti maksud keutamaan bersedekah (atau menderma). Memang benar keajaiban berlaku kepada pelaku yang yakin dengan janji-janjiNya.

Berbalik kepada soal duit yang dirasakan tiada lebih, maka logik akal mengatakan tak dapatlah didermakan kepada orang lain. Ya, sifir matematik 10 – 1 jawapannya 9. Maksudnya duit yang kita ada bakal berkurangan apabila dibelanjakan untuk keperluan harian.

Untuk memahami sifir sedekah, kenalah baca buku itu. Sebabnya sifirnya jauh berbeza dengan sifir matematik. Dan hanyalah mereka yang berbuat, akan menerima sifir sedekah ini.

Tapi kalau nak ikut logik matematik, baiklah. Tahukah yang kita ada sesuatu yang tidak berkurangan walaupun diberikan kepada orang lain? Setakat yang aku terfikir ialah ilmu dan darah.
Semalam, aku dapat mesej daripada Pusat Darah Negara.

"PUSATDARAH: PDN perlu platelet Aferesis. Dibuka 8pg – 4ptg kecuali Khamis dan Jumaat ditutup 8mlm. Ahad tiada pendermaan plasma/platelet.Jika perlu tel 0326955590/26955599"

Kalaulah dirasakan tak dapat menderma duit, ayuh kita derma darah. Itu tak memerlukan kos lain kecuali pengangkutan ke PDN. Kalau memang tak boleh derma sebab tak cukup syarat, dermakanlah ilmu yang ada. Sampaikanlah walau satu ayat.

Kalau susah sangat juga, Islam ada solusi lain. Dermakanlah senyuman anda kepada orang lain. Dengan itu, kita menceriakan hati orang yang memandang. Sekaligus rasa hati yang tenang itu menjadi hasil sedekah kita. Senyumlah.

"Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah." (HR Tirmizi dan Abu Dzar).

Kalau tak boleh juga, kedekutlah nampaknya kita ini.

p/s: Sedekah perlu diutamakan kepada ahli keluarga yang memerlukan terlebih dahulu.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

Bangga tak kalau anak pandai?

Setiap kali anak balik dari sekolah, ibu bapa yang bertanggungjawab selalunya akan bertanya tentang kerja rumah. Ada ibu bapa yang rajin teman anak siapkan kerja rumah. Bagus begitu.

Ini semua dibuat bukan semata-mata untuk tidak dimarahi guru jika tak siap kerja rumah. Ia menggalakkan anak untuk sungguh-sungguh belajar. Tambah pula bila nampak ibu ayah turut serta beri sokongan untuknya belajar.

Hatinya tentu girang dan gembira untuk buat kerja rumah. Itu pun kalau ibu bapanya bukan singa yang sentiasa nak menerkam mangsa. Hehe..

Tiada ibu bapa yang nakkan anaknya gagal dalam pelajaran. Suatu kegembiraan dan kebanggaan ibu bapa apabila anaknya mendapat nombor satu dalam kelas. Apatah lagi kalau menjadi pelajar cemerlang dalam UPSR, PMR, SPM dan Universiti.

Tapi ada satu kesedaran yang lebih penting daripada itu. Pelajaran yang kita tekankan itu adalah fardhu kifayah, maksudnya satu kelompok masyarakat terlepas tanggungjawab dalam bidang ilmu terbabit sekiranya ada segelintir (walau seorang pun dah cukup) yang mahir ilmu itu.

Ilmu fardhu 'ain tak siapa pun boleh tinggalkan. Ini lebih penting, tapi di manakah kita letakkan kepentingan ilmu ini? Ilmu apa? Ilmu agama.

Aku menulis untuk muhasabah diri juga. Dalam seminggu agak-agak berapa kali kita menuntut ilmu agama? Kita cerita pasal diri kita dululah sebelum nak masuk bab mengajar anak ilmu ini.

Kalau difikir-fikirkan kembali, ilmu apapun (fardhu kifayah atau fardhu 'ain) macam terhenti setakat di universiti. Selepas daripada itu, bagi yang tidak mencari, tiada penambahan ilmu.

Hari demi hari disibukkan dengan kerja. Waktu lapang pula untuk bersama keluarga. Memang mungkin setiap hari dok buka buku tapi buku kedoktoran, kepeguaman, kejuruteraan, perbankan dan sebagainya.

Agak-agak buku agama, pasal aqidah, syariah dan akhlak dah berapa lama kita tak buka? Jika sudah lama tak buka, ayuh kita mulakan semula. Mungkin kali ini bersama isteri atau anak-anak.

Kita cuba ambil masa setiap hari setakat 15 minit selepas Maghrib untuk baca Quran bersama atau baca buku agama sambil didengar anak isteri. Penting sebenarnya untuk kita ulangkaji atau tambah ilmu agama sebab ia fardhu 'ain.

Takut-takut selama ini aqidah kita tak lurus. Kita bekerja yang patutnya dapat jadi ibadah, langsung tiada faedah melainkan untuk bergantung harap pada gaji, seolah-olah rezeki di tangan majikan.

Takut-takut selama ini syariah kita tak lurus. Kita solat tak pernah tinggal, puasa lengkap, zakat ditepati, haji ditunaikan dsb. Tapi kesemuanya tak menepati rukun dan syarat sah ibadah itu.

Takut-takut selama ini akhlak kita tak lurus. Kita tak tahu bagaimana nak menjaga hak orang lain. Kita sibukkan diri sendiri. Kita berselisih dengan saudara tanpa mempamerkan senyum atau menyapa dengan salam.

p/s: Ada yang bangga anaknya menyanyi dalam program realiti, ada juga yang bangga anaknya mengaj dalam program realiti.

Hanya pandai bersosial dalam muka buku

Sejak akhir-akhir ini, aku perasan banyak perubahan dalam kehidupan bersosial di kalangan masyarakat. Ini semua bermula daripada wujudnya laman jaringan sosial di internet.

Aku ingat lagi, dulu-dulu MIRC cukup terkenal sebagai laman sosial pertama popular di Malaysia. Bermulalah istilah chit-chat (yang asalnya produk makanan nestle) menjadi popular merujuk kepada aktiviti chatting. Para ustaz berceramah pun sebut chit-chat sana sini.

Kemudian, wujudlah Friendster. Kemudian, bertambah lagi (aku pun tak dapat sign up yang lain-lain) sehinggalah kini, Facebook.

Bezanya dulu, telefon pintar tiada. Masih aku ingat, telefon bimbit pertama aku ialah Sony Ericsson empat segi, siap dengan antena kecil bersalut getah. Telefon bimbit hanya digunakan untuk menelefon dan bermesej. Itu sahaja.

Tapi kini, telefon pintar bukan saja mampu dimiliki orang berkerjaya. Anak-anak di bangku sekolah turut dibekalkan ibubapa dengan telefon pintar. Maka, boleh dikatakan pemiliknya seolah-olah tidak berpisah dengan laman mukabuku (dan laman sosial lain).

Perasan tak apabila kita keluar makan bersama keluarga, kita atau orang lain, kurang berinteraksi sesama ahli keluarga. Masing-masing sibuk tengok apa update mukabuku. Ada yang tersengih, senyum dan ketawa. Tapi bukan kerana berbual dengan keluarga sendiri atau rakan di depan mata.

Ayah dan ibu adalah orang lama. Mereka memang biasa berbual berdua sejak anak-anak berjauhan. Setibanya anak pulang ke kampung, di dalam kereta, tanya khabar ayah ibu dibalas sepatah. Sebabnya di tangannya sibuk sms atau melayan mukabuku. Betapa sedihnya hati ayah ibu yang mengharapkan dapat berbual mesra dengan anak-anak yang jarang bertemu. Begitulah yang mungkin berlaku.

Bukan sekadar itu. Dalam sesi temuduga, panel penemuduga pernah beritahu, ramai calon tidak boleh berinteraksi dengan baik. Bahkan bahasa yang digunakan pun seolah macam mereka bercakap dalam mukabuku.

Jika benar situasi ini semakin berleluasa, aku bimbang kemahiran berkomunikasi dalam meneruskan hidup bersosial semakin lemah. Akibatnya berlaku banyak salah faham, terasa hati dan pentingkan diri sendiri.

Aku percaya kemahiran ini hanya dapat diasah dalam kehidupan realiti. Kehidupan maya tak boleh ganti peranan manusia sebenar di luar. Sebab itulah adab budaya dan tatasusila tidak boleh terbentuk dalam dunia maya.

Pesan ini untuk aku juga yang gila gajet. Apabila bersama keluarga atau rakan, kurangkanlah penggunaan alat-alat canggih ini melainkan yang mendesak saja. Banyakkan tegur sapa walaupun dengan orang yang tidak dikenali.

Macam di perhentian bas, begitulah yang biasa aku buat dulu. Dan orang lain pun waktu zaman persekolahan. Penumpang di sebelah pun kita berbual panjang. Jika makan di warung, orang lain yang duduk semeja pun kita tegur dan berbual.

Tapi sekarang, aku pun dah kurang berbual, tambah pula orang lain yang ditegur seolah lebih selesa 'berbual' dalam telefon pintar saja. Pengalamanku juga, kenalan dalam mukabuku yang nampak 'peramah' apabila bertemu, tidak semenarik kita berbual dengannya dalam mukabuku.

Zaman sudah berubah...

Orang kaya belum tentu senang


Selepas aku menonton Bersamamu di TV3 minggu lepas, terus terasa ingin menulis sesuatu tentang kesusahan. Sebabnya aku rasa hidup orang yang lebih susah mungkin juga berlaku kepada orang yang tidak miskin. 

Ada orang keluarganya miskin. Kais pagi makan pagi. Rumahnya kecil dan tidak selesa. Anak-anak tak dapat bersekolah kerana perlu menjaga adik-beradik lain di kala ayahnya ke laut. Emak pula sudah tiada. Memang sayu melihat keadaannya. 

Tiba-tiba terlintas di fikiran aku, orang kaya pun boleh hidup lebih susah daripada itu. Memanglah dia ada kereta besar, rumah besar, pakaian berjenama dan mahal, ada gajet canggih bukan main dan sebagainya. 

Tapi bila dibandingkan dengan orang miskin tadi, aku rasa orang kaya ini lebih susah. Kebanyakan yang hebat dia miliki adalah hutang, yang setiap bulan perlu dilangsaikan. Ada masa takut kalau-kalau rumah dimasuki pencuri. Kadang-kadang bimbang kalau kereta mewah tercalar dan dilanggar. Dari jauh mungkin kita nampak dia tenang dan senang. Hakikatnya, tanyalah sendiri orang kaya itu.

Berbeza dengan orang miskin, biasanya barang keperluan ditambah apabila bajet mencukupi. Sebabnya semua dibeli tunai. Bank mana nak bagi hutang kepada orang miskin. Walaupun nampak susahnya hidup mereka, mereka mungkin tenang menjalani hidup itu.
Hendaklah orang yang mampu, memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, hendaklah ia menafkahkan dari apa yang diberikan Allah kepadanya; Allah tidak memberati seseorang melainkan sekadar yang diberikan Allah kepadanya. Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan
(At-Talaaq:7)
Bukan aku kata tak perlu jadi orang kaya. Maksud aku kekayaan bukan jaminan kebahagiaan dan ketenangan. Rumah yang besar belum tentu mendamaikan. Duit yang banyak belum tentu menceriakan. Melainkan bagi mereka yang menggunakannya ke jalan yang dikehendakiNya.

Kena diingat juga, orang fakir itu hampir kepada kekafiran. Sebabnya orang fakir miskin mungkin boleh jadi tersimpang aqidahnya apabila menyalahkan takdir yang menimpa dirinya. Mungkin berusaha dengan cara yang salah bagi mendapat kekayaan.

Jadi, di mana pun status kita hari ini, bersyukurlah. Hanya dengan mengingati Allah, hati akan sentiasa tenang.

p/s: Hadis yang berbunyi  'كاد الفقر ان يكون الكفر' yang bermaksud 'hampir-hampir seorang fakir (terlalu miskin) itu untuk menjadi kufur'disenaraikan Albani (1914M) dalam kitabnya السلسلة الضعيفة والموضوعة sebagai hadis dhaif.

Siapa ajar anakku cakap "Babi"?

Anak senang ikut apa kita buat. Baiklah perangainya bila baik yang dilihatnya. Sejak akhir-akhir ini, anakku suka datang dekat dan menggonyoh mukanya di muka ibu ayahnya. Macam geram tapi manja.

Tak pernah pula terfikir kenapa dia buat macam itu sampailah aku dengar ceramah kisah Abdur Rahman ibn Abu Bakrah.

Dia sangat memerhatikan apa yang ayahnya lakukan pagi dan petang lalu bertanya tentang apakah yang ayahnya lakukan. Dalam hadis itu anaknya menjelaskan amalan zikir ayahnya secara terperinci. Nak tunjuk kat kita yang anak sangat tajam pemerhatiannya.

Bukan itu saja, anak juga mudah menghafal. Walaupun hanya dengan mendengar apa yang disebut orang lain. Tanpa perlu diajar untuk menghafalnya.

Lepas itu, terus menerpa di fikiran aku kenapa Najla dok gonyoh kami. Rupa-rupanya sebab aku yang suka bergurau senda dengan dia macam itu setiap kali balik kerja. Patutlah dia buat begitu.

Tadi isteriku cerita Najla dok cakap BABI berkali-kali. ini memang pelik sebab kami tak pernah sebut perkataan itu, apatah lagi untuk memaki hamun dengan perkataan itu.

Boleh jadi ke Najla terdengar sebutan BABI daripada kanak-kanak yang suka bermain di tingkat bawah, terjerit-jerit dan memaki hamun hampir setiap hari. Memang mereka suka mencarut. Adoi..

Najla juga terikut jerit "Epah!" bila pintu depan terbuka. Sebabnya memang aku suka jerit macam itu untuk panggil adikku yang tinggal di rumah sebelah.

Anakku sudah mula banyak bercakap. Jaga-jaga.

p/s: Kisah itu diceritakan dalam hadis sahih #5071 Kitab Sunan Abu Daud.

IPhone 4S terlepas dari tanganku

Teknologi semakin hari semakin berkembang. Suatu ketika dulu, aku pakai telefon bimbit ericsson tu dah kira gempaklah. Lama lepas tu, wujud pula iPhone. Orang macam gilakan iPhone pula. Setahun dua lepas tu wujudlah iPhone lain sampailah sekarang dah ada iPhone 4S yang hampir-hampir jadi milik aku.

Hadiah kemenangan aku kemudiannya ditukar kepada iPad 2 sebab penganjur tersilap. Memang inilah idaman aku tapi bimbang pula dengan teknologi yang hebat begini.

Di rumah kami, kini ibu dan ayah Najla masing-masing ada telefon pintar. Kami memang cintakan teknologi dan rasa ketinggalan jika tidak peka dengannya.

Terkadang rasa seperti sukarnya hidup tanpa internet. Bukan kerana sibuk dengan facebook dan seumpamanya semata-mata. Tapi lebih kepada mencari bahan rujukan yang berlambak di situ.

Isteriku rajin memasak dan suka melayari laman-laman yang menyediakan pelbagai resipi.

Aku pula suka mencari bahan bacaan untuk menambah ilmu dalam pelbagai aspek.

Bagi kami, sangatlah rugi tak dapat mengikuti perkembangan terkini dalam bidang masing-masing.

Jadi, iPad akan memudahkan lagi kegiatan ini. Cuma apa yang membimbangkan ialah lebih banyak masa diberikan kepada telefon pintar dan iPad ini. Dan sudah tentu Najla akan turut serta tengok apa yang kami buat.

Adakalanya bagi melekakan Najla, kami ajarkan dia bermain telefon pintar. IPad pula banyak yang aku nampak digunakan anak-anak untuk bermain 'game'. Ya, ia akan tambah melekakan dia.

Inilah yang membimbangkan. Pernah aku jumpa seorang kanak-kanak yang tak pandai bersosial apabila asyik menghadap PC, Wii, PSP, dan sebagainya untuk main 'game'. Diajak keluar pun tak suka.

Nah, inilah kelemahan teknologi. Harith Iskandar dalam program lawaknya di Istana Budaya bersama Jozan, Nabil, Osbon, dan Boboi ada buat bandingan orang dulu dan orang sekarang.

Orang dulu bila nak tukar 'channel' tv, terpaksa bangun dan pusingkan tombol tv. Orang sekarang tekan punat tanpa perlu bangun. 'Channel' dah beratus pun dirasakan "takde cerita bestlah". Kalau ada masalah pada tv, dipanggilnya suami tolong tengokkan sedangkan boleh bangun sendiri.Huishh.

Betul juga lawak sindirannya. Dulu kalau makan-makan di luar bersama keluarga, semuanya akan rancak berbual. Sekarang topik perbualan pun dah kurang. Yang rancak berbual pun dalam facebook. Masing-masing membelek telefon pintar.

IPhone 4S ada aplikasi SIRI. Sangat pintar sebab kita boleh bercakap dengannya dan dia terus buat apa yang kita minta. Semakin canggih, dan semakin malas kahkita nanti?

Perlu betul-betul berdisiplin bila kita ikut perkembangan teknologi ini. Itulah yang perlu aku didik kepada diri, isteri dan anak. Kami kena saling ingat-mengingatkan kerana semua ini sangat seronok dan melekakan.

Walaupun kita berbuat suatu yang bermanfaat, masa untuk bersosial secara muka ke muka (bukan muka buku) sangat perlu diperuntukkan. Barulah kita tahu pelajari kemahiran intrapersonal atau 'soft skills' yang tak dapat dibantu oleh teknologi.

Dan ingatlah pesan pembaca berita 1.30 TV3 tadi, "jadikanlah hujung minggu anda masa yang berkualiti untuk keluarga".

Agama tak patut dipersalahkan (99pp)


Terkadang kita mudah menghukum. Pepatah Melayu juga seolah mengiyakan apabila ‘seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit’ dan ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Ini sesuai untuk menjaga perilaku kita supaya tak mencemarkan nama keluarga dsb. Tapi bukan untuk selepas berlaku keburukan itu.




Imam didakwa merogol gadis bawah umur. Pelajar sekolah agama melakukan liwat. Lantas pandangan kita terhadap orang agama, tak boleh pakai. Tiada apa salahnya pada agama Islam, yang silapnya ialah umat Islam. Apa nak hairan, dah tentulah manusia ada silapnya. Yang penting kita selaku orang di sekeliling patut berperanan, bukannya menghukum. Sebab kita sendiri pun ada terbuat silap.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...