header-photo

Kanak-kanak dilanggar basikal (100 pp)

Sumber: Prince91
Dalam perjalanan mengambil adikku di stesen LRT, aku ternampak satu insiden. Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun cuba melintas jalan menuju ke ayah dan adiknya di seberang. Sedang dia ingin melintas, seorang pakcik yang menunggang basikal memintas kanak-kanak tadi. Lantas pakcik itu melanggarnya dan dia jatuh tersembam atas jalan tar.


Apa agaknya reaksi kita selaku ayah yang menyaksikan insiden tadi? Aku ingat ayahnya akan marah tapi ketawa pula. Bahkan menyalahkan anaknya yang cuba melintas tanpa menoleh ke belakang. Pakcik itu pun berhenti dan minta maaf.


Tentu aman jika banyak perkara diselesaikan secara berhemah begini. Beginilah agaknya peribadi Nabi yang harus dicontohi.

p/s: Sering terfikir bagaimana situasi kehidupan bersama Nabi di Madinah dulu

Ayah risau Najla sakit

Najla lemah hanya turutkan saja ayah untuk duduk atas kuda
Anakku sakit Jumaat lepas, muntah-muntah. Sebaik pulang dari pejabat, aku tidak lagi disambut dengan senyum tawa dan ceria si manja. Dia nampak lemah terbaring di sisi ibunya. Ingin didakap dan didampingi.

Segera aku bawa ke klinik, tapi anakku tak mahu makan ubat cair. Malamnya ke klinik lain, ubat dimasukkan ke dubur tapi masih tak berkesan. Dia tak lagi mahu makan atau minum.

Pagi Sabtu terus ke klinik homeopati, dia kembali ceria dan aktif. Tiada lagi muntah-muntah. Dalam perjalanan sekitar Gua Musang, suhu badan anakku naik mendadak. Cuba diredakan dengan kain basahan di kepala, tak berkesan. Gunakan Cool Fever juga tak berkesan.

Lantas keesokan hari, aku ke Hospital Pakar KPJ di Kota Bharu. Masih lagi diberi ubat minum selain dimasukkan paracetamol melalui dubur. Maka, terpaksa ‘berlawan’ dengan anak untuk beri dia makan ubat. Alhamdulillah, suhu 39.9°C telah turun ke paras normal.

Isnin petang kami pulang ke KL. Dalam perjalanan, anakku nampak baik cuma masih lemah kerana selera makannya masih tiada. Sekali lagi di Gua Musang, anakku terjerit-jerit bagaikan orang yang sedang sakit memulas-mulas di perut. Kemudian, dia elok semula dan tertidur.

Sesampainya di KL sudah tengah malam. Anakku masih tidur dan lemah. Sesekali dalam tidur, dia terjerit lagi. Kami cuba berikan ubat yang ada dengan harapan ada perubahan lain. Memang dia ada terkincit sedikit.

Menjelang  malam, keadaan masih tak banyak berubah. Anakku masih lemah dan tak bermaya. Walaupun adakala dia tiba-tiba senyum dan ceria tunjukkan sesuatu pada kita, kemudian lemah kembali.
Untuk kali yang kelima, kami ke Hospital Pakar al-Islam pula. Doktor masih berikan ubat minum. Katanya kalau nak masuk wad pun boleh tapi doktor pakar hanya ada waktu pejabat. Jadi, kami ambil risiko untuk bawanya pulang dan paksa makan ubat.

Alhamdulillah..Najla dah berak td..byk, cair dan berbuih.. Perut dh lmbut.. Mkn bubur pn ok td, dh stat ckp byk.. Huhu

SMS isteriku sewaktu aku sedang sibuk di pejabat pagi ini menghilangkan resah di hati. Syukur sangat atas kehendak Allah ini. Kepada siapa yang belum bergelar ibu atau bapa, mereka mungkin tak faham perasaan yang dialami seorang ibu atau bapa apabila sesuatu berlaku kepada anak-anak mereka.

Inilah gaya Najla yang sebenar dapat duduk atas kuda setelah dia kembali segar
 Macam-macam yang kita fikir. Teringat pula pesan orang yang macam-macam apabila anak demam panas. Doktor pun tak tahu nak agak apa punca sakitnya sebab anak kecil begini tak boleh bercerita lagi. Bila dia menjerit, meraung.. ia seolah ingin beritahu sesuatu. Tapi kita tak faham.

Inilah kali pertama aku melihat anakku hanya ingin didakap. Tidak lagi senyum dan ceria. Tidak lagi berlari-lari menyambut kepulanganku. Tidak lagi membuat sepah. Tidak lagi membawa buku untuk dibacakan. Tidak lagi meluru ke arah laptop minta dimainkan lagu Barney. Tidak lagi meminta setiap apa yang kita makan.

p/s: Entri ini tak ikut peraturan 100. Ketika entri ini dipaparkan, Najla sudah kembali ceria..Alhamdulillah..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...