header-photo

Ayuh melancong ke Somaliland


Aku pernah bercerita mengenai Somaliland berbeza daripada Somalia. Aku juga pernah bercerita mengenai kepayahan mereka untuk menunaikan haji dalam entri Jom pergi haji naik kapal. Kali ini aku ingin berkongsi lagi.

Somaliland lebih aman dan stabil di rantau bergolak Somalia ini. Dalam kemunduran pembangunan, mereka maju dalam ekonomi pertanian dan stabil dalam politik. Banyak usahawan Malaysia sudah mula menjenguk ruang perniagaan di sana.

Baru-baru ini aku berurusan dengan mereka yang mempunyai kehebatan sistem pemindahan wang secara hawalah tanpa melalui sistem perbankan. Sukar untuk aku terangkan di sini tapi inilah cara terbaik yang dapat mereka cipta dalam melakukan pindahan wang antarabangsa.

Selepas ini, luangkan sedikit masa anda untuk menonton liputan Majalah 3 awal Ramadhan lepas mengenai Somaliland. Anda pasti terkejut bagaimana tukaran wang asing dibuat secara bebas dan selamat di pasar terbuka tanpa kawalan. 

Dan bertambah terkejut apabila mereka tinggalkan saja wang diselimuti kain untuk menunaikan solat di masjid apabila azan berkumandang. Sistem transaksi pembelian barangan juga hanya menggunakan sistem kredit telefon. Untuk memahaminya, tontonlah video di bawah.

Jika anda ingin melancong ke Somaliland untuk merasakan sendiri kebenaran liputan ini, aku bersedia untuk menghubungkan kalian, InsyaAllah. Begitu juga dengan siapa yang berminat untuk berniaga.

Hanya yang berkenaan boleh terus membaca


Anda lelaki ke perempuan? Jika anda lelaki, anda layak untuk terus membaca perenggan di bawah. Jika perempuan, boleh juga teruskan membaca. Selain daripada itu, sila henti membaca.

Baik. Lelaki dan perempuan. Jikalau kalian berumur bawah 40 tahun, kalian akan diutamakan untuk terus membaca. Pada usia ini, adakah anda rasa puas melakukan kerja yang sedang dilakukan atau sebaliknya? Jika tidak puas, boleh teruskan membaca.

Kepuasan dalam bekerja belum tentu dapat diberikan walaupun dibayar dengan gaji yang lumayan. Apatah lagi apabila merasakan kerja yang dibuat sehari-hari hanya untuk kepentingan diri dan seolah tak memikirkan orang lain. Anda setuju atau tidak? Jika setuju, teruskan membaca.

Ada sesetengah orang berasa puas melakukan kerja yang diminatinya walaupun tidak mendapat habuan yang tinggi. Contohnya, penyanyi jalanan, pemuisi, pelukis dan sebagainya. Mereka puas melakukan apa yang disukainya walaupun ganjaran duit belum tentu mencukupi untuk menampung keperluan harian. Hanya kerana ingin menyampaikan mesej kepada orang ramai, dengan rasa prihatin akan nasib orang lain, mereka berkarya menabur erti kemanusiaan. Cuba fikirkan satu perkara yang benar-benar anda minat untuk lakukan. Jika perkara itu juga berunsurkan kemanusiaan, sila teruskan membaca.

Selain menjadi penghibur atau karyawan, ada juga kerjaya lain yang memupuk semangat cintakan kemanusiaan. Bukan sekadar nasib masyarakat tempatan, tetapi kisah-kisah duka masyarakat dunia menjadi perhatiannya. Maka, bermusafirlah dia ke sana ke mari untuk berganding bahu sesama manusia. Anda punya kekuatan untuk sering bermusafir? Jika ya, teruskan membaca.

Ke mana saja, dicarinya manusia yang boleh membantu, agar dapat dia salurkan kepada yang perlu dibantu. Usahanya terancang, tidak membabi buta. Kalau perlu mesyuarat, akan diaturkan. Perhubungan moden menggunakan komputer bagi menghebahkan usaha, melalui facebook dan laman sesawang juga e-mel menambahkan efektif kerjanya. Selain berada di pejabat, dia sanggup ke lokasi bantuan dan ke mana saja untuk menjalin hubungan kerja. Anda rasa anda seorang yang mahir menggunakan komputer, boleh kerja dalam kumpulan, multitasking dan sukakan masa kerja fleksibel? Jika ya, teruskan membaca.

Keramahannya berkomunikasi cukup menyenangkan sesiapa yang bersamanya. Tidak kiralah dalam Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris, dia boleh berbicara sekalipun tidak fasih. Walaupun tidak berkelulusan tinggi, dia boleh menguruskan kerja dengan baik. Walaupun bidang yang dipelajari tidak menjurus kepada minatnya tadi, dia boleh cemerlang dalam bidang yang diminati. Maka, tiada masalah jika anda minat apa yang anda lakukan. Ok, teruskan membaca.

Jika semua perkara di atas menepati diri anda, sila hantarkan resume anda ke gpmhq@yahoo.com. Bagi yang tidak menepatinya dan sepatutnya tidak membaca sehingga ke perenggan ini, sila maklumkan kepada mereka yang sepatutnya membaca.

Global Peace Mission (GPM) Malaysia adalah badan bukan kerajaan yang khusus menangani kerja-kerja kemanusiaan antarabangsa sedang mencari calon-calon eksekutif yang sesuai untuk mengisi bidang kerja berikut:
  • Pentadbiran
  • IT dan Media
  • Operasi
  • Kewangan dan Pemasaran


p/s: Aku mula terdedah dan berpeluang mengikuti misi kemanusiaan luar negara GPM sewaktu masih menuntut di tahun kedua universiti

Duty vs Right


Yesterday I was told by a lecturer in 'Ethics and Governance' class that duty and right are different. He made it simple. Duty is what others expect from you. Right is what you may claim for it.

"Duties come with obligations and rights come with claims"

After heard this, I found something else. Ya, still in the name of governance, but between 'slave' and 'Lord'.

It is our duty to perform whatever Lord expect from us. To do this, He prescribed everything in the Holy Book together with the sayings of His Messenger. Thus, all of them become obligations on us.

Once the obligations were duly exercised, we shall be rightful to have what He promised. Thus, our claims through prayers will then be fulfilled.

So, if our claims not being granted, it seems like we don't deserve the right. Why? Perhaps the duties were not so well performed. Hmm... simple analogy from the deep of my thought.

p/s:  Care not only the human rights but also the duties to other human

Apabila baik bertukar buruk



Anda ada pisau di rumah? Apa gunanya pisau? Ya, untuk memotong sayur, daging, ayam dan sebagainya bagi memasak. Atau juga untuk memotong kertas dan kad bagi tujuan dekorasi. Maka, ia adalah baik kerana memudahkan urusan kita yang bermanfaat.

Tapi, ia boleh bertukar buruk, apabila digunakan kakak untuk bergurau dengan adik. Atau penjenayah yang cuba mengugut si gadis untuk memberikannya duit. Atau pembunuh yang dengan kejamnya menikam orang yang dibencinya sepuas hati.

Sama juga dengan pen, pensil, pembaris, pencungkil gigi, penyepit, sudu, garfu, sikat, dan banyak lagi benda yang ada di rumah. Jika disalahguna, maka ia boleh bertukar buruk.

 [Bacaan lanjut mengenai senjata dalam penjara]

Pernah kan kita dengar atau tonton drama bagaimana tahanan penjara mengasah berus gigi untuk dijadikan senjata? Pendek kata, tujuan itu penyebab kepada benda-benda tadi jadi baik atau buruk.

Facebook. FB. Ada yang memboikot atas alasan sendiri, tapi bukan isu itu yang ingin aku kongsikan. Isu aku ialah tentang penggunaannya.

Bagiku 'connecting people' bukan lagi milik Nokia sepenuhnya. Peranan itu diambil alih oleh jenama telefon seperti I-Phone dan BlackBerry dan aplikasi dalam talian.

Kalau dulu, generasi aku sibuk berkenalan dengan rakan baru menggunakan MIRC, kini generasi adik-adik lebih selesa dengan FB.

FB itu baik. Atau buruk. Bergantung kepada pengguna itu sendiri. Sama sifatnya dengan benda-benda fizikal yang ada di rumah tadi. Bezanya FB ini tak dapat dipegang dan bersifat maya.

Tahu tak anda, ada yang salahguna FB untuk tujuan 'human trafficking' iaitu pemerdagangan orang. Bagi mereka yang ingin mencari kenalan baru, jaga-jagalah kerana identiti dalam FB tak serupa dengan identiti sebenar seseorang.

Lain halnya jika kita berkenalan di kelas, sekolah, tuisyen, dan tempat-tempat lain. Perkenalan kita secara bertemu muka membuatkan kita boleh mengagak identiti seseorang berdasarkan perbualan, mimik muka, dan penampilan seseorang.

Malangnya jika kita sudah menjadi cukup rapat dalam alam FB, kita pun sudah menaruh kepercayaan kepadanya. Lalu, diaturkan pertemuan dan kita seronok pula ingin berjumpa. Tatkala bertemu barulah tahu siapakah orangnya. Bertambah malang apabila cinta sudah berputik pada si dia. Saat bertemu tak mahu dah berusaha mengenal identiti sebenarnya si dia. Ah, aku percaya dia.


Wahai adik-adik yang terjebak dalam situasi begini, jauhkan diri daripada terperangkap dalam perasaan cinta yang tak pasti. Atau pun mungkin kita tak bercinta, tapi sekadar mahu berkawan rapat. Dan jika mahu bertemu pun, pastikan ditemani ahli keluarga yang lebih tua.

Baru-baru ini, dua orang pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah swasta dilaporkan hilang selepas dihantar ke sekolah akibat keluar ingin bertemu teman FB. Tempat pertemuan ialah di sebuah hotel ternama. Ibubapa terperanjat apabila polis mengesahkan kes hilang dalam masa yang sama melibatkan 10 orang.

Takdir Allah mendetikkan hati kedua pelajar tadi untuk kembali ke rumah apabila berasa tidak selesa menunggu di hotel. Maka, selamatlah mereka daripada menjadi mangsa pemerdagangan orang. Ada satu sindiket yang sedang dijejak PDRM menggunakan FB sebagai umpan kepada kanak-kanak.


Apabila berkawan rapat dalam FB dan diajak mereka bertemu, di situlah mereka akan membawa kanak-kanak ini masuk ke bilik hotel dan dibotakkan rambut semua kanak-kanak perempuan ini agar mereka malu untuk keluar. Kemudian, diserahkannya kanak-kanak ini kepada broker yang akan menjualnya di Thailand untuk menjadi pelacur kanak-kanak [baca: mangsa Pedofilia].

Nah, FB yang asalnya baik bertukar buruk apabila ada pihak salahguna. Mangsa yang kurang faham tentang salahguna ini mulalah menyalahkan ibubapa yang menegur. Hanya apabila sudah terhantuk baru nak terngadah.

Cukuplah rasanya jika FB menjadi medan kita bertemu dengan rakan dan saudara yang sudah kita kenali atau berkaitan dengan kita. Jika mahukan kenalan baru, waspadalah setinggi-tingginya. Sebagai ibubapa, pantaulah kegiatan anak-anak di FB. Banyak jenayah hari ini berlaku di luar sangkaan kita.

Keluarga terabai kerana BlackBerry


BlackBerry dikatakan pesaing kepada I-Phone. Kelebihan kedua-dua telefon pintar ini lebih dirasakan anak muda. Kalaulah kita berikan hadiah BB dan IP ini kepada orang tua kita, kegunaannya masih sekadar menelefon dan bermesej.

Generasi IT seperti kami ini lebih menghargai pemberian sebegini. Selain menggunakannya sebagai telefon, ia juga menjadi pengganti komputer. Selagi bateri masih bertenaga, selagi itulah talian internet terpasang.

Bagus memang bagus. Asyik-asyik dengar deringan ringkas menandakan mesej atau dinding muka buku (facebook) baru masuk. Jadi, tiadalah kita ketinggalan berita terkini mengenai orang yang berhubung dengan kita.

Apabila membeli belah, aku suka mencari makanan yang sah halal oleh JAKIM. Jadi BB membantu aku menyemak status halal produk. Mudah. Adakalanya perkataan pada kandungan barang yang dibeli tak difahami, semak saja pada Google, dapat juga jawapannya.

Sebagai orang yang banyak tugasan, perhubungan e-mel sangat penting. Deringan nada lain pula menandakan e-mel baru sudah masuk. Semak saja di BB dan langsung membalasnya. 

Banyak lagi aplikasi yang baik-baik seperti al-Quran sebagai pengganti kitab sebenar bagi membolehkan masa lapang digunakan untuk membacanya. Jika bosan, ada juga permainan disediakan. Tukaran wang asing semasa, kadar emas semasa, kamus ekonomi, dan lain-lain turut dimuatkan dalam BB.

"Engkau ni asyik-asyik mesej.."
"Mana ada, macam-macam benda lain boleh buat.."

Orang tua-tua mungkin tak faham akan kelebihan yang lain. Ada yang beranggapan pengguna telefon pintar semacam bermain mesej semata-mata.

Pada suatu hari aku terfikir, berapa banyak masa yang aku luangkan kepada BB berbanding keluarga di sisi? BB lebih rapat denganku pada setiap masa. Pantang 'menangis', aku terus melayannya. Adakala isteri dan anak memanggil ingin bercakap denganku, tapi aku dahulukan BB.


Oh, ini salah! Aku perlu disiplin diri. Tengok orang tua-tua dulu, mereka bertuah kerana tiada teknologi canggih yang membuatkan lebih masa dapat diluangkan dengan keluarga. 

Hari ini, kita disibukkan dengan dunia maya melebihi dunia realiti. Anak-anak berhari raya di kampung tapi membawa komputer riba bersama. Tidak lagi bermain di luar rumah, berkenalan sanak saudara dan berjalan-jalan menziarahi tetangga.

Facebook membuatkan diri ketawa. Youtube membuatkan diri tersenyum. Seolah-olah kita kenal benar orang di dalam alam itu, dan mereka juga kenal siapa kita. Malang sekali apabila saudara sendiri yang datang berziarah pun kita tak kenal. Apatah lagi jika kebajikan keluarga pula yang terabai.

Teknologi itu baik. Yang membezakannya menjadi sebaliknya ialah disiplin. Tiada disiplin, rosaklah kita. Kemahiran diri lebih banyak terbina dari pergaulan sosial di alam realiti. Di sinilah kekuatan yang perlu kita cari untuk hadapi cabaran masa depan.


Mangsa kebuluran Somalia terima sumbangan

Global Peace Mission (GPM) telah menghantar sejumlah USD10,000 sebagai bantuan awal kepada pelarian di Mogadishu, Somalia pada 25 Ogos 2011/25 Ramadhan 1432 untuk keperluan makanan selama sebulan. Penyerahan cek kepada saudara Hassan Syeikh Ali, wakil Yayasan Zam Zam Somalia telah diadakan pada tarikh yang sama di Balai Berita SINAR, Kumpulan Karangkraf.

 
 GPM telah menjalinkan kerjasama erat dengan rakan anggota Union of NGOs of Islamic World (UNIW) iaitu Yayasan Zam Zam Somalia bagi tujuan pengagihan bantuan makanan tersebut. Ini dilakukan bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan memandangkan Yayasan ini lebih berpengalaman dan arif tentang keadaan di sana.

 
 Lokasi pilihan untuk bantuan awal ini ialah di daerah Dharkenley di wilayah Banaadir, Mogadishu. Mangsa kebuluran paling teruk akibat kemarau dan konflik berpanjangan ini adalah penduduk di antara Sungai Shabele dan Sungai Jubba. Kebanyakan mereka melarikan diri ke Mogadishu bagi mendapatkan bekalan makanan, penempatan dan perubatan kerana kelompok penentang, Al-Shabab telah menyekat bantuan luar masuk ke kawasan asal mereka.

 

 Menurut laporan rasmi UNHCR, setakat 2 September 2011, jumlah tertinggi pelarian iaitu seramai 17,790 orang telah melarikan diri ke Dharkenley. Ini mengakibatkan kekurangan bekalan makanan yang mencukupi bagi menyara keperluan penduduk tempatan dan para pelarian.

 
 Bantuan makanan yang disampaikan oleh GPM melalui Yayasan Zam Zam berupa beras (25kg), tepung gandum (25kg), minyak (3liter) dan kurma (2kg) bagi setiap keluarga. Sebanyak 175 keluarga atau 1,225 mangsa telah mendapat bantuan makanan ini.

 
 Pengagihan bantuan makanan secara teratur dan bersistem oleh Yayasan Zam Zam dapat mengelakkan daripada berlakunya perebutan di kalangan mangsa yang memerlukan. Ini membuktikan keberkesanan gerak kerja Yayasan yang cukup berpengalaman dalam menguruskan bantuan-bantuan kemanusiaan.

 

 Keriangan yang terpancar di wajah mereka setelah mendapat bantuan ini jelas kelihatan apabila mereka menerimanya dan membawa makanan tersebut pulang ke penempatan masing-masing.

 


 Pihak GPM ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penyumbang yang telah menyumbang untuk membantu rakyat Somalia pada fasa pertama yang lalu. Untuk fasa seterusnya, GPM masih mengalu-alukan sumbangan daripada pelbagai pihak untuk disalurkan kepada wakil kami, Yayasan Zam Zam di Mogadishu untuk pelaksanaan misi bantuan kemanusiaan GPM. Fasa kedua akan menumpukan kepada projek jangka masa panjang seperti pembinaan perigi Waqaf, khemah, perubatan dan pendidikan. Sumbangan tuan/puan boleh disalurkan ke akaun GLOBAL PEACE MISSION (GPM) seperti berikut:
Untuk pertanyaan sila hubungi 03-61883230 atau 019-3165970. "Humanitarian Mission Across Borders" GLOBAL PEACE MISSION (GPM) 2-2A, Jalan GJ2 Batu 51/2 Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur, Malaysia Tel: +60 3 6188 3230 Fax: +60 3 6188 3233 Email: gpmhq@yahoo.com Website: www.gpm.com.my

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...