header-photo

Ikuti tunjuk ajar betul untuk jadi pendidik


Sebaik saja anak dilahirkan, doktor rapatkan terus anak dengan ibunya agar bersentuhan kulit. Persentuhan ini mampu menggalakkan hubungan kasih sayang anak dan ibu selain merangsang naluri 'rooting reflex' untuk menyusu badan.

Setelah direhatkan seketika, ibu dan anak dikembalikan ke wad untuk berehat lebih lama sebelum dibenarkan pulang. Anak yang sudah dibersihkan kini diletakkan dalam 'katil'nya bersebelahan ibu.

Perlahan saja gerak kaki ibu kerana sakit di tempat peranakan juga disebabkan oleh jahitan pada kulit yang dikoyakkan dalam proses episiotomi. Untuk duduk atau berbaring, ibu perlu menahan ngilu dan pedih itu.


Keesokannya selepas diperiksa doktor, ibu dan anak dibenarkan pulang ke rumah. Kufikirkan urusan keluar sebentar saja tetapi makan masa juga untuk disiapkan dokumen berkaitan.

Hebat juga Hospital Selayang kerana menggunakan sistem kod bar untuk segala urusan pesakit. Hanya berbekalkan sekeping label berkod, aku ke kaunter pembayaran mengambil baki yuran perkhidmatan yang dikenakan.

Berbaloi rasanya melahirkan anak di hospital kerajaan kerana subsidi yang diberikan kerajaan kepada rakyat dapat mengurangkan beban kos perbelanjaan. Apatah lagi jika kita merupakan kakitangan kerajaan. Sudah begitu tanggungjawab kerajaan kepada rakyat. Tidak kiralah parti apapun yang memerintah.

Mak turut serta membantu membawa anak dan cucunya pulang ke rumah. Seronoknya bukan kepalang. Begitu juga dengan sanak saudara dan rakan taulan lain. Jadi, tak perlulah aku bayangkan kepada kalian bagaimana pula perasaan ibu dan ayahnya.

Bermula saat ini, era pendidik mulai aku tempuhi bersama isteri tercinta. Soal pendidikan anak sudah tentu Islam menjadi teras rujukan. Bukankah Islam itu satu cara hidup yang sempurna mengajarkan kita semua selok belok kehidupan?

Alangkah ruginya jika manual ini tidak kita hadam dan terjemahkan dalam hidup. Buku bertajuk 'Pendidikan Anak-anak Dalam Islam' karangan Abdullah Nasih Ulwan yang pernah menjadi rujukan ibu dan ayahku kini menjadi panduan aku untuk menjadi pendidik.


Rasulullah sangat bersungguh dalam hal memperlihatkan kecintaan dan kasih sayang kepada anak sehinggalah dalam satu kisah seorang Arab datang kepada baginda lalu dia ditanya sama ada dia mencium anak-anaknya?

Jawapan 'tidak' yang spontan keluar dari mulut si ayah tadi ditempelak Nabi dengan mengatakan bahawa Allah telah mencabut sifat rahmat itu dari hatinya. MasyaAllah, moga kita selaku ayah dan ibu sentiasa dilimpahi sifat rahmat kepada anak-anak.

Barangsiapa tidak mempunyai belas kasihan kepada orang lain, nescaya dia tidak akan mendapat belas kasihan [Hadis Riwayat Bukhari]

Kelahiran itu mengetuk pintu hati


Pada pagi Selasa, isteriku mula mengalami kontraksi. Riang tawanya yang biasa kedengaran kini tiada lagi. Inilah kali pertama aku melihat isteri menahan kesakitan hingga mengalirkan airmata.

Pesan ibu, saat ini aku seharusnya genggam tangannya, gosokkan belakang badan dan usap dahinya. Walaupun kesakitan yang amat perit itu tetap dirasai, tindakan suami tadi mampu menjadikannya lebih tabah dan sabar.

Kesakitan yang dialaminya pada jam 8.30 pagi itu datang setiap lima minit. Setiap kali datang, berkerut dahinya menahan kesakitan. Makanan yang aku bawa sedikit pun tak dapat dijamahnya. Doktor yang datang sebelumku memaklumkan bukaan rahim sudah mencapai tiga sentimeter.

Jika tiada perkembangan atau bukaan terlalu lambat sehingga jam 1 tengahari, doktor akan masukkan air untuk mempercepatkan kelahiran. Ramai mendakwa proses ini lebih sakit daripada kelahiran normal. Aku berasa kasihan padanya.

Air zam-zam yang dibekalkan ayah sudah pun kubuatkan menjadi air selusuh semalam menurut pesanan Dr Harun Din dalam bukunya Doa merawat penyakit (siri 1). Aku harapkan kelahiran normal dan dipermudahkan. Dan apa yang aku perasan, kontraksi mula berlaku hanyalah selepas meminum air itu.

Jadi, aku suruhnya minum lagi. Tambah pula mak pun ada bawa sebotol air zam-zam sebagai tambahan. Tak lama selepas itu, isteriku menyuruhku memanggil doktor, dia sudah tak tertahan untuk meneran. Doktor minta tunggu sekejap sementara menunggu kekosongan di dewan bersalin.

Ya Allah, risaunya aku kalau-kalau anak dilahirkan di wad. Dalam kerisauan itu, aku sempat menunaikan solat zuhur dan berdoa sebaiknya. Isteri sudah pun dikejarkan ke dewan bersalin seusai aku bersolat. Mak menyuruhku segera masuk ke kamar 4.

Sebaik tiba di kamar itu, isteriku sedang meneran kali pertama. Alhamdulillah doaku diperkenan Allah untuk menyaksikan kelahiran ini. Kali ketiga isteriku meneran, terus saja anak kami keluar. Aku tergamam pada waktu itu sehingga tidak kisah tentang berat anak dan pukul berapa dia dilahirkan.

Hanya lafaz tahmid kuucapkan ribuan kali ke hadrat Maha Pencipta Yang Teragung. Sementara menunggu anak dibersihkan, pelbagai kisah ibu dikhabarkan sang ayah kepadaku di bilik menunggu.

Semakin deras lafaz tahmid kuucapkan apabila kisah-kisah mereka menjengah ke telingaku. Ada seorang ayah yang sangat berdebar menantikan kelahiran anaknya yang ditunggu-tunggu sejak jam 9 pagi hinggalah 3 petang. Syukur sekali apabila isteri hanya mengambil masa 7 minit.

Ada pula seorang ayah kelihatan murung apabila kutanyakan status anak. Rupa-rupanya anaknya meninggal dunia sebaik keluar dari perut ibunya dek kerana jantung yang lemah dan paru-paru berada di luar jasad. Sudah tentu takdir Allah itu layak buat kita yang harus merenung jauh pengajaran di dalamnya.

Setelah itu, isteriku kelihatan sangat lemah. Anak perempuan yang dilahirkan seberat 3.01kg langsung disusukan. Sempat aku ucapkan tahniah dan terima kasih kepada isteri kerana melahirkan anak kami. Aku tahu ucapan dan kucupan suami itu sangat bermakna buat isteri.

Dalam keletihan itu, terpaksa juga aku tinggalkannya sendirian bersama anak. Sudah polisi hospital tidak membenarkan suami menemaninya. Hanya sesekali datang menjenguk untuk menghantar makanan atau barangan saja dibenarkan.

Sungguh, kehebatan Tuhan menjadikan kita sebagai manusia penuh dengan ciri kompleks yang tersirat dalam zahir dan batin diri kita sendiri. Ciri-ciri itu jika diteliti dapat menambahkan lagi rasa cinta dan kagumnya kita kepada Dia Maha Pencipta.


Lebih-lebih lagi apabila kita melihat permulaan proses kehidupan manusia di depan mata sendiri melalui kelahiran anak ini. Sudah pasti juga kita bakal melihat perubahan-perubahan dalam fasa kehidupannya yang mencerminkan diri kita suatu ketika dahulu.

Tiada kata lain yang patut kuucapkan kala ini melainkan ucapan terima kasih kepada ibu. Selepas ini aku akan mengerti betapa patah kata dan tindakan yang menongkah ketaatan akan mengguris hati ibu dan ayah. Ampuni anakmu ini ibu.. ayah. 

Benarlah bahawa kehidupan ini umpama roda yang berpusing. Aku kini berada di putaran yang pernah dilalui ibu dan ayah. Jauh di sudut hati, aku terasa seperti ingin menangis apabila menyaksikan kelahiran ini. Namun, aku tabahkan hati untuk membekalkan semangat kepada isteri yang sedang bergelut kala itu.

Penyaksian kelahiran suatu keinsafan

Isteriku sudah pun dimasukkan ke wad pagi tadi untuk kelahiran permata hati kami yang pertama. Jika dihitung menurut kebiasaan, anak kami dijangka melangkah ke alam dunia ini 16 Oktober lepas.


Hari ini sudah lajak 9 hari isteriku menanti kelahirannya tapi masih tiada tanda-tanda kelahiran. Konon nak dapatkan 20.10.2010, Allah tak izinkan. Sudah tentu ada hikmahnya.

Hikmahnya banyak sebenarnya kerana banyak urusan aku pada waktu itu perlu diselesaikan. Sama juga dengan ahli keluargaku sendiri dan keluarga mertua. Alhamdulillah penangguhan itu menyelesaikan banyak perkara lain.

Risau juga melihat keadaan isteri yang tidak memperlihatkan tanda-tanda kelahiran akan tiba. Mujur ada rakan-rakan dan orang lain yang memaklumkan pengalaman mereka melahirkan anak menjangkau tarikh jangkaan. Kiranya keadaan yang dialami isteri adalah normal.

Isteriku terpaksa aku tinggalkan di hospital buat sementara kerana polisi yang tidak membenarkan aku menemannya. Sewaktu menziarahinya bersama keluarga, kamar sebelahnya dihuni seorang makcik yang sedang mengerang kesakitan untuk melahirkan anaknya yang kelima tidak lama lagi.

Ya Rabbi, barulah tampak di mataku betapa sakitnya melahirkan anak. Itu pun masih belum dilahirkan, emaknya sudah tak tertanggung derita. Bertambah sayu di hati apabila suaminya tiada di sisi kerana urusan kerja.

Kata ibu, suami perlu berikan sokongan kepada isteri pada saat-saat begini. Sakitnya sukar digambarkan apabila anak semakin rapat menuju ke rongga rahim yang semakin terbuka.

Alangkah ruginya andai kita tak dapat menyaksikan kelahiran ini. Tangisan pertamanya memadamkan segala derita yang dialami sebelum ini oleh sang ibu. Sudah pasti dengan penyaksian ini, kita tak mungkin bisa membuatkan ibu menangis pula kerana keangkuhan kita.

Itulah yang kuharapkan pada esok hari. Untuk menyaksikan kelahiran ini. Untuk kukhabarkan pada alam akan kekagumanku terhadap kehebatanNya. Untuk kuceritakan pada diri tentang sehelai kain putih yang perlu dijaga sebaik mungkin. Untuk kusematkan dalam sanubari akan beban pendidik yang menuju jalan abadi.

Cempaka Sari dilanda ribut

Setelah sekian lama hidup aman damai, inilah kali pertama negeri Cempaka Sari dilanda ribut. Ribut berasal dari khabar angin kononnya rakyat berbilang bangsa saling membenci antara satu sama lain.

Khabar pula disampaikan Pak Terang yang memiliki perniagaan piring hitam terbesar negara. Tiada siapa kenal suara yang dirakamkan dalam piring hitam yang tersebar luas itu. Hanya ada pelekat tertera ‘Perniagaan Pak Terang’ dan alamatnya.

“Kita harus wujudkan bangsa Cempaka. Inilah simbol perpaduan kita. Usah digunakan lagi pemakaian nama bangsa Cina, Melayu dan India.”

Begitulah petikan suara yang keluar dari piring hitam yang sedang berkumandang di rumah Tok Su, penghulu Kampung Hadarah. Ramai anak-anak muda kampung berkumpul di sana mula berikan pandangan berbeza.

Ada yang minta dibunuh saja Pak Terang. Dengan pantas, Tok Su menghalang. Katanya suara ini bukan suara Pak Terang. Tambahan pula, dia orang kuat pemerintah. Tok Su tak berani menentang.

Adizaman lantas bangun mengangkat tangan menjadikan suasana hingar-bingar terus berubah menjadi senyap seketika.

“Jangan terburu-buru. Kita tidak dididik untuk menghukum tanpa diadili. Sejak bila Islam mengajar kita bunuh-membunuh? Dengan adanya piring ini, kita yang bersatu jadi berpecah. Cuba saudara semua fikirkan, jika tiada piring ini, akan wujudkah perkara perpecahan ini?”

Mereka yang hadir serentak menjawab TIDAKK!

“Jadi, kita perlu rasional. Dengan kita terburu-buru, ia boleh dijadikan bukti bahawa kita sedang berpecah. Bukankah itu merugikan? Saudara-saudara sekalian, piring hitam ini perlu dihapuskan.. tapi bukan dengan kekerasan.”

Adizaman memang dikenali dengan sikapnya yang matang dalam menghadapi sebarang situasi. Apa yang disampaikan pun sering membuatkan orang tertanya-tanya kalimah seterusnya. Walaupun baru berusia 20 tahun, Adizaman mampu menggerakkan rakyat di Kampung Hadarah.

“Tapi Adizaman, bagaimana hendak hapuskan piring hitam ini kalau bukan dipatah-patah dan dibakar saja? ” Darah muda Lazim membuak-buak ingin memusnahkan semua piring hitam.

“Nanti akan saya fikirkan..”

Teknologi membuatkan kita hebat


Kreatif dan inovatif. Itulah sifat yang ada pada ahli-ahli teknologi yang membuatkan perkembangan teknologi bergerak cukup pantas. Misalnya, bagi pengikut setia Apple, sudah tentu Iphone4 menjadi idaman. Namun, fenomena baru ini sudah tentu juga tidak kekal.

Dulu sewaktu kanak-kanak, ilmu komputer yang aku tahu hanyalah ms-dos. Sudah kira hebatlah tu jika dapat buka fail daripada cakera liut menggunakan ms-dos. Zaman itu, ayah aku masih lagi menggunakan mesintaip. Aku hanya bermain dengan mesintaip sebab suka dengan kesan bunyinya. :)

Masih lagi aku ingat, waktu itu ayah sibuk dengan kerja-kerja dakwah. Ke sana ke mari tanpa telefon bimbit. Mesyuarat dan usrah setiap minggu. Kadang-kadang naik motosikal, kadang-kadang naik kereta. Ada masa kereta buat hal. Tapi, ayah tetap akan pergi.

Ayah juga tak lupa untuk mengajak aku bersamanya. Sebaik tiba di sana, aku dapati ramai kawan-kawan ayah yang datang. Mereka berbincang hal-hal yang tak tercapai dek akal aku.

Waktu itu aku rasa biasa saja tapi hari ini aku rasa mereka semua hebat belaka. Pengurusan masa cekap walaupun tiada telefon bimbit membunyikan alarm atau deringan jam tangan berjenama.


Dokumen-dokumen ayah juga aku suka baca. Dokumentasi mereka cukup lengkap sedangkan mereka menaip secara manual tanpa kekunci yang membolehkan tulisan dipadam. Kagum.

Semua kepayahan dulu kini tiada. Teknologi telah memajukan kehidupan kita. Itulah sepatutnya. Maksud aku, kerja kita semakin mantap. Pengurusan masa lebih teliti. Tempoh siap kerja lebih singkat. Perbincangan tak perlu bersua muka, boleh saja buat keputusan atas talian atau dalam telefon sambil memandu. Dan lain-lain..

Terima kasih pakar teknologi!

Namun, adakah teknologi ini benar-benar membuatkan kita semakin laju, mantap, hebat, dan seumpamanya? Akhir-akhir ini aku dapati teknologi ini memang memudahkan tapi ramai juga yang ambil mudah teknologi hinggakan hasil yang diharapkan tidak setanding orang dulu-dulu pun. Di mana silapnya? Aku bingung.

Anak iringi ibu terima ijazah



Semenjak Syawal, aku tidak berkesempatan menulis entri dalam blog ini. Cuma hari ini aku cuba gagahkan diri memberikan sedikit masa mencoretkan ucapan tahniah buat isteri.

Hari ini adalah hari bahagia buatnya. Sudah pasti Mak dan Abah turut berasa gembira atas kejayaan anak sulung mereka. Sebagai suami, aku tidak terlepas untuk sama-sama meraikannya.

Kali ini aku cukup bertuah kerana dapat merakamkan detik gemilang ini. Anak kami ikut mengiringi ibunya menghadiri majlis konvokesyen UIAM.

Berkali-kali aku berdoa memohon Allah berikan kesempatan kepada isteriku untuk memasuki dewan hebat ini bagi menerima ijazah daripada rektornya. Dan syukur kepadaNya atas pemakbulan doaku.

Menurut doktor, usia kandungan yang telah mencecah 9 bulan 2 hari pada hari ini adalah saat genting. Bila-bila masa saja permata hati ini boleh keluar untuk melangkah ke alam seterusnya.


Buat isteriku, tahniah abang ucapkan. Semoga kejayaan ini memberi semangat baru kepada sayang meneruskan hidup sebagai anak, isteri, pekerja, ibu dan khususnya khalifah di muka bumi.

Tak sabar rasanya hendak ceritakan pada anak kita nanti tentang kesempatannya bersama sayang naik ke pentas menerima ijazah pada hari ini. Akan kuceritakan padanya..Ya, bila sampai waktunya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...