header-photo

Berkelah di pantai Kuala Linggi


Sudah 10 tahun aku tak berenang di laut. Semalam aku dan ahli keluarga lain berkelah di pantai Kuala Linggi. Kami tahu di sana tak ramai orang. Jadi, berseronoklah kami sekeluarga.

Kebanyakan kawasan berhampiran pantai sudah dimiliki orang. Apabila ingin berkelah,mesti dapatkan izin dengan bayaran sepatutnya. Tapi ia bersekali dengan sewa chalet.

Mujur tuan tanah baik hati menunjukkan kami kawasan yang tak bertuan. Di sanalah kami berkelah. Perkelahan ini juga bagi meraikan adik bongsu aku yang bakal masuk universiti 3 hari lagi.

Aktiviti sebegini sangat penting bagi mengeratkan hubungan kekeluargaan lebih-lebih lagi apabila ahli keluarga tinggal berjauhan dan jarang bertemu. Buatlah saja apapun aktiviti seumpama ini. Tengok wayang, berkhemah di hutan, berjogging di taman, mengemas laman, dan apa saja.. yang penting BERJEMAAH. Pasti tak sia-sia.

Setiap perkara yang tidak disertakan padanya nama ALLAH maka ia akan menjadi sia-sia (lagha), senda-gurau serta main-main kecuali empat perkara. Suami yang bercanda dengan isterinya, seorang yang melatih kudanya, seorang yang sedang memilih antara dua sasaran dan seorang yang berlumba dalam sukan renang.

- Hadis riwayat al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, hadis no: 2312.

Setiap hari adalah yang terbaik buat ayah


Hari ini aku terasa tak sedap badan. Juga terasa serba salah kerana tak sms pun ayah tentang sambutan Hari Bapa pada hari ini. Aku tanya pada isteri, apa sejarah sambutan Hari Bapa ya?

Setahu isteriku, ia hanyalah complement kepada Hari Ibu. Oh, jawapan itu tak memuaskan hati aku. Lantas aku bertanya kepada Pakcik Wiki. Dan akhirnya aku puas hati kerana aku tidak menyambut Hari Bapa. Ternyata sejarahnya berkait rapat dengan penganut Kristian.

Cukuplah rasanya ayah, Suhail sentiasa berdoa kepada ayah. Juga menjaga hati ayah agar tak pernah terguris walau sedikit atas ucap kata dan tindakan. Juga membantu ayah di kala ayah memerlukan bantuan.

Dan sudah pasti ianya berlaku setiap hari. Semalam aku mendengar ceramah Dato' Dr Siddiq Fadzil. Beliau memetik sebuah hadis yang bermaksud:

Tidak ada yang dapat menolak takdir Allah kecuali doa, dan tidaklah yang menambah umur kecuali berbuat kebajikan...


Paling kurang 5 kali sehari aku ingat ayah dalam doaku. Aku tak mampu berikan kemewahan harta dan wang ringgit untuk ayah. Aku mohon Allah berikan yang terbaik buat ayah hasil didikan ayah menjadikan siapa aku hari ini.



Tapi ayah, Suhail dan anak-anak ayah yang lain ada sambutan Hari Bapa yang tersendiri. Tak mahulah ikut sejarah Hari Bapa yang diraikan sekarang. Bukankah hari ulangtahun kelahiran ayah adalah Hari Bapa yang sepatutnya?

Tanpa kelahiran ayah pada tarikh itu, tidak wujudlah jasad yang dilahirkan dari perut ibu. Jadi, sambutan itu sudah pun berlangsung. Siap ada suap-suap ayah ibu lagi. Tak cukup lagi, ditambah pula dengan ciuman sayang ibu.. nampak tak?

p/s: Lebih-lebih lagi ibu

Mungkinkah teknologi hari ini ditinggalkan?

Semalam aku disapa seorang sahabat dalam kejiranan. Dia bertanya padaku, "Apakah nanti akhir zaman, manusia akan kembali seperti dahulu dan tak menggunakan teknologi komputer internet ini?"

Soalan itu susah untuk dijawab tapi ia tak mustahil. Sebabnya kelihatan fesyen sekarang cuba untuk kembali ke era terdahulu. Semakin labuh dan longgar. Simple tapi kemas. Kalau gaya retro, ramai sudah berkenan.

Lagu di radio juga lebih terkesan lagu retro berbanding lagu moden. Jangka hayat lagu moden tak sama bertahan. Lirik yang puitis dan beralas itu lebih digemari.

Hidup dalam zaman kecanggihan teknologi ini mendatangkan juga kesan negatif yang banyak dari sudut sosial. Bukan main hebat bercakap dalam Facebook tapi apabila berdepan cakapnya tidak petah, bahkan adab kesopanan tak dijaga kerana selama ini bercakap menggunakan keyboard tanpa punya suara dan intonasi.

Waktu hari raya,anak-anak zaman kini sudah kurang jalan beraya. Sebabnya ramai akan duduk di rumah menonton rancangan tv yang dilambakkan atau bersama PC, laptop atau PS3 mereka.

Seperti dalam filem Wall-E, kehebatan teknologi membuatkan manusia hanya duduk atas kerusi bergerak dan monitor skrin sentuh untuk sebarang aktiviti. Hanya apabila berlaku pelanggaran, baru mereka tersedar. Baru mereka tahu yang mereka tak tahu PR. Bukan itu saja, untuk membaca buku pun sudah tak reti sebab asyik baca e-book agaknya.. petikan filem ini sangat menarik. Sila tonton.



Jadi adakah mungkin teknologi hari ini akan ditinggalkan suatu hari nanti untuk kembali kepada zaman yang hidup 'bermasyarakat'? Jawapan aku, ya mungkin tapi tak sepenuhnya ditinggalkan.

Bertuturlah dengan gaya bahasa yang difahami pendengar



Bukan mudah untuk bercakap mengikut tahap kefahaman audien. Memang ada sesetengah orang tidak mengambil perhatian perkara ini. Seringkali aku rasa kurang selesa dengan beberapa penceramah di siaran televisyen yang berceramah menggunakan istilah islamik tanpa menerangkan maksud istilah tersebut.

Bukankah apabila bercakap dalam tv, audiennya pasti kebanyakannya adalah masyarakat awam yang tidak mempunyai latarbelakang pendidikan agama yang mendalam. Sebagai contoh, fahamkah anda dengan istilah-istilah berikut:
  • mad'u (golongan sasaran)
  • tasamuh (berlapang dada)
  • wasatiyah (kesederhanaan)
  • wasilah (cara)
Andai perkataan di dalam kurungan digunakan, mesej pasti lebih jelas difahami. Bukan saja golongan agamawan sering melakukan kesilapan begini, golongan cendekiawan lain turut terlepas pandang perkara ini.

Pensyarah universiti tak seharusnya menyampaikan taklimat kepada masyarakat di kampung sama sepertimana dia mengajar anak muridnya di universiti.

Begitu juga dengan produk universiti yang bernama mahasiswa/graduan. Sebaik saja anda bersama masyarakat, olah cara penyampaian anda agar tidak seperti anda mempersembahkan tugasan dalam kuliah.

Aku nak cerita tentang pengalaman aku sewaktu menjadi peguam di KL. Aku hormat sangat pada jurubahasa mahkamah jenayah yang aku masuk waktu itu. OKT (Orang kena tuduh) adalah seorang India yang kurang faham bahasa Melayu jika dibacakan pertuduhan seperti ini:

"Bahawa anda, [NAMA] pada [TARIKH] jam [MASA] telah didapati memiliki 5 gram dadah ganja yang disimpan dalam poket sewaktu dua pegawai polis menahan anda di [TEMPAT] ..."

Jadi, jurubahasa dengan selambanya keluar dari tempatnya menuju ke kandang OKT, lalu menerangkan pertuduhan dalam gaya bahasa begini:

"Uncle, nama ini, [NAMA], betul ka?Ada satu hari uncle kena tahan polis, ada betul? Itu polis tahan sama uncle dekat [TEMPAT], ya bukan? Dua orang polis kan? Itu hari, [TARIKH] pukul [MASA] uncle kena tahan, ada betul? Uncle ada simpan ganja dalam poket ka waktu itu hari kena tahan polis?... "

Jurubahasa ini telah memudahkan prosiding (perjalanan) kes apabila jurubahasa pertama nampaknya gagal menyampaikan mesej dengan betul. Tengok tu, betapa pentingnya memahami audien/pendengar kita.

Maka, sempena kempen 1B1A kali ini, aku ingin mengajak kita semua untuk memperbaiki diri dalam berkomunikasi dengan memahami siapa pendengar kita. Moga kita dapat berfungsi dengan baik dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Lagu dari filem MANN asalnya patriotik

Pada 2007, aku dijemput mengiringi seorang sahabat ke Jordan untuk misi pencarian barangan antik bagi mengisi ruang monumen Taman Warisan Islam di Terengganu.

Sewaktu berehat di lobi hotel, telefon bimbit pemandu kami berdering. Lalu terdengarlah lagu ini.



Lagu ini tak asing bagi aku yang pernah meminati filem Hindustan bertajuk MANN. Baru aku tahu rupa-rupanya lagu asalnya adalah dalam bahasa Itali yang dinyanyikan atas tema yang berbeza.

Tema Itali adalah semangat cintakan Itali manakala tema MANN semacam cintakan kekasih. Aku cuba cari maksud bagi lirik Hindi tapi masih belum ketemu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...