header-photo

ENAM itu cukupkah?




SELINGAN (Siri Ramadhan China akan bersambung selepas ini)



Mengapa pemimpin itu bercakap tanpa rasa bersalah? Bagi aku dia lebih bersalah daripada Kartika sendiri. Sudahlah Kartika sendiri memilih disebat, mengapa disuruhnya merayu?

Kartika sudah insaf dan mahu orang lain turut insaf. Pemimpin itu juga perlu turut insaf. Jika benar dia rasakan beratnya kesalahan minum arak, pasti dia memuji tindakan Kartika.

"Ya, kita akan pastikan hukuman itu dijalankan sebaiknya kerana ini adalah kes pertama melibatkan hukuman sebat berdasarkan sistemn syariah. Moga ia menjadi iktibar buat orang ramai."

"Pilihan Kartika untuk disebat harus dipuji kerana hasrat lainnya bukan semata-mata untuk menghukum dirinya yang tersalah laku tapi juga agar lebih ramai orang yang takut"

Ini bukan kata-kata pemimpin itu. Ini hanyalah rekaan semata-mata. Ini barulah pejuang Melayu yang benar-benar menyatakan prinsip Islamnya.

Tahukah kalian undang-undang syariah di Malaysia mempunyai bidang kuasa menghukum yang sangat terhad. Berikut adalah maksimum hukuman:

- penjara : 3 hari
- denda : RM5,000
- sebatan : 6 kali

Setakat penjara, apalah sangat 3 hari. Denda pun boleh dibayar sebab kebanyakan yang berbuat salah adalah yang berharta. Hanya sebatan masih belum diuji keberkesanannya dalam usaha mengurangkan jenayah Syariah di Malaysia.

Sebatan syariah tak sekejam sebatan sivil [Bacaan lanjut di sini]

Siri Ramadhan China: Mungkin itu malaikat

Kali ini aku berbuka di Masjid Huaisheng, masjid pertama di Canton (Guangzhou) yang dibina oleh Saad Abi Waqqas sebagai tanda peringatan kepada Nabi Muhammad saw. Masjid ini terkenal dan di sini ramai orang yang datang berbuka dan bertarawih.

Ramai sungguh jemaah di sini hinggakan kerusi dan meja yang disediakan tak cukup menampung semuanya. Air susu dicampur Sprite menjadi minuman awal pembuka puasa.

Berbanding sebelum ini, jemaah di sini lebih beradab kerana beratur dalam mengambil makanan yang disediakan. Ada sekitar 20 jemaah yang tak dapat menikmati sedekah para penyumbang ini.

Para pengemis juga ramai yang turut serta. Dan pada waktu inilah, baru aku nampak para pengemis ini turut solat. Tidak seperti hari-hari Jumaat sebelum ini, kelibat mereka hanya di pintu keluar masjid.


Sama seperti masjid sebelum ini, tazkirah ringkas diberikan sebelum solat Isyak ditunaikan Masyarakat Cina pada waktu ini sangat khusyuk mendengarnya. Apa yang disampaikan imam hanyalah perkara asas yang didahagakan jemaah. Waktu ini jugalah jika anda ke sini, anda dapat melihat begitu ramai Cina Muslim.


Ramai bukan? Secara kiraan kasar, dianggarkan sekitar 700 ahli jemaah membanjiri ruang solat. Solatnya tak sederas masjid sebelum ini. Agak tenang sedikit, cuma bahang siangnya masih terasa.


Waktu ini jugalah wanita Cina Muslim dapat dilihat dengan banyaknya. Bagi masyarakat Malaysia dan Indonesia yang terbiasa mengenakan telekung untuk bersolat mungkin terasa janggal melakukan demikian di sini. Rata-rata mereka hanya menutup aurat apabila menunaikan solat seperti sewaktu mereka berjalan di kaki lima. [Penutupan auratnya masih kurang sempurna barangkali disebakan kurang kefahaman]


Kasut-kasut yang anda sarungkan di kaki biarkan saja di mana pun. Tiada kejadian hilang kasut seperti di Malaysia. Tak kiralah kasut anda murah atau mahal, insyaAllah anda akan dapati kasut anda di tempat asal anda meninggalkannya.


Pada malam ini, ada acara sangat bermakna buat rakanku itu. Ya, rakan yang aku ceritakan sebelum ini. Malam ini pengucapan shahadah dibuat di hadapan imam. Kami minta Imam Abdullah mengadakan acara kecil ini selepas jemaah lain beredar.



Kejutan buat imam kerana jarang sekali orang Cina ingin memeluk Islam. Walaupun terdapat persatuan Islam Guangzhou, mereka sendiri tiada daftar muallaf. Namun, aku harus tabik pada imam yang sangat sungguh-sungguh beri faham kepada rakanku itu sebelum shahadah dibacakan sedangkan dia sedang mengejar waktu untuk pulang.


"Suhail, waktu saya solat tarawih tadi, ada sesuatu mengusap-mengusap bahu kanan saya tiga kali"
"Barangkali itu adalah malaikat yang ingin menyambut kamu.."
"Saya rasa nak nangis tadi"
"Alhamdulillah, kamu kini Muslim. Tahniah.. Allah sayang kamu"


Akan datang: Dia ditolak hingga hampir terjatuh hanya kerana memeluk Islam

Siri Ramadhan China: Kenyang betul

Hari pertama Ramadhan, aku sempat berbuka di masjid. Masjid Xiao Dong Ying ini letaknya terpencil. Melayu yang duduk sini 4 tahun pun tak tahu kewujudan masjid ini. Tengok sajalah kedudukannya di celahan rumah-rumah lama.

Aku dimaklumkan rakan, di sini juga ada iftar. Patutlah ada meja disediakan. Tidak seperti di Malaysia, kita lebih selesa duduk atas hamparan.

Wanita juga tak dipinggirkan. Ruangan bilik ini disediakan untuk kaum wanita yang hadir.


Allahu Akbar! Allahu Akbar! Sebaik saja azan dilaungkan, minuman dan kuih muih tersedia dijamah. Ya Rabbi, nikmatnya.. Ada Coke (orang Arab sedekah.. mereka memang suka air ini), air mineral, tamar, biskut, kuih samosa goreng (orang Pakistan sedekah).

Hanya 10 minit diperuntukkan untuk buka puasa. Kemudian, kami terus saja menunaikan solat Maghrib. Seronok sebab saf penuh sehingga melimpah ke luar dewan solat.

Lepas solat, jemaah keluar semula untuk makan nasi. Tengok ni sistem beratur tak diamalkan, habis badan dihimpit orang. Tapi, alhamdulillah makanan cukup untuk semua.

Berselera masing-masing makan. Di meja inilah tempat aku makan bersama rakan-rakan Cina yang baru dikenali. Aku saja yang bercakap sambil makan. Yang lain diam saja khusyuk makan.

Set nasi berlauk ayam goreng, daging masak halia dan sayur goreng ini disedekah oleh satu restoran milik pedagang Arab. Enak dan lazat sekali. Aku paling lewat habis. Tak kiralah aku bercakap atau diam, memang biasanya aku lambat.

Ini kali pertama aku lihat ramainya orang Cina boleh membaca al-Quran. Ramai daripada biasalah. Tapi lebih ramai lagi yang tak reti membaca. Sementara menunggu Isyak, tilawah quran dulu.

Aku didatangi rakanku dari Xinjiang, Abdul Rahman yang ingin berbual denganku. Quran terpaksa aku tutup. Dia tunjukkan gambar Mekah dan sangat ingin ke sana. Dia sudah tiada kerja. [Panjang kisah dia.. kalau siapa ikuti siri taklimat aku di Malaysia nanti, mungkin akan dapat dengar cerita dia]

Selepas azan berkumandang, sebelum Isyak didirikan, imam pasti memberi tazkirah Ramadhan dalam 10 minit. Masing-masing memberikan perhatian khususnya orang Cina kerana inilah satu-satunya sumber ilmu yang jarang diperolehi dalam hari-hari biasa.

Ramai kan? Yang berkulit putih.. berkulit hitam..

Di luar pun ada..

Ada lagi.. Aku hitung secara kasar.. dalam lingkungan 400 ahli jemaah pada malam ini. Semuanya solat 20 rakaat. Mereka juga ada tasbih rupanya. Tasbih setiap selang 2 rakaat tak sempat aku rekodkan. InsyaAllah lain kali.


Akan datang: Dia diusap-usap oleh makhluk tak dikenali



Tarawih sudah dibenarkan di China



Marhaban Ya Ramadhan.. Marhaban! Marhaban!

Pastinya kehadiran sangat dinantikan. Bulan penuh rahmat, keampunan dan pelepasan seksa neraka ini adalah peluang muhasabah dan perbaiki diri. Yalah, besar kemungkinan kalau tiada bulan khas ibadah sebegini, sepanjang tahunlah diselubungi kealpaan.

Hari terakhir bulan Syaaban, baru terasa bahang Ramadhan di sini. Masjid-masjid sudah dicat baru (entah bila dicat pun tak tahulah). Jemaah sewaktu solat Jumaat pun berkurang khususnya warga Cina.

"Mungkin mereka balik kampung agaknya," bisik hatiku.

Aku tiba waktu tazkirah (dalam Bahasa Mandarin) sudah bermula, sebelum azan kedua berkumandang. Terdengar perkataan tarawih. Sefaham aku yang belum cukup bijak berbahasa Mandarin, pak imam memberitahu solat tarawih akan diadakan di masjid ini.

"Sini solat tarawih tak dibenarkan.."

Teringat aku pada cerita rakan Melayu yang sudah bertahun lamanya tinggal di sini. Wah, ini bermakna pihak kerajaan semakin toleransi dan memahami ibadah yang perlu dilaksanakan.

Untuk kepastian, aku bertanya kepada rakan Indonesia yang telah menikahi gadis China mengenai apa yang diucapkan tadi. Dia yang sudah 3 tahun menetap di sini atas tujuan dakwah yang dimulai dengan perkahwinan itu, membenarkan fakta yang diceritakan rakan aku.

Syukur.. Ramadhanku seindah Ramadhan di Malaysia. Cuma tiada laungan selawat dan zikir mengiringi setiap 2 rakaat.

----

Dalam banyak ceramah, selalu diceritakan kisah-kisah nabi dan sahabat yang menempuhi ujian dan cabaran dalam bulan Ramadhan. Tarbiyah rohani inilah yang mendidik jiwa para pejuang menjadi kental dan tabah.

Agak-agak sanggup ke kita bermusafir di bawah panas terik matahari, dengan tiupan angin yang membawa debu, sambil memikul senjata dan memacu kuda, lalu berperang di siang hari?

1 Ramadhan masuk saat azan Maghrib berkumandang. Aku diuji sebelum masuknya Ramadhan hinggalah ia menjelma. Paip air tingkat paling atas kediaman rumah aku bocor. Habis melimpah air mencurah-curah menuruni tangga. Akibatnya, banjir di lobi dan semua lif tak berfungsi.

Aku baru saja tiba membawa barangan berat untuk bekalan puasa. Semua penghuni diminta tunggu untuk tempoh masa yang belum diketahui. Memandangkan aku belum menunaikan solat Asar, aku tinggalkan barang di pos pengawal dan berhasrat mengambil teksi untuk ke rumah rakan.

10 minit berlalu.. 20 minit.. 30 minit..

"Ish, kenapa semua teksi tak mahu berhenti.. Memanglah penuh waktu orang balik pejabat. Yang ada pula, dah sampai waktu habis kerja, " aku bercakap sendirian.

Tak apalah, aku rasa lebih baik aku berjalan kaki sambil jenguk ke belakang kalau-kalau ada teksi. Aku pun berjalan. Sehinggalah 2 km perjalanan, aku masih tak temui teksi kosong.

Sampai pun rumah rakan aku. Dalam tercungap, aku disuakan air. Alhamdulillah. harap-hrap sementara nak tunggu Maghrib, masalah di rumah sudah diperbaiki.

"Suhail, kenapa tak ambil seguni beras tu? Akak memang nak bagi kat Suhail," seorang lagi rakan yang sedang mengemas rumah untuk berpindah ke Malaysia, menegur aku.

Rezeki Ramadhan ini. Alhamdulillah. Maghrib hampir tiba. Aku terus ke rumah kakak tu untuk mengambil beras dan terus menaiki teksi untuk pulang ke rumah.

Setibanya di rumah, pengawal beritahu lif masih belum boleh digunakan. Dia kata terpaksa naik tangga. Alamak, di tangan kiri dan kananku penuh barangan yang kubeli tadi. Tambah lagi di bahu kupikul seguni beras.

16 anak tangga x 15 tingkat = 240 anak tangga perlu kudaki.

Apa boleh buat? Teruskan saja. Tapi beras terpaksa aku tinggalkan untuk pusingan kedua. Apa? Dua kali? Ahhh.. letihnya. Sudahlah panas di sini 38 darjah Celcius. Walaupun malam, bahangnya masih terasa.

"Aouhh..Aouhh..Aouhh, " aku tercungap-cungap sebaik tiba di rumah. Habis basah baju t-shirt yang kupakai. Peluh menitis laju. Tangan dan kakiku menggigil. Rasa macam terhuyung-hayang pula.

Waktu Maghrib sudah suntuk. Aku terpaksa solat dalam keadaan merimaskan. Melekit badan. Tak apa, sabar. Sabar..

Ahhh.. Isyak nak dekat. Tarawih.. Aku nak tarawih.. Uwaaa...
Kepada semua, selamat menyambut Ramadhan dan hayatilah ia sementara kesempatan masih dikurniakan. Moga Allah memberkati usaha kita. Maaf dipinta atas segala kesilapan lalu. Mohon doa diberikan kekuatan meneruskan perjuangan kekasihNya.

Usah dipisahkan Melayu dan Islam


Aku sampaikan berita keinginan dia untuk peluk Islam kepada seorang rakan Melayu. Dia asli Melayu. Cakapnya nampak bersopan. Lemah lebut bicara si jejaka ini.

"Mana kau tahu dia nak masuk Islam?"
"Dia beritahu aku. Sekarang ni dia dah mula belajar mengaji"


Tersenyum dia mendengar berita ini. Dia nampak berminat untuk tahu lebih lanjut. Aku terus ceritakan apa yang sudah berlaku.

"Macamana nak ajar dia mengaji? Aku pun dah bertahun tak baca al-Quran. Dah lupa dah.."

Apa? Terkejut aku mendengar pengakuan ikhlas dia. Dia jadi malu. Dia kata dia sudah lupa baca al-Quran. Ya Rabbi, apakah huruf hijaiyyah dan baris serta tajwid itu tak lagi diingati?

Aku jadi bimbang.

-------

Waktu itu ada acara keramaian. Aku tengok jam menunjukkan 20 minit saja lagi masa yang tinggal untuk aku solat Maghrib. Lantas aku ajak rakan-rakan Melayu lain untuk turut mengerjakan kewajipan.

"Takpe, pergilah dulu.."
"Oh, masjid jauhlah.. takde tempat dekat sikit?"


Tiada yang bersungguh menjawab pelawaan aku. Dengan rasa sedih, aku menghilangkan dii untuk tumpang solat di kawasan berdekatan. Tiba-tiba aku dapat panggilan.

"Sudah solat? Saya mahu pergi masjid.."

Saudara yang masih belum mengesahkan keIslamannya ini ingin solat Maghrib. Apa? Aku sudah solat. Takpelah, aku cakap marilah kita naik teksi ke masjid.

Dalam teksi, aku katakan yang aku dah solat. Dia cakap kenapa tak ajak dia. Aku cakap aku takut tak sempat dan kewajipan itu hanya tertanggung atas aku. Dia belum lagi.

"Yalah, tapi saya tak mahu tinggal sembahyang.."

Aku jadi malu. Aku tenangkan hati dengan berfikir, mungkin rakan-rakan Melayu ku itu solat dekat-dekat sana di kaki lima.





Jumhur ulama’ daripada mazhab Maliki dan Syafie: Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum bunuh walau pun meninggalkan satu fardhu sahaja. Disuruh agar bertaubat selama tiga hari, jika enggan dijatuhkan hukuman hudud dengan dipenggal kepalanya. Selepas dibunuh, dimandikan dan disembahyangkan ke atasnya serta ditanam di tanah perkuburan orang Islam kerana dia tidak dikira kafir. Ini juga adalah pendapat yang rajih pada mazhab Hanbali sebagaimana dikatakan oleh Ibn Qudamah dalam Al-Mughni [Sila rujuk di sini]





Beratnya hukuman dunia ini. Sanggupkah kita? Ya Allah, ampunkan dosa-dosa kami

Kuiz Ramadhan 1430H/2009

Sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung blog ini, saya dengan besar hati menganjurkan KUIZ RAMADHAN 2009.





Kuiz ini terbuka kepada sesiapa saja yang melayari blog ini dengan syarat:

1- Semua soalan dibawah dijawab.
2- Anda mestilah mempunyai BLOG sendiri.
3- Alamat rumah mesti di Malaysia [untuk pengeposan hadiah].
4- Anda tak perlu bayar apa-apa, cuma doakan saya saja.
5- Semua penyertaan perlu nyatakan NAMA, NO K/P, EMEL, BLOG dan ALAMAT RUMAH [Pastikan maklumat tepat].
6- Keputusan muktamad dibuat oleh saya sendiri berdasarkan jawapan yang betul dan slogan terbaik.
7- Adik beradik dan sanak saudara dilarang sama sekali menyertai kuiz ini.




SOALAN KUIZ RAMADHAN 2009

1- Namakan TIGA peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan.

2- Nyatakan tarikh entri saya berkenaan Ramadhan dan hadis bakul emas.

3- Sila lengkapkan slogan berikut: RAMADHAN SANGAT PENTING DALAM HIDUP SAYA KERANA ... [Tidak lebih 120 patah perkataan]

HADIAH MISTERI akan diberikan kepada pemenang UTAMA sahaja. Hadiah akan diposkan ke rumah anda sebelum Aidilfitri menjelang.


Sila emelkan jawapan anda berserta butiran diri ke muhdsuhail.ahmad@gmail.com

TARIKH TUTUP: 10 September 2009 (supaya sempat poskan hadiah)

Baca quran terasa panas



Ada orang masuk Islam sebab nak kahwin.
Ada orang masuk Islam sebab nak maju dalam bisnes (agar dapat kerjasama dengan orang Islam).
Ada orang masuk Islam sebab politik (agar dapat sokongan kuat orang Islam).
Ada orang masuk Islam dengan macam-macam sebab.

"Kamu nak masuk Islam sebab apa?"

Dia terangkan pada aku, dia sedang mencari Tuhan. Jiwa tak tenang. Sudah jadi rutin hidupnya, membaca kitabullah. Bible diperkenalkan sebagai kitabullah juga. Maka, dibacanya selalu. Hari demi hari, bacaan semakin bertambah.

Makin dibaca, makin dia keliru. Dia mahu cari Allah. Dia kata kenapa ada Allah dan pecahannya. Yang mana harus disembah? Kenapa kisah-kisahnya mengelirukan?

"Jadi, kamu cari Islam? Kamu yakin dengan Islam?"

Dia jawab lagi. Katanya sudah berbulan-bulan dia membaca al-Quran pada setiap malam sejak dihadiahkan kepadanya oleh seorang kawan baiknya. Terjemahan al-Quran dalam Bahasa Mandarin.

Makin dibaca, makin dia tenang. Setiap kali membaca, ia membuka mata dan hati. Kalau dulu, dia selalu tidak tenteram, tapi kini terasa aman. Tidak lagi takut kepada apa yang bakal berlaku esok.

"Tapi saya mahu baca bahasa Arabnya. Saya pernah dengar alunan bacaannya yang sangat enak didengar"

Ish, semangat betul dia. Kalau kalian tengok bacaan terjemahannya itu, pasti kalian sendiri kalah. Sebabnya dalam tempoh 2 bulan, bacaannya telah menghampiri 3/4 al-Quran. Kini, dia ingin pula membaca dalam bahasa syurga.

Katanya lagi, kali pertama dia mendengar alunan bacaan al-Quran dalam format mp3, dia sangat takut. Rakaman mp3 itu dipasang dalam komputer ribanya di rumah sebelum dia tidur.

Dia menangis menahan sakit tak terperi. Panas dirasakan seluruh tubuh. Rasa diri terbakar, panas, semacam ada duri-duri di bawah lapisan kulit yang bergerak-gerak menusuk kulit dari dalam. Aduh, sakitnya!

Namun, dia tekad untuk terus mendengarnya kerana dia percaya masakan ayat-ayat ini tiada hebatannya kalau sudah jadi begini. Pasti ianya bukan ayat biasa. Setelah menahan sakit beberapa minit, dia akhirnya lemah.

Puas hatinya sebab selepas segala keperitan tadi dilalui, dia kini tenang. Hati kecilnya berbisik, aku perlu belajar membacanya. Lantas hasratnya itu disuarakan kepada aku saat aku juga dahagakan pencurahan tenaga dan ilmu buat generasi Muhammad kekasihNYA.

Arti hidup pada memberi dengan sebanyak-banyaknya, bukan menerima dengan sebanyak-banyaknya

Siapa kata kita celaka?



Memang inilah yang biasa terjadi. Perkara yang tak disukai berlaku. Akhirnya memberi kebaikan kepada kita. Bahkan kepuasan dan keseronokan.




"Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ianya amat baik untukmu, boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah SWT mengetahui sedang kamu tidak mengetahui" Al-Baqarah (2): 216



Bukan sekali tapi dah tak terkira rupanya. Hanya bila kebaikan itu datang barulah tersedar betapa pentingnya keburukan itu terjadi dahulu sebelumnya.

Ayat ini sangat memberikan ketenangan kepada sesiapa yang sedang dilanda malang. Hanya DIA yang tahu terbaik untuk kita.

Pada 9 Ogos, dalam entri 'Aku Putus Asa', aku terasa sangat ingin pulang ke Malaysia. Aku rasa sangatlah bosan dengan keadaan yang sedang aku alami sekembalinya aku dari Korea.

Siapa sangka ketiadaan elektrik pada waktu itu mempertemukan aku dengan seorang hambaNYA yang sedang mencari di mana DIA. Seorang yang berbangsa Cina aku perlukan untuk komunikasi lanjut dengan tuan rumah.

Sebagai membalas jasanya, aku belanja dia makan. Pada waktu inilah, hilangnya rasa bosan dan putus asa.

"Saya ingat saya mahu masuk Islam lah"
"Apa? Betul ke ni? Dah fikir masak-masak? Kenapa?"


Macam-macam soalan yang aku ajukan. Maka, helaian hidupnya disingkap satu persatu. Setiap helaian punya cerita dan watak menakjubkan. Dari satu helai ke satu helai.

Dia sendiri yang menceritakan apa yang terjadi kepada diri dia. Bermulalah satu episod yang tak pernah aku duga untuk berlaku di bumi manusia bertuhankan DUIT.

PETIKAN KISAH AKAN DATANG:
"Rasa diri terbakar, panas, semacam ada duri-duri di bawah lapisan kulit.."

Ketuklah hati perosak

Sudah lama aku tak ke pantai. Untuk nikmati indahnya ciptaan Maha Hebat. Sambil diri disapa bayu laut. Dan punggung dilabuh atas permaidani pasir.

"Mari kita ke pantai Busan, abang! Rehat-rehatkan minda," ujar sahabatku Kamil.

Yalah, alang-alang sudah dekat, aku turutkan saja. Kami tiba waktu matahari sudah beralih ke barat dunia. Dari jauh kedengaran desiran ombak. Angin bertiup nyaman tak berhenti. Alangkah seronoknya.

Pantai yang panjang dipenuhi pelbagai aktiviti. Para gitaris dan penyanyi mempersembahkan lagu-lagu di pentas luar hotel berdekatan mengiringi sang pemabuk menikmati air kencing syaitan.

Usai berkelah di pantai, kami terus melangkah ke kaki lima tempat ramai orang berkumpul. Nah, inilah aktiviti yang aku gemari. Tengok saja para pelukis handal ini.


Kata Kamil dia sanggup berjam-jam menatap karya mereka dihasilkan. Begitu juga aku. Dari baris depan ini sehingga ke hujung seolah ada ratingnya tersendiri. Makin hujung, makin kurang kemas.

Sedang asyik aku meneliti lukisan ini, aku terdengar bual bicara diselangi ketawa jahat di belakang. Siapa mereka?

Oh, kalian ingat lagi ke siapa mereka ini? Rupa-rupanya Kamil dan Afif sedang berbual dengan dua jantan perosak. Mujur aku tak tahu berbahasa Korea. Jika tak, makin teruk hilai tawanya nanti.

Mereka dari tadi sibuk usha awek Korea. Dalam masa sama, mereka sebenarnya mencari pelanggan untuk sewa motel. Dan motel itu menyediakan awek pelepas nafsu.

Mereka cuba menarik kami yang kebetulan mencari motel. Banyak betul bicara lucah. Tak apalah, dah kerja dia.


"Perempuan Korea senang je dapat. Cakap manja, belanja sikit sudah boleh tidur dengan dia"
"Mana boleh.."
"Tak percaya, aku boleh carikan satu untuk kau"
"Tak payahlah. Aku orang Islam"

"Oh, Islam. Kenapa?"
"Orang Islam tak boleh tidur dengan perempuan melainkan isteri dia"
"Oh, Allah marah ya.. Quran.."

Wah, dalam jahat-jahat dia pun, dia ada ilm tentang apa itu Islam. Dia tahu sebut Allah dan Quran. Itu amat mengejutkan. Di sini kan kebanyakannya free-thinker atau aku namakan dollar-seeker (sebab hidupnya hanya cari duit).

Dia cakap yang kami sekarang di Korea, bukan Malaysia. Tiada masalah kalau nak meniduri Si Penyundal. Kami pun kata, Allah ada di mana-mana.

Terkedu dia seketika. Mungkin itu boleh mengetuk pintu hati dan fikirannya untuk meneliti kehidupan sebenar.

Aku cakap nak tangkap gambar buat kenangan. Mereka setuju dan pelawa untuk kami minum Coke. Sahabat-sahabatku lain menolak sedang aku menerima.

Bukan apa, aku ingin berbicara lanjut dengan mereka. Mahu tahu dunia mereka. Dan mahu selitkan dunia DIA. Tapi sahabat-sahabatku lebih arif barangkali.

"Biasanya mereka akan minum dan mabuk. Nanti jadi macam-macam," pesan Afif.

Benar kata dia. Di sini air kencing itu sudah menjadikan mulut orang Korea hancing. Untung besar syarikat syaitan. Tapi aku kata, kita perlu berkeras dalam lembut agar apa yang ditakutkan tadi tak terjadi.

Apapun, Kamil dan Afif mungkin lebih mengetahui selok belok kehidupan di Korea. Pasti ada hikmah di sebaliknya..

p/s: Aku tetap rasa rugi sebab susah nak dapat peluang macam ini




Melukis watak pejuang


Sudah lama hobi waktu aku kecil-kecil tak diteruskan. Entah kenapa hari ini jari jemari rajin pula melakar watak di atas. Aku capai kertas kotor depan mata dan terus saja aku lukiskan watak ini. Siapa dia ini? Hanya aku saja yang tahu.

Melukis selalu membuatkan aku rasa senang. Dulu-dulu waktu kecil, ibulah penyokong utama aku untuk terus melukis. Aku masih ingat, ibu sanggup tunggu aku habis melukis dan mewarna selama lebih sejam dalam pertandingan melukis sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan.

Sekarang sambutan itu akan dibuat lagi di Melaka. Aku terdengar berita RTM pagi tadi. Aku percaya atas berkat sokongan ibu, ia mengajar aku erti kesabaran. Nak melukis perlukan kesabaran. Bukan seminit dua lukisan dapat dihasilkan.

Tapi, aku tahu lukisan aku belum cukup sempurna. Aku selalu tak puas hati dengan lukisan aku. Mujur ada ibu yang memuji. Buat aku rasa senang. Walau setiap kali menatap hasil karya aku, terasa macam nak buat lain.

Kali ini, aku mencuba pula dengan kemahiran Photoshop yang aku terokai sendiri. Tambahkan sedikit warna dan kesan khas, aku sedikit puas.

(Sila baca lagi untuk melihat hasilnya)



Inilah watak seorang politikus. Dia amat tabah dan cekal memperjuangkan bangsa Melayunya. Namun, dia tak pernah meludah kepada bangsa lain.

Cuma harapannya agar Melayu lebih kuat mengharung zaman. Melayu yang kuat agamanya. Melayu yang tinggi adab sopannya.Melayu yang selamat dari penjajahan luar.

Tapi sayang, dia sudah mati.

Adat kayu berdiri tegak
Tegak berdiri besar bertambah
Adat Melayu bersendi syarak
Syarak bersendi ke Kitabullah

Pahat mana yang kita pegang
Pahat besi bergagang kayu kayu
Adat mana yang kita pegang
Adat jati orang Melayu

Urat mana yang kita cencang
Urat kayu di tengah laman
Adat mana yang kita pegang
Adat Melayu zaman berzaman

Aku putus asa

Sebaik saja aku balik Guangzhou, aku rasa putus asa. Mungkin juga disebabkan terbiasa bersama rakan-rakan di Korea. Aku rindukan masa-masa bersama teman-teman seperjuangan.

Bila bersama teman-teman, terasa seronok sangat. Dapat berbincang, berbual hal serius dan santai, dapat bergurau senda, dapat terus bersemangat.

"Eh, elektrik takde ke?" aku bercakap sendiri.

Baru aku berangan nak rehat secukupnya sekembalinya aku dari Korea. Nak malaskan diri atas tilam empuk. Tapi apakan daya, tenaga elektrik tak ada. Dihentikan pembekal tenaga kerana penyewa lalu tak membayarnya.

Bahang. Itulah rasa yang kurang selesa sebaik tiba di Guangzhou. Duduk dalam rumah walau 5 minit cukup membuatkan diri basah berpeluh.

Sudahlah aku seorang. Sendiri. Tiada lagi teman-teman. Tambah pula keadaan rumah begini, aku jadi putus asa. Esoknya aku perlu jumpa tuan rumah. Tapi susah aku nak terangkan perkara-perkara yang aku tak belajar perkataannya. Tuan rumah hanya tahu berbahasa Cina.

Aduh, dugaan betul. Entah kenapa tiba-tiba terasa nak balik Malaysia. Rasa malas sangat. Terpaksa aku menumpang tidur di rumah orang. Aku bingung. Marah kepada diri sendiri.



Jangan kutuk lebih-lebih

Dah memang aku agak akan jadi begini. Di mana kebebasan? Huh, semua orang nak bicara pasal kebebasan.

 

Memang aku akui kebebasan itu menyenangkan. Dengan adanya kebebasan, aku bebas berkarya.

 

Tapi aku juga yakin tidak wujud kebebasan mutlak dalam hidup. Hendak dimarah pun tak guna.

 

Di China, aku pasti ramai yang maki hamun dan membenci pemerintah yang menyekat kebebasan berkarya melalui blog.

 

Ada sebab China buat begini. China tak seteruk yang korang sangka. Ala.. mudah saja analoginya.

 

Aku ada seorang anak. Anak itu nakal betul. Dia jadi nakal sebab dia sekolah di SMPKJH. Dia tak nakal, tapi budak lain ajar dia jadi nakal. Maka, aku akan halang dia sekolah di situ. Aku pindahkan dia.

 

Begitulah tindakan China. Ada orang buat blog untuk bangkitkan sentimen. Korang pun tahu kan, rakyat China ada 1,338,612,968 (setakat Julai 2009). Bukan mudah untuk tadbir negara terbesar ini.

 

Tengok saja demo anti-ISA baru-baru ini, berapa ramai polis yang terpaksa dikerahkan untuk kawal keadaan? Itu baru sikit. Bagaimana kalau di China?

 

Bagi aku, ada kewajarannya kerajaan China bertindak demikian walaupun mereka sendiri tak mengakui sekatan dibuat.

 

Inilah tindakan terbaik dalam mentadbir rakyat yang rata-rata bersikap kasar dan keras (Mungkin kerana bertuhankan DUIT).

 

Sepertimana pendekatan Wahabi yang lebih sesuai untuk masyarakat Arab yang kasar dan keras.

 

Kita orang Melayu. Perubahan perlu berperingkat. Kita lemah lembut. Cakap kena halus.

 

Maka, aku telah jumpa 'sekolah' lain untuk aku kemaskini blog-yang-tak-membakar-sentimen ini.

Kenangan terakhir di Korea

IMG_8139
Aku bergambar di dalam gerabak yang menyediakan cafe dan hiburan santai.

IMG_8135
Hanya dengan memasukkan koin 500 won (RM1.50), anda boleh melayari internet selama 15 minit dalam gerabak ini.

IMG_8133
Bukan itu saja. Kami mencuba bermain game arked. 500 won untuk 8 minit. Teringat zaman sekolah dulu bila keluar outing. Hehe.

IMG_8137
Cafe kecil kan? Tapi sangat ceria. Seronok bila berada dalam gerabak ini. Terasa seperti dalam bangunan premis biasa.

IMG_8136
Tak cukup dengan itu. Bagi sesiapa yang badannya terasa lenguh-lenguh, bolehlah mencuba kerusi urut yang disediakan. Kena bayar juga tapi tak sempat aku bertanya harganya.

IMG_8144
Mujurlah bilik karaoke ini tak menyediakan lagu-lagu Melayu. Jika tidak, teringin rasanya cuba berkaraoke dalam keretapi. Kalau di Malaysia, tak mungkin dapat pengalaman ini.

IMG_8296
Sudahlah tu, jangan ternganga luas sangat. Kami dah sampai pun Masjid Busan. Busan adalah bandar kedua terbesar di Korea Selatan. Di sini kami dapat berjumpa dengan Imam Yasser yang berbangsa Korea. Di sebelahnya terdapat restoran Turki. Di tingkat bawah, terdapat kedai runcit milik pekerja Indonesia yang menjadi bilal di sini.

IMG_8198
Pekerja Indonesia di sini ada pejabatnya sendiri. Mereka bina perpustakaan dan koperasi untuk kepentingan masyarakat Indonesia. Masjid ini sudah menjadi umpama rumah mereka.

IMG_8171
Setelah menunaikan solat jamak, kami ditegur oleh dua warga Turki. Mereka adalah jurutera dan pensyarah yang datang untuk wisata. Namun, mereka tak lupa menghadiahkan kami buku-buku dari Siri Koleksi Risalah an-Nur karangan Syed Nursi, ulama terkemuka Turki. Kagum aku dengan mereka yang membawa banyak bekalan ilmu untuk dihadiahkan.


IMG_8235
IMG_8236
Ini lagi membuatkan aku terkesima. Bank bergerak. Tengok tu, korang ternganga lagi. Haha. Bukan saja ada ATM, kaunter urusan bank pun ada.

IMG_8232
Tengok ini. Internet boleh dilayari secara percuma di Hyundae, Busan. Aku yang gila online ini pantang tengok perkara begini.


IMG_8305
Sebelum pulang, aku sempat bergambar di perkarangan masjid yang berlatarkan dinding yang dilukis dengan pemandangan padang pasir.

IMG_8310
Kami tiba di Seoul pada waktu Subuh. Tidak seperti di China, aku bebas menunaikan solat di kaki lima bangunan berhampiran stesen keretapi Seoul.

IMG_8292
Tengok tu, latar dinding pada stesen Jihachol (subway). Indah bukan? Aku banyak terpegun dengan hasil-hasil seni di sini tapi tak dapat dikongsikan semuanya. Maaf.

IMG_8333
Ramai orang di Namdaemun. Maklumlah ini tempat jualan barangan cenderahati, fabrik, selimut, kerongsang dan macam-macam lagi.

IMG_8330
Aku pun ikut saja Kamil bawa ke tempat kerongsang. Kata orang kerongsang Korea memang digemari masyarakat Malaysia. Aku manalah tahu. Ikutlah..

IMG_8329
IMG_8323
Berpinar mata aku tengok kerongsang yang cantik-cantik ini. Tengok saja, belinya tak. Hakim belilah sebab ada orang pesan.

IMG_8318
Kedainya banyak. Kecil-kecil saja setiap satu kedai. Mahu termuntah dibuatnya nak mencari mana satu yang berkenan.

Siapa mahu pesan kerongsang? Kalau mahu, aku boleh uruskan sebab aku sudah ada kaki. Betul ni, bukan main-main. Tapi janganlah pesan sebutir dua saja. Paling kurang 40 butir lah. Dalam tempoh 3 hari akan sampai ke rumah anda. Amacam? Emel saja ke muhdsuhail.ahmad@gmail.com kalau berminat.

Sampai bertemu kembali di China. Paparan entri yang diemel dari China nanti takkan sekemas ini. Esok jam 2 petang, aku akan kembali ke China. Kekerapan kemaskini bergantung kepada limitasi akses internet di sana.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...