header-photo

Islam itu kuat atau lemah?

Ruangan solat di sini tak cukup untuk ratusan jemaah yang rata-rata berbangsa Arab. Kebanyakan mereka adalah peniaga. Waktu inilah aku terasa cukup kuat umat Islam. Hendak berbual dengan mereka agak sukar sebab semuanya mengejar masa. Aku pun sama.

Namun, kalau dapat bertemu dengan Muslim berbangsa Cina, mereka nampak berbeza daripada orang Cina yang biasa ditemui di jalanan. Mereka nampak lebih kemas dan bersih. Apatah lagi jika mereka berperwatakan mengikut sunnah (menutup kepala dan membela janggut).

Malangnya sebahagian Muslim Cina memberi impak negatif kepada umum. Mereka dikenali sebagai seorang yang selekeh dan suka meminta-minta. Sewaktu menyusuri laluan keluar, aku disapa. Adakala ditarik lengan bajuku. Ramai pengemis meminta sedekah.

Ayat lazim bagi menarik perhatian dan simpati:

'Assalamualaikum.. ana Muslim'
'Bismillahir rahmanir rahim'
'Ana imam masjid.. Assalamualaikum'

Mereka semuanya berkopiah. Tapi mereka tak menunaikan solat Jumaat bersama. Imej ini nampak sinonim dengan Islam. Di Masjid Abi Waqqas pun begini. Di pinggir jalan pun begini.

Sebaik tiba di perkarangan luar masjid, lalulintas sangat sesak. Penjaja-penjaja kecil berniaga di kaki-kaki lima. Semuanya makanan halal. Di situ juga ada restoran dan kedai runcit Muslim.

Kalian nampak kan tulisan 'Halal' itu? Itulah kedai runcit. Ada barangan Malaysia. Tempat orang berkerumun tu pula, mereka sedang membeli kebab daging ala Arab (makanan Muslim Xinjiang).

Jaga-jaga dengan basikal. Mereka menunggang basikal sederas motosikal. Tapi mereka cekap. Jarang kelihatan mereka melanggar dan dilanggar. Di bawah payung itu, ada penjaja ayam panggang dan kuih muih.

Bagi mereka yang inginkan bekalan mentah daging kambing, waktu inilah peluang membeli. Jadi, bolehlah memasak sendiri mengikut citarasa kampung halaman.

Wanita berbaju hitam ini mungkin berasal dari Xinjiang juga. Bicaranya lain. Aku hanya dapat faham katanya yang ini = yi jin shi er kuai ( 1 jin = 500 gram). 500 gram 12 kuai (yuan disebut kuai dalam bahasa percakapan iaitu mata wang ringgit mereka). Sekadar bertanya, belum mahu mencuba.

Di sini Islam tampak lemah disebabkan fenomena mengemis. Kekuatan mereka masih terselindung.

Oh Sayang..

Sebagai warga Malaysia, aku sayangkan Malaysia. Di mana pun aku berada, pasti aku mencari berita berkenaan Malaysia.

Jadi, aku biasanya buka laman-laman web berikut:

1) Berita Harian
2) TV3
3) Tvantara
4) Blog Che Det
5) Blog DSAI

Aku bimbang dengan masa depan negara. Banyak kisah-kisah berikut:

  1. Rasuah membabitkan pemimpin-pemimpin kita.
  2. Media cetak bersifat pembangkang disekat (Harakah dan Suara KeADILan).
  3. Media elektronik juga disekat (Malaysiakini, Malaysiainsider, Siasah, Merdeka Review)
  4. Pilihanraya kecil di beberapa negeri akan berlangsung.
  5. Penarikan diri hakim mendengar kes Zamry dan Sivakumar.[dan banyak lagi...]



Sejak aku terlibat dalam politik kampus, aku sikit sebanyak faham dengan permainan politik kepartian. Antara konsep yang perlu difahami ialah:

  1. Kalau A dakwa B koyakkan poster atau rosakkan banner A, ia mungkin benar dan mungkin A sendiri yang buat [Teknik: Politik Simpati]
  2. Kalau A mengata tanpa bukti tentang B, ia mungkin sedang mengatakan tentang dirinya [Teknik: Penyamaran]
  3. Kalau A bercakap tanpa bertindak, ia sengaja mengaburi mata penyokong [Teknik: Mulut manis]
  4. Kalau A suruh jangan percaya B, janganlah kita juga percaya A 100% tanpa beri peluang B bercakap [Teknik: Tuding Jari]
  5. Kalau A atau B sangat membara berbicara, ia mungkin kerana sengaja ingin bakar semangat. Jadi ia mungkin ada banyak kuah daripada lauk [Teknik: Retorik]


Semua yang aku gariskan bukan berpandukan kepada buku tapi pengalaman. Ia bukan untuk politik kepartian semata-mata, ia juga berlaku dalam politik hidup seharian.

Fikir-fikirkanlah..aku masih berharap pada UMNO

Saat kita terjatuh


Sungguh. Tak semudah yang disangka. Saat kita sendirian, adakala kita terjatuh. Dan kala itu andai ada tangan yang menghulur untuk membantu aku bangun, aku pasti gagah berdiri.

Hari ini aku gagah berdiri setelah membaca emel daripada Madam Humaiyah. Kemudian daripada ibu angkatku di Pulau Kokos.

Aku pun aktifkan YM. Kala itu, aku menyapa dan disapa. Terima kasih tunangku, Abang Ryzal, Rashdan, Arin, dan Atiqah (bersamanya ibu, ayah, mamida dan pak haq).

Tangan-tangan ini menarikku berdiri. Lumrah yang harus aku lalui untuk sekian lamanya. Aku akan terus berdiri, berjalan dan berlari. Tapi aku tahu, aku pasti jatuh lagi.

TERKINI: METAFORA SANGAT KE MAKSUD 'TERJATUH' NI? TAK FAHAM? (24.3.2009)

Jom makan

Inilah nasi yang pernah aku makan di sini. Semuanya dalam lingkungan harga 8 元 - 12 元 (RM 5 - RM 7). Pertama kali makan,memang terkejut. Sebabnya satu pinggan nasi macam untuk 2 orang makan. Tapi lama-kelamaan sudah biasa makan sampai licin pinggan.



Makan nasi pun guna chopstick tau. Mula-mula dulu berterabur nasi atas meja. Nasi kan berderai, jadi yang sempat masuk mulut sikit saja. Lama-lama lepas itu insiden tu tak terjadi lagi.



Tapi kan, aku mula perasan cara makan aku sudah agak gelojoh. Pernah tengok kan cina makan macam mana. Kalau makan nasi berlauk, lagilah nampak gelojoh. Tangan bersilang-silang menerkam lauk. Terus masukkan dalam mulut. Diikuti nasi.Walaupun begitu, aku masih menduduki tempat terakhir menghabiskan makanan. Mmm..



Yang bawah ini mee 拉面 (la mian), mee buatan tangan. Memang sedap. Tak sama macam mee kuning kita. Bila kita pesan, baru dia buat. Dia uli. Lepas tu, dia leraikan guna jari. Menarik tengok.



Makanan kat bawah ni pula, aku rasa mereka buat sendiri juga lah (tak pasti sebab tak dpt tgk dapur dia). Sebabnya kuetiaw pun guna tepung sama buat la mian. Mereka suka makanan segar. Jadi, aku rasa sama juga kot.




Restoran muslim di Guangzhou


Ramai rakyat Malaysia ke Guangzhou berbekalkan makanan halal dari Malaysia. Biasanya pasti ada yang bawa maggie, roti, serunding, sardin, dan macam-macam lagi makanan segera.

Sebab apa jadi begini? Macam Epyn la, dia dapat informasi salah. Atau orang yang beritahu dia itu tak ada orang perhubungan di China. Jadi, dia tak tahu betapa mudahnya mencari makanan halal di sini.

Setakat ini, aku masih dapat mengenyangkan perut dengan masakan halal lagi sedap di restoran-restoran Muslim sekitar Guangzhou. Bagi yang ingin memasak sendiri di hotel tempat dia menginap, boleh juga membeli daging-daging halal. Ada juga kedai runcit yang sarat dengan pelbagai bahan mentah halal (antaranya diimport dari Malaysia).

Mudah saja nak kenal restoran Muslim. Kebiasaannya pasti tertera tulisan Arab pada papan tanda restoran. Para pelayan juga berkopiah dan bertudung. Cuma tempatnya saja yang kemungkinan tersembunyi. Maka, orang-orang seperti kami sangat penting untuk dihubungi supaya dapat ke restoran-restoran ini.


Tak tahu baca hanzi (karakter tulisan) Mandarin? Tak menjadi masalah. Semua restoran yang dibuka pasti menyediakan menu bergambar (sekali dengan harga). Jadi, pilihlah apa yang menambat hati anda.

Bagaimana nak pesan? Tak susah. Anda tunjukkan saja gambar dalam menu dan jari untuk bilangan. Air teh cina pasti disediakan secara percuma. Senang kan?


Jadi, jangan risaulah untuk mendapatkan makanan halal di sini. Nanti aku tunjukkan gambar lain pula. Korang pasti tak percaya aku boleh habiskan sepinggan nasi di sini. Tunggu..

Talian terputus



Banyak perkara yang hendak diceritakan tapi talian terputus.
Berkali-kali aku cuba, talian tetap terputus.
Maaf ya sebab korang tak dapat tahu perkembangan terkini.

Di atas ni gambar terakhir aku di musim sejuk.
(Di perkarangan taman dalam universiti)
Minggu lepas, suhu sekitar 8 -15 darjah Celcius.
Adakala hujan turun sama.
Makin sejuklah aku.

Sekarang semuanya kembali normal seperti keadaan di Malaysia.
Tentang makanan... sedap. Banyak.
Nak tahu? Tunggulah entri terkini.
Nak pergi kelas dah ni..

再见 (zaijian)



Maulidur Rasul di Guangzhou


Inilah keluarga angkat kami, para pelajar Melayu Malaysia. En Din dan Kak Ti bersama-sama anak-anaknya serta Uncle Man sudah menjadi seperti keluarga kami sendiri.






Sempena Maulidur Rasul, sambutan dengan bacaan selawat dan ceramah daripada Ustaz Mohamad telah diadakan di rumah En Din menjelang masuknya 12 Rabiul Awwal 1430H. Semua warga konsulat Malaysia hadir meraikan sambutan ini. Lebih bertuah, Consulate General juga turut serta.


Kami diperingatkan betapa kecintaan kita kepada Nabi Junjungan sangat penting. Kehidupan yang menyerupai cara hidup Nabi pasti membawa kita lebih hampir kepada Allah.

Kisah berkenaan syafaat Rasulullah disampaikan ustaz. Satu hadis panjang berkenaan 'perkenan' Nabi kepada kita dalam membantu kita masuk ke syurga dikupas dengan menarik. Kisah yang kali pertama aku dengar.

Siapa sangka di bumi asing kita juga bisa beroleh hidayah walaupun dalam kesempitan sumber dan limpahan nikmat yang boleh menyebabkan kita menyimpang jauh dari jalan DIA. Yang penting kita berusaha, pasti kita dapat.


Sesudah selesai acara, hidangan masakan Melayu disediakan. Bukan mudah nak dapat makan masakan Melayu di sini. Terasa bagaikan hari raya pula. Seronok dapat berbual dengan warga Malaysia lain.

Solat jangan tinggal

Sedang menunaikan solat Asar di atas katil

Minggu lalu kami singgah di satu restoran Muslim di Chan Xilu. Makanannya enak. Sempat juga aku rakamkan pembuatan La Mian (mee buatan tangan) tapi lain kali baru aku kongsikan gambarnya.

Sebab kali ini aku nak cerita pasal pengalaman menunaikan solat. Sangat susah untuk dapatkan tempat yang bersih di kawasan umum. Apatah lagi untuk mendapatkan air untuk berwudhu'.

Kebiasaannya kami akan singgah di masjid. Kalau tak, kami singgah di restoran Muslim kerana kebiasaan mereka ada ruang untuk bersolat.

Gambar di atas ialah tempat di mana kami dibawa peniaga restoran Muslim untuk menunaikan solat. Itu ialah rumahnya. Hanya itulah keluasan biliknya.

Laluan tangga yang curam menuju ke rumah peniaga restoran




Peniaga restoran yang menumpangkan kami solat Asar di rumahnya


Inilah peniaga tersebut. Kami bercakap macam ayam dengan itik walaupun salah seorang kami sudah boleh berbicara Mandarin. Sebabnya peniaga ini berasal dari Hunnan, logghatnya berbeza. Bahasa isyarat penyelamat kami. Maaf ya, namanya pun tak dapat diketahui.

Agak gayat juga menuruni tangga

Kami dibawa menuju ke rumahnya selepas menikmati juadah enak masakan Cina. Kami terpaksa melalui lorong-lorong sempit dan gelap. Kemudian menaiki tangga yang curam. Tiga tingkat kami naik. Di situ juga laluan anjing. Bau hancing biasa dihidu di kawasan begini.

Kami tanya berapa sewa rumahnya, dikhabarkan Y800 (RM400) sebulan. Wah, sangatlah kecil ruang yang ada. Di situlah tidur, baring, makan, minum, solat dan sebagainya.

Memang begitulah susahnya hidup kebanyakan orang Islam di sini. Soal kebersihan agak kurang diendahkan. Mungkin kerana kesibukan mencari sumber ekonomi bagi menampung keluarga.

Kesusahan orang Islam tampak jelas apabila kebanyakan pengemis mengenakan kopiah. Bila kita lewatinya, dia akan beri salam.Kami rasa kurang selesa dengan fenomena ini.Mungkin akan aku ceritakan nanti.

Laluan masuk yang sempit dan gelap menuju ke arah rumahnya



Ada apa pada nama?




苏海

Inilah nama cina aku: SU HAI. Mujur tak jauh beza dari yang asal. SU adalah surname yang biasa bagi orang cina. HAI pula membawa maksud lautan yang terbentang luas.

苏哈
Sebelum itu aku diberi nama SU HA. Karakter hurufnya berbeza dan ia tidak bermaksud. Atas nasihat kawan, aku minta cikgu berikan nama yang memberi maksud baik.

Nama itu penting. Makna yang baik bisa mempengaruhi kita. Maka, lautan yang luas itu aku harapkan membawa maksud ilmu dan pengalaman yang banyak agar hidup ini dapat membawa aku kepadaNYA.

Baru-baru ini aku dan rakan-rakan Melayu lain mengadakan usrah. Kami bertaaruf (berkenalan) dan memperbaharui niat kedatangan masing-masing. Aku sangat bersyukur kerana tanpa diduga semua yang bersama aku ialah kelompok yang faham dakwah.

HPA menghantar lima pekerjanya ke sini menguasai Bahasa Mandarin selama 5 tahun demi mengembangkan potensi dakwah melalui ekonomi. Dua pelajar KIAS (Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail) yang belajar di sini pun dari jurusan dakwah.Lain-lain individu juga dari latarbelakang agama yang baik.

Usaha dakwah dapat dijana dengan kerjasama daripada semua. Untuk informasi, aku sudah mencadangkan kami semua untuk mengadakan program dakwah di Pulau Ketam, Klang pada bulan Julai 2009. Jika semua turut serta, hampir 10 orang boleh bercakap Mandarin untuk beramal dengan masyarakat Cina di sana yang terpinggir.

Kepada warga USM Kubang Kerian, marilah sama-sama kita gembeling tenaga untuk berpadu menyebarkan dakwah. Mohon sesiapa yang berkenaan sila berhubung melalui emel muhdsuhail@gmail.com untuk kita rencanakan aktiviti di sana nanti.

Moga aku dapat ilmu dan pengalaman bertambah-tambah di sini..Ameen


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...