header-photo

Ragam Mengajar Si Buta



Anda masih ingat watak Cikgu Ros dalam Pendekar Bujang Lapok? Begitulah umpamanya aku di sini. Mengajar orang-orang tua perlukan kesabaran yang tinggi. Kerana terpenting ialah adab dengan orang tua.

Memang lidah mereka ini liat. Sesekali aku berkeras. Supaya fikiran dan ingatan menjadi tajam dan kuat. Bila tergeliat lidah tu, pasti ramai yang ketawa. Ada juga persis Pak Abu, anak murid Cikgu Ros yang suka ketawakan bujang-bujang lapok tu.


Aku cukup puas hati apabila kebanyakan mereka sudah masuk Iqra' sekurang-kurangnya di permulaan buku dua. Asalnya mereka semua buta huruf. Alhamdulillah, berkat doa kalian juga.

Tengok saja klip video aku dengan Mak Adam ni. Lain dieja, lain disebut. Memang susah mengajar mereka tapi bila melihat kesungguhan mereka, tak tergamak rasanya membiarkan mereka kekal buta huruf.

Mereka menghafal apa yang diwariskan. Berdasarkan bunyi. Yang mewariskan pun sebutan tak betul, masakan boleh betul pewarisnya.

Aku seronok buat kerja begini. Barangkali ada yang terfikir mestilah seronok berjalan-jalan. Tak. Bukan begitu.


Seronoknya ialah bila kita jumpa orang yang benar-benar ingin dalami agama dan kita yang ada sedikit kelebihan dan kebolehan dapat membantu mereka. Bantuan ini sangat berharga bagi mereka.

Bayangkanlah. Aku kini berada di syurga ikan. Piala apapun dalam arena sukan tak dihiraukan masyarakat sini. Saban hari kisah memancing. Kisah laut. Kisah bot. Kisah pantai.

Tapi selama sebulan aku di sini, baru sekali aku memancing [baca=menjaring]. Kalaulah untuk jalan-jalan, aku pasti habiskan masa memancing dan berenang.

Di Malaysia, sudah ramai yang buat kerja sama macam aku. Jadi, apa salahnya aku buat di luar. Dan hakikatnya di luar ini, tak ramai yang sanggup membantu. Aku tiada duit nak bantu. Dapat pergi bila ditaja. Hanya kudrat dan ilmu yang ada dapat dicurahkan.

Bukan semata-mata kerana berjalan jauh menjadikan pemusafiran ini menarik dan seronok. Tetapi pengorbanan kecil yang kita curahkan memberi seribu makna buat orang yang sangat mendambakan bantuan kita.

Juga pastinya kerana jauhnya diri ini dari fikiran yang kusut. Hati yang sakit. Kepala yang buntu. Sesekali begini, lega rasanya. Namun, bakti di bumi sendiri masih perlu.

Mungkin sedikit masa lagi akan aku fahami mengapa sebahagian besar sahabat Rasulullah dimakamkan di luar tanah Arab.

Siapa nak azam keluar setahun, bagi nama ya!

Cubalah Makan Mengkudu


Ada sekali tu, aku rasa tak sedap badan. Malamnya ada bacaan Yasin dan tahlil. Aku minta izin untuk berehat di rumah. Rasa nak demam. Tapi belum.

Bila aku berehat, aku fikir balik apa sebab jadi begini. Mungkin perubahan suhu agaknya. Di luar rumah panas terik (mujur ada angin). Tapi dalam bilik ada penghawa dingin. Sejuk.. Disebabkan kekerapan keluar masuk begini kot.

Atau disebabkan aku makan mengkudu. Badan terperanjat agaknya. Nek Adam, datuk kepada Azrin suruh aku cuba makan jeruk mengkudu. Di sini, kebanyakan orang-orang tua menjadikannya makanan kegemaran.



Eh, bukan saja yang dijerukkan. Yang mentah pun dimakan begitu saja bila ia sudah matang. Baunya memang aku tak tahan. Apatah lagi nak makan. Cuma, jenis aku kalau dipelawa tak menolak. Tambah pula kita ni tetamu, tak boleh banyak songeh.

Sebut pasal makanan, macam-macam makanan ada di sini. Aku takkan ceritakan semuanya kali ini. Dalam entri-entri akan datang aku akan ceritakan sikit demi sikit.

Di pulau, kita sedia maklum pokok yang paling banyak mestilah pokok kelapa. Jadi, apa saja yang ada pada pokok kelapa tu dimanfaatkan. Orang-orang tua kita dulu pun begitu.


Cuma makanan yang berasaskan kelapa di sini tak pernah aku rasa di Malaysia. Contohnya kolak kelapa. Ianya dicampurkan dengan tepung sagu dan kacang. Kita tuangkan santan sikit bila nak makan. Enak dimakan panas-panas suam.


Satu lagi namanya rojak say. Ianya bukan rojak yang kita faham. Ia adalah isi kelapa bersama air kelapa yang dicampur sirap dan dibekukan. Kemudian, barulah dikikis untuk dimakan. Lebih elok dibiarkan aisnya cair sikit sebelum makan.


Ini pula kelepon. Macam onde-onde kita. Dalamnya ada gula. Cuma tepungnya tak sekenyal onde-onde. Lebihan tepung pula dibuat menjadi kelepon panjang tanpa gula di dalamnya. Selalu saja mereka bergurau. Mereka panggil kelepon panjang ni, kontol bebek.


Setakat 4 minggu aku di sini, hanya jeruk mengkudu saja yang aku tak berselera nak makan. Yang lain semuanya enak belaka. Kalau dihitung, sehari aku makan 6 kali.

Makan berat 3 kali saja. Yang lainnya hanya pai, mee sup, kentang goreng, sosej, epok-epok dan seumpamanya. Tapi saiz kuih muih mereka besar. Makan satu pun boleh kenyang.

"Weh, nampak gaya Suhail balik pakai kain ni.."
"Eh, tak lah.."

"Tu, celana pun dah ketat"
"Mmm.."


AKAN DATANG: Ragam Mengajar Si Buta

Terima kasih Allah

Terima kasih Ya Allah. Aku tahu banyak dosa yang aku lakukan terhadap Kau. Tapi Kau masih mengasihiku. Maafkan aku.

Ya Allah berkali-kali telah aku langgar perintahMu. Tapi Kau masih tetap menyayangiku.
Betapa rahimnya Kau kepadaku. Ampunkan aku.

Kerap juga aku melupakan Kau Ya Rabbi. Tapi Kau tak pernah melupakanku. Kau berikan aku makan. Kau berikan aku sihat. Terima kasih Ya Allah.



Ya Allah, kehidupan yang aku lalui banyak menempuh kejayaan dan menggirangkan hati orang sekelilingku. Dalam banyak-banyak pemberianMu, ada juga Kau selitkan dugaan yang tak aku ceritakan pada ramai.

Sebelum aku ke Pulau Kokos, aku buat carian namaku di internet. Ternyata namaku tertera dalam satu saman Mahkamah Tinggi oleh Majlis Peguam. Aku akan didakwa pada bulan November 2008 atas kesalahan tidak memperbaharui Sijil Amalan Guaman.

Gara-gara salah faham dengan pihak pentadbiran HSK, aku bakal didenda ribuan ringgit. Ini memang membimbangkan aku. Berkali-kali aku kirimkan surat kepada Majlis Peguam menerangkan situasi aku berdakwah ini.


Aku juga diduga dengan kekurangan dana untuk Projek China. Kalian pun tahu sebelum itu aku kehilangan pasport. Pada minggu lepas, ayah beritahu ada seorang YB Selangor nak beri sumbangan.

Aku kehairanan sebab aku tak kenal YB perempuan tu. Aku pun tak hantar surat sponsor kepadanya. Ayah berikan nombor telefon keluarga angkat aku di Cocos untuk dia hubungi aku. Dia cuba telefon tapi tak dapat, dia kata dia call seorang ahli GPTD (perempuan).

Aku telefon GPTD dapatkan maklumat tentang YB ini. Tak siapa tahu. Hah, melepaslah nampaknya. Ayah ibu pun tak sempat dapatkan namanya. Tambah pula, call register dalam telefon ibu dah dipadamkan.
----

Ya Allah, hari ini kau telah bantu aku lagi. Pertolongan yang tak aku sangka-sangka Ya Allah. Aku cuba menahan airmata ini daripada menitis. Tapi aku tak berdaya menolak rasa bersalah kepada Allah atas pemberianNya kali ini.

Ayah telefon tadi. Ayah beritahu dapat surat daripada Majlis Peguam. Aku jadi risau dan takut. Aku fikir pastinya aku didenda ribuan ringgit sebab selama setahun aku tak praktis. Ayah bacakan setiap ayat dalam surat.

"We have decided to withdraw the complaint against you"

Alhamdulillah, Ya Allah. Aku tak tahu nak ucapkan bagaimana lagi. Aku perlu menjadi lebih baik. Itu pasti. Aku tak boleh menderhakaiNya lagi.

"Ada lagi ini, Suhail"
"Apa dia, ayah?"

"Semalam YB tu telefon, dia kata dia akan keluarkan cek"

Alhamdulillah. Berkali-kali aku menyebutnya. Mana mungkin airmataku dibendung lagi. Sudahlah aku tak mengenali YB itu. Dan entah dari mana tiba-tiba seolah-olah dia tahu yang aku sangat perlukan dana.

Dia hubungi ayahku dan menyatakan butiran dirinya. Dan dia akan keluarkan surat menyatakan sumbangannya untuk Projek China.

---

Memang benar kata musyrif aku. Jika niat kita ikhlas untuk Allah, Dia akan bantu kesulitan yang kita hadapi dari jalan-jalan yang tak kita sangka.

Sengaja aku kongsikan perasaan aku ini agar kita kembali yakin bahawa setiap yang kita lakukan harus bermatlamatkan keredhaanNya. Hanya dengan ini, kehidupan kita sentiasa tenang dan dibantunya selalu.

Ya Allah, bantuan-bantuan ini sangat membuatkan hati ini kuat untuk mencintaiMu. Aku sangat mengharapkan petunjukMu agar keimananku terus kental dan teguh.

[Entri CUBALAH MENGKUDU selepas ini]

Pengalaman menjaring ikan bandang laut

Kebanyakan masa terluang masyarakat pulau dimanfaatkan untuk memancing. Selain memancing, mereka juga menggunakan kaedah menjaring, menyelam dan menembak untuk dapatkan ikan.

Pantang turun ke laut, pasti bawa pulang sekurang-kurangnya berbelas-belas ekor ikan. Pak Yati istilahkan pulau Kokos sebagai syurga ikan. Yalah, kalau memancing di tepian pun kita boleh dapat berbelas-belas. Bukan ikan sebarangan, semuanya sedap-sedap belaka.


Ahad lepas aku diajak menjaring. Kami guna dua bot. Satu bot digunakan untuk menjaring dan satu lagi untuk menghalau ikan. Aku naik bot yang menjaring tu. Bergambar dulu dengan motor yang nak angkut bot ni.

Sampai ke tengah laut, aku disuruh turun. Eh, biar betul. Ceteklah. Oh. Jadi, aku pun turun. Paras peha saja airnya. Walaupun kami berada di tengah-tengah laut. Airnya sangat jernih. Pasir laut jelas kelihatan.


Selepas turun, jaring ditebarkan. Panjang jaring sekitar 100 meter. Aku pegang hujung sini dan Pak Yati pegang hujung sana. Selesai ditebarkan membentuk 'U', kami pun berjalan kaki ke arah bertentangan jaring.

Tugas seterusnya kena bersedia untuk halau ikan masuk ke jaring. Bot satu lagi dah mencari di mana kumpulan ikan bandang laut berada. Abang Adam terus meluncur laju bot ke arah kami. Ikan-ikan tu pun meluru ke arah kami.


Bersama aku, ada lagi 4 anak-anak berumur sekitar 10 tahun. Terjerit jerit Pak Yati dari jauh suruh aku berlari kembali ke jaring untuk tutup jaring. Tak mahu ikan keluar semula.

Aku ni bukan orang pulau. Jadi, aku tak nampak ikan-ikan dah meluru masuk ke jaring. Mereka dari jauh dah nampak. Aku pun berlari laju. Mencungap juga dibuatnya. Berlari dalam air..fuhh.


Semua orang berkumpul dekat jaring untuk keluarkan ikan daripada jaring. Aku pun belajar cara keluarkan ikan tersebut. Mudah saja. Pegang ekornya yang melibas-libas tu. Lepas tu, pegang badan ikan dan rapatkan pada badan. Barulah kemudian keluarkan kepalanya yang tersekat pada jaring.


Percubaan pertama membuatkan kami mendapat 32 ekor ikan bandang laut. Aku disuruh pula menggulung jaring tadi untuk pergi ke tempat lain pula. Kami terus mencuba untuk kali kedua dan ketiga. Tapi gagal.


Sempat kami singgah di pulau-pulau kecil berhampiran. Ini pondok yang didirikan Nek Kaya untuk berehat-rehat. Di sini juga tempat bela ayam. Yang menariknya, pondok ni siap ada katil dan tilam. Satu hari, mereka akan ajak aku bermalam di sini.Mmm..


Setelah hampir Asar, kami pun pulang. Hujan mulai turun. Kami perlu bergegas ke pantai kerana bot yang kami gunakan hanyalah bot kecil. Sampai di tepian, aku disuruh bawa motosikal 4 roda tu untuk tunda bot. Aku tunda bot terus balik ke rumah Pak Yati [Bawah: gambar aku bersamanya].


Di sana, isteri-isteri mereka sudah menunggu. Semua gembira melihat ikan-ikan tadi. Mereka pun mahu pastikan yang aku juga gembira. Sesudah ikan-ikan dibahagikan sesama mereka yang sama-sama turun ke laut, Nek Azrin terus siang ikan. Ditolong oleh Mak Adam dan Mak Yati.



Nek Azrin beritahu aku, alhamdulillah malaikat Mikail bagi rezeki. Tengok tu, dah berusia 65 tahun pun masih ingat apa yang aku ajar. Seronok hati aku mendengarnya.

Aku terus balik ke rumah dan mandi. Selepas solat Asar, aku pun terus ke dapur. Di sini biasanya kami suka duduk berkumpul untuk berbual. Bila sampai masanya, barulah makan malam.


Hidangan hari tu ialah ikan bandang laut goreng. Ikan tadi tu. Ya Rabbi, manis betul dagingnya. Setiap kali aku makan, aku mesti beritahu mereka keenakan makanan sini. Mereka sangat seronok dengan ekspresi aku. Hehe..

[Eh, kenapa tak ada siapa kenal ikan gelek hari tu? Ikan bandang laut ni apa kita panggil? Dua-dua ikan tu ada di Malaysia juga..]

AKAN DATANG: Cubalah makan mengkudu

Server down

Kalau ada cerita je tak seronok gak sebab takde gambar..jadi, nantikanlah ya. Lama aku menunggu upload gambar tapi tak boleh. Datang lagi ya nanti. Hehe.. Maaf dipinta.

Dua minggu berlalu


Di sini aku tinggal di rumah Pak Azrin dan Mak Azrin. Aku panggil mereka Pak dan Ibu. Dah macam mak ayah sendiri. Layanan mereka kepada aku sangat istimewa. Makan minum pakai semuanya dijaga. Inilah Pak Azrin dan Mak Azrin.

Macam entri lepas, aku pergi mengajar Al-Quran kepada nenek-nenek, sebaik selepas sarapan. Kali ini, aku diberikan basikal oleh Azrin, anak sulong keluarga angkat aku. Dia betulkan basikal yang tak diguna.


Jadi, aku kini berbasikal untuk ke markaz. Tapi aku masih risau sebab tak pakai helmet. Sini wajib pakai helmet. Kalau nampak dek polis, habis disamannya. Cuma hairannya aku hanya nampak anak-anak berhelmet bila nak ke sekolah. Kalau waktu lain, selamba saja tak pakai. Aku guna jalan belakang rumah. Jadi, tak apa kot..


Satu hari, Azrin ajak aku bagi makan burung. Inilah burung yang dibela jirannya. Kata Azrin, burung ini kalau gigit tangan kita tak sakit. Aku pun mencuba. Betullah tak sakit. Cuma kata Azrin, jangan terkejut saja. Macam dia tahu saja yang aku ni memang tak boleh dengan binatang-binatang yang suka buat aksi-aksi yang mengejutkan [siapa rapat dengan aku faham la].


Susah betul nak tengok kereta di sini. Majoriti mereka guna motosikal 4 roda untuk sebarang aktiviti. Ini Nek Adam, bapak kepada Mak Azrin. Inilah antara jenis motosikal 4 roda yang ada. [Maaf tak dapat tunjuk semuanya sebab PC lambat upload gambar]


Kalau motosikal 2 roda pula, kebanyakan mereka memiliki motosikal ini. Dulu mereka dapat percuma saja motosikal ni. Sebab ini motosikal yang tak digunakan lagi oleh posmen. Jadi, dihantar dari tanah besar Australia ke pulau ini. Tapi kini tak lagi.


Sabtu lepas, Mak Yusuf datang rumah. Diorang muallaf. Orang putih la. Dia nak minta aku mengajar anaknya Yusuf mengaji. Yusuf baru berumur 5 tahun. Dia yang pakai topi tu. Maknya tak sefasih dia bercakap Melayu. Semalam dah mula ajar dia. Bagus.


Mak Yusuf beri aku peluang tunggang motosikal dia. Fuh, satu-satunya motosikal yang sangat cantik dan sporty. 125 CC. Memang laju tapi tak sama macam tunggang motosikal 2 roda. Yang 4 roda ni susah nak buat pusingan sebab berat.

Pulau Kokos ini unik. Boleh dikatakan 80% perkara baru aku jumpa dan belajar. Perkataan yang digunakan jarang sekali sama dengan Melayu Malaysia. Makanan pula semuanya sedap-sedap belaka.

Banyak yang nak dicerita. Tengoklah kalau sempat nanti. Aku boleh layari internet seminggu sekali saja. Jadi, nantikanlah saja ya..

AKAN DATANG: Pengalaman menjaring ikan bandang laut

Apa aku buat


Ini ikan gelek burit. Di sini setiap hari pasti makan ikan. Kalau kita di Malaysia nak makan ikan-ikan laut dalam ini mahal harganya. Di sini setiap kali keluar memancing pasti dapat ikan seperti ini. Besar ikan-ikannya. Siapa pakar tang ikan mesti tahu kita panggil apa ikan ini. Cuba teka..


Kali ini aku mahu cerita tentang kerja aku. Setiap hari pada jam 8.30 - 10.30 pagi aku ditugaskan mengajar orang tua membaca al-Quran. Macam pernah aku ceritakan pada entri lepas.

Jarak rumah tempat aku menginap ke markaz tempat aku mengajar ialah 600 meter. Setiap hari aku pasti berjalan kaki ulang alik 3 kali. Sekalipun aku makan banyak, aku rasa rutin ini dapat mengekalkan bentuk fizikal badan aku.Hehe.


Aku punya 7 anak murid dan 2 saja yang boleh membaca dan menulis. Ini gambar aku sedang mendengar bacaan Iqra' Nek Azrin. Bacaannya semakin lancar. Walaupun buta huruf, kebanyakan mereka kini dah mula mengenali huruf-huruf dengan baik. Cuma sebutan masih belum lancar.

Di sini nama panggilan berlainan dengan nama sebenar. Nek Azrin contohnya. Azrin itu nama cucunya. Jadi sesiapa yang sudah ada cucu, dipanggil dengan nama Nek kepada nama cucunya. Kalau hanya ada anak belum bercucu, dipanggil Pak kepada nama anaknya. Contoh: Pak Azrin. Begitu juga dengan maknya.

Jadi, di sini aku tak tahu nama sebenar mereka. Memang panggilannya kena begitu. Cuma sesiapa yang belum berkahwin saja dipanggil namanya yang betul. Bila dia kahwin nanti, namanya dipanggil Pak [nama anaknya] pula.

Nama anak/cucu yang dikaitkan itu mestilah nama anak sulong. Itu saja. Mudah kan? Tapi itu yang membuatkan aku sangat susah nak ingat nama mereka. Sebabnya sini tiada panggilan datuk.

Nek Azrin tadi adalah panggilan bagi datuk kepada Azrin dan nenek kepada Azrin. Ini yang aku keliru. Terutamanya bila orang sini berbual-bual mengenai seseorang.



Selepas sesi pagi berakhir, aku lanjutkan pengajaran Fardhu Ain pada jam 1.30 petang hingga 3.30 petang. Walaupun aku pegang rotan dan dibenarkan merotan, aku masih tak mahu merotan. Sebabnya aku tak reti buat macam itu sekalipun kepada budak-budak. Cukuplah aku menaikkan suara saja.


Pada malam hari, bermula jam 6.30 malam hingga 7.30 malam, aku mengajar tajwid kepada anak-anak. Jumlah mereka seramai 8 orang. Mereka mudah faham dan ingat. Seminggu ini aku dah ajar 4 hukum tajwid. Yang paling seronok, bila aku soal, berlumba-lumba mereka angkat tangan nak menjawab.

Selesai isyak, aku luangkan setengah jam mengajar bapak-bapak pula makhraj huruf dan tajwid. Sesi ini banyak ketawa. Maklumlah orang tua dah ramai tiada gigi. Jadi, bila diminta sebut betul-betul, lidahnya tergeliat lah.

Inilah rutin harian aku. Cuma hari Sabtu dan Ahad saja yang tiada kelas petang. Untuk aku berehat. Tapi, ada ura-ura mereka nak beri aku cuti 3 hari untuk bercuti dengan mereka di satu pulau. Tengoklah nanti.

Cerita bergambar



Cerita kali ini bergambar. Sebelum tiba di Pulau Kokos, aku kena transit di Pulau Krismas. Pulau Krismas pernah aku kunjungi selama sebulan setengah pada tahun 2005.

Transit selama 2 jam cukup menjadikan aku subjek tumpuan di situ. Sebaik saja aku melangkah keluar, makcik-makcik di situ memanggil aku. Puas berbual dengan mereka. Dan yang pasti aku akan transit 2 hari bila nak balik nanti.

Kalau tadi naik MAS, kali ini naik National Jet [gambar di atas]. Lebih senyap dan selesa. Makan minum disediakan untuk sejam setengah perjalanan. Bila nak dihidangkan sandwich, aku tanya apa isinya? Takut-takut ayam/daging yang tak disembelih.

"You want MOML?"
"What is MOML?"
"Yeah, MOML.."

Eh, dia tak menjawab soalan aku. Lalu aku tanya pakcik sebelah. Dia pun tolong aku dengan meminta sandwich untuk vegetarian. Dan pramugari itu pun berikan aku sandwich dengan tanda MOML.

Aku tanya pakcik tadi MOML itu apa? Dia gelengkan kepala. Tak siapa pun tahu maksud MOML. Aku agak.. Mmm.. Moslem Meal (MOML). Mungkin kot..

-----


Sayang aku tak dapat seat tepi tingkap. Dapat tengok Pulau Kokos sikit-sikit saja. Berbeza daripada Pulau Krismas, pulau ini hanya tanah rata. Tiada bukit langsung. Dikelilingi air laut dan di dalamnya terbentuk lagun yang sangat besar. [Tanya kimi maksud lagun]

Sebaik saja kaki melangkah keluar dari National Jet, angin bertiup nyaman tak berhenti. Sempat aku ketik sekeping dua gambar selepas turun. Gambar ini diketik sewaktu berjalan menuju lapangan terbangnya yang kecil.

----


Untuk ke kampung Melayu di Pulau Gangsa (Home Island), kami perlu menaiki feri. Jeti terletak di Pulau Panjang (West Island), tempat di mana terletaknya lapangan terbang.



Pulau Kokos adalah nama bagi kesemua 27 pulau di sini. Penempatan hanya wujud di dua pulau tadi. Pulau-pulau lain sekadar tempat bersantai dan pelihara ayam.

Setibanya feri di jeti Pulau Gangsa, ramai ahli masyarakat sudah menunggu. Ketibaan kami disambut meriah. Rumah di mana aku ditempatkan menjadi tumpuan. Seorang demi seorang datang membawa lauk. Lebih 20 lauk yang terhidang untuk jamuan ketibaan ini.



Dahsyat tabiat makan orang-orang sini. Mungkin saiz perut mereka lebih besar. Aku masih terkejut dan belum boleh makan banyak. Tapi, aku takkan lepaskan peluang merasa makanan yang tiada di Malaysia.

Kimah dan kepala biola [Nanti aku tangkap gambar..tak sempat hari tu] sangat menyelerakan. Dimakan bersama sayur campur, memang kegemaranku. Aku tak rasa makhluk yang tersembunyi dalam cengkerang dan ditangkap secara menyelam ini boleh dijumpai di Malaysia.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...