header-photo

Meminta tapi tidak meminta

Dana yang aku perlukan masih belum mencukupi. Masih banyak lagi. Maka, hari demi hari aku pertingkatkan usaha. Inilah kali pertama aku berusaha melebihi usaha-usaha aku dalam projek-projek sebelum ini.

Simple calculation. Kalau seorang bagi RM100 darab dengan 20 orang, boleh dapat RM2000. Atas perkiraan semacam ini aku bertindak. Hampir 50 orang termasuk syarikat menjadi target aku.

Kalau ikut kiraan tadi, mungkin dah dapat RM5000. Hahaha. Tak semudah kiraan itulah. Bayangkan kita mendapat surat mohon sponsor. Mungkin kita menjawab begini:

"Eh tak pernah dengar persatuan ni.. entah-entah bohong.."

"Nampak hebat projek ni.. mesti banyak dana dia dapat.. cukuplah tu"

"Ahh tunggu dia telefon lah.."

"Banyaknya dia minta.. aku mana ada duit sebanyak tu"

"Daripada bagi budak ni, lebih baik aku tolong sedare aku.."



Andaikata beginilah jawapannya, maka kiraan tadi tak menjadi. Tak mengapa, bukan silap dia. Itu situasi normal seorang manusia biasa. Mungkin gaya approach aku tak mengena.

Lalu, ada sesetengah mereka yang aku telefon kembali. Bertanyakan respon, dan mereka semuanya menjawab masih membaca surat itu. Bos belum jawab. Dan sebagainya.

Ditakdirkan Allah bulan kesempitan ini aku lalui dengan pelbagai cabaran. Tau tak apa cabaran terbesar? Cabarannya ialah meminta bantuan daripada orang lain untuk menyumbang kepada aku tanpa aku mengharap dia menyumbang kepada aku.

Inilah yang sangat susah. Aku sedang usahakan. TUAN PUNYA duit masih belum mahu berikan duitNYA. Mungkin aku tak cukup rapat dengan DIA dan DIA belum serasi dengan aku. Hebat betul DIA uji aku.

p/s: RM10k masih diperlukan dalam tempoh 2 minggu lagi

Rakaman takbir raya

TV9 panggil buat rakaman takbir. Layankan saja. Aku ajak Nadmin ikut serta. Juga beberapa adik-adik matrik UIA aku ajak. Adik-adik UIA Gombak batalkan hasrat saat-saat akhir.

Masjid al-Bukhary berhampiran penjara Pudu menjadi lokasi rakaman. Wah, ramainya artis yang hadir. Yang paling aku berhajat untuk dampingi ialah Abdullah Fahmi. Pasti ada keberkatannya.

Bergambar dengan kawan lama,Najran yang kini bersama kumpulan Saujana

Hah tu pun dia para pemenang Akademi al-Quran musim 1 hingga 3

Ambil berkat al-hafiz yang sangat rendah diri

Azhan, pemenang Akademi Nasyid yang aku kagumi dek ketabahan seorang yang kurang upaya

Bukan main banyak burung merpati di perkarangan masjid ni.. siap disediakan 'cafe' khas untuk burung-burung ni

Sang Pemimpi



Acapkali kita bermimpi. Ada yang seronok. Sedih. Seram. Dan pelik. Tatkala kita celik, perasaan itu pun hilang. Sesekali terbawa sekejap ke dalam hidup realiti.

Gambar atas ni aku tangkap waktu ramadhan pertama. Adik aku keletihan dan tertidur di atas lantai bertemankan buku 'Sang Pemimpi'. Entah apa isi buku itu tak sempat aku terokai.

Malam tadi aku bermimpi. Tentang beberapa sahabat yang biasa aku jumpa. Membincangkan tentang apa yang perlu kita buat untuk agama. Rasa tidak cukup usaha mengembangkan fahaman dan ajaran Islam kepada ramai. Dalam pada itu, kami masih bercakaran.

Apa maksudnya? Entah. Jelas rasanya maksud itu. Tapi yang lebih jelas ialah aku tertidur. Saat aku terjaga, terasa rugi benar. Peluang untuk merebut malam al-Qadr semakin sempit. Subuh menjelang tiba.

TV terbuka dan kedengaran lagu raya. Apa ni? Ahhh, tidak. Aku tak mahu aidilfitri datang segera. Hari-hariku masih belum terisi sepenuhnya.

Tarawih semalam ada tazkirah. Dr Badrul Amin kata banyak kitab dalam membincangkan tentang malam al-Qadr, ianya jatuh pada 21 Ramadhan seandainya awal ramadhan ialah hari isnin. Ini hanyalah pembacaan para ulama'.

Cuba kita tanya di mana kita pada malam itu? Andainya kita bukan di tempat sepatutnya, marilah guna baki 7 malam ini. Mungkin peluang masih terbuka kerana Allah merahsiakan tarikh sebenar.

Hidup kita kebanyakannya berakhir dalam usia 60 - 70-an. Bayangkan Allah memasukkan kita dalam senarai peserta malam al-Qadr, 83 tahun 3 bulan ganjaran amalan kita. Lebih lama daripada usia kita. Siapa tak nak?

UnderGround Group Discussion

Sengaja aku kumpulkan beberapa budak underground baru-baru ini berbuka puasa dengan aku. Sudah lama kiranya aku bercadang untuk berjumpa 15 orang ini tapi selalu saja ada hal lain yang membatasi.

Aku seperti biasa. Sukakan gaya santai. Ceh, kopiah pakai waktu solat je. Huhu. Selepas berbuka dan solat Maghrib bersama, aku pun berborak santai sama mereka. Aku dah kurang berminat nak bagi ceramah/tazkirah.

Berbincang. Interaks 2 hala. Ini lagi puas hati. Topik yang paling aku suka bincangkan ialah cara berfikir. Mereka ni umur baru awal 20-an. Jadi, darah muda. Semangat. Keras. Dan pelbagai lagi ciri-ciri orang muda.

Kerana itu cara berfikir perlu diolah dahulu. Bagaimana kita mencipta persepsi dalam diri apabila melihat sesuatu perkara sama ada baik atau buruk. Dua orang yang berbeza mungkin memberikan reaksi berbeza apabila melihat seorang lelaki berkopiah tetapi memakai seluar pendek.

Cara berfikir yang akan menentukan status hati kita. Bila fikir bukan-bukan, hati jadi tak tenang. Apapun nak dibuat kemudiannya akan terganggu. Patutlah ramai orang yang berjaya suka berfikiran positif.

Cakap mudah, kawan-kawan..hakikatnya ia perlukan kepada latihan. Dan yang terpenting positif itu akan hadir apabila fikiran kita mengarah kepada Sang Pencipta Akal. Dari situlah akhirnya ketenangan diri diperolehi.

Emosi tak stabil

Salam..Jp g abg klau free dtg la umah k. Ajak smua. Kak nadzifah sekali. Smlm nmpk mka korg, rasa kuat sgt. lpas korg balik sayu gile.. ni bru nk tdoq. k, wslm



Mesej ini membuatkan aku gelabah. Aku kena segera ziarah mama dia. Hari itu hari Sabtu. Permintaan si adik agar aku bawa teman-teman lain. Jadi aku harapkan kenderaan ada.

Sudah takdir Ilahi, kenderaan agak lewat untuk aku dapatkan. Aku tidak dapat menyaksikan pemergian mama Syahira Jamel. Sangat terkilan dan kecewa.

Tapi aku bersyukur kerana Presiden PKPIM ada di sana memberi semangat agar Syira tabah. Entahlah mengapa aku sangat mengambil berat hal begini. Apatah lagi apabila kita hidup berpersatuan.

Persatuan kita adalah satu keluarga besar. Susah senang sama dirasai. Tiada dendam kesumat di hati. Salah silap dimaafi. Maka, hadirnya 'ahli keluarga besar' ini pasti memberi sejuta erti kepada Syira.

Sebelum pemergian mama Syira pada 6 September lalu, aku dan teman-teman dua kali menziarahi mamanya di HKL. MasyaAllah, perubahan sangat ketara saat arwah di rumah dibandingkan dengan dirinya di HKL.

Benar, semua ini kehendak DIA. Aku sering berpesan mohon agar Allah berikan yang terbaik. Juga aku ceritakan pada Syira, datuk saudaraku pernah alami nazak namun kini sihat kembali. Kun Fayakun..

Allahu Rabbul Jalal. Tidak DIA lewatkan sesaat mahupun disegerakan sesaat. Jika ajal tertulis untuknya, maka pergi dia selamanya. Alhamdulillah, aku dikhabarkan pemergian mama Syira amat mudah. Dalam keberkatan Ramadhan inilah, ruhnya kudoakan tenang menghadap Ilahi.

Namun, hatiku masih terkilan seolah-olah berlaku salah pada mama Syira kerana tidak sempat hadir saat dia menghembuskan nafas terakhir. Esoknya adalah hari ulangtahun kelahiranku. Kesayuan hatiku inilah penyebab aku terlebih emosi seperti yang telah aku catatkan.

Semalam adalah hari besar buat agama kita. Seramai 14 mujahidin mati syahid dalam peperangan Badar yang telah menyelamatkan aqidah kita. 300 mujahidin ini dijanjikan Syurga. Dan atas keberkatan Ahli Badar ini, aku doakan ruh mama Syira ditempatkan bersama penghuni Syurga. Ameen..

Majlis Iftar Perdana




Makluman kepada warga PKPIM-ABIM-UIAM batch 2000/2001 - 2005/2006 (matrik zaman Amirnya IKRAM atau maincamp zaman Amirnya NABIL), anda dijemput untuk menghadiri iftar ni [Sila klik pada gambar untuk paparan lebih besar]

Kiranya inilah grand reunion kita. Dan inilah peluang terakhir kalian dapat jumpa aku sebelum aku berangkat ke China. Lepas tu, kena tunggu setahun lagi.

Selain kita dapat bertemu, aku ada agenda penting yang ingin dibincangkan memandangkan keadaan semasa yang memerluan partisipasi kita dalam membantu agama kita yang dicintai.

Perjumpaan kita memanglah 'Hanya Kerana DIA'..

Senarai nama yang telah mengesahkan kehadiran (dikemaskini pada 18.9.08 )
  1. Suhail
  2. Malie
  3. Farahida
  4. Nadmin
  5. Raja Nurbaizura
  6. Fadliana
  7. Nabil
  8. Hammad
  9. Apep
  10. Nua Kudus
  11. Husna
  12. Farhana
  13. Dayne Azmin
  14. Nurliyana
  15. Khairi Othman
  16. Hilmi (Berg)
  17. Kak Hana
  18. Kak Bijah (sangat dialu-alukan..hehe)

Dana diperlukan



Hasil kunjungan wartawan UTUSAN tempohari, terbitlah liputan berita projek dakwah saya ke Guangzhou, China dalam ruangan Bicara Agama pada 10 September 2008.


Saya dijangka memulakan projek pada 9 Oktober 2008 sehingga 20 September 2009. Sepanjang tempoh ini, saya memerlukan dana kewangan yang banyak. Namun, untuk jangka masa terdekat ini, RM10,000.00 masih diperlukan.

Kepada sesiapa yang ingin menyumbang, sumbangan boleh dibuat secara tunai, cek atau deposit terus ke :

Penama : Tabung Kebajikan & Pendidikan ABIM
No Akaun : 14-023-01-0011188
Bank : Bank Islam Malaysia Berhad


(surat pengecualian cukai akan diberikan atas permintaan)

Sesiapa yang inginkan kertas kerja penuh projek ini, sila hubungi saya di talian 017-6144026 atau emelkan ke muhdsuhail.ahmad@gmail.com.

[TAMBAHAN]

Memandangkan ada yang meminta no akaun peribadi untuk sumbangan skala kecil kepada saya, berikut adalah butirannya:

Penama : MUHAMMAD SUHAIL BIN AHMAD
No Akaun: 154017030227
Bank : Malayan Banking Berhad (Maybank)

nanti saya cuba upload video hasil tinjauan ke Guangzhou tempohari kalau sempat

Jadikan al-Quran bacaan umum







Memang menunggu komuter menduga kesabaran. Bulan Ramadhan adalah bulan pembentukan diri. Mungkin ini yang sedang aku lalui.

Sebelum komuter sampai, kelihatan seorang pemuda ni membaca al-Quran sambil berdiri. Satu situasi unik. Biasanya quran dibaca di masjid. Di masjidlah, tangan-tangan kita rajin membuka mushaf itu.

Aku jadi kagum dengan perbuatannya membaca al-Quran tanpa segan silu di khalayak. Cuba tanya diri kita, segan tak baca al-Quran semacam dia? Kalau ditanya aku, memang ada sedikit rasa janggal dan malu.

Komuter pun tiba. Aku seterusnya menaiki komuter dan tukar ke LRT Putra untuk ke Gombak. Dalam LRT, kelihatan seorang pemuda dan seorang pemudi. Mereka juga membaca al-Quran.

Pemudi itu membaca secara jahar. Iaitu membaca dengan lafaznya didengari. Berbanding pemuda pertama yang aku temui, dia membacanya dalam hati. Manakala pemuda di samping pemudi ini pula seperti sedang mengulangi hafazannya sambil memegang al-Quran untuk semakan.

Bulan ini memang membuatkan mereka tak segan langsung. Dan mungkin itu kebiasaan bagi mereka walaupun bukan pada bulan puasa. Cuma memang inilah pengalaman pertama aku menyaksikan fenomena unik ini.

Hakikatnya, memang sepatutnya tak perlu malu kan? Andai itu kitab yang kita yakini benar, mengapa tidak kita membacanya sebebas kita membaca novel? Baca al-Quran waktu menunggu di stesen bas. Atau di dalam bas. Atau di tepi jalan.

Tapi aku memilih untuk tidak berbuat begitu. Kerana payahnya menjaga kesucian diri dan kesucian al-Quran itu. Takut-takut aku melayannya seperti novel. Letak dalam beg. Beg letak di kaki waktu duduk dalam bas. Sukar pula nak kekalkan diri dalam berwudhu. Dan kalau bawa al-Quran terjemahan besar pula.

Aku pilih mendengar mp3. Lebih ringan, mudah dan selesa. Dalamnya ada al-Quran, koleksi lagu dan radio. Kagum sangat aku kepada para pemuda dan pemudi tadi.

Melihat dari dua sisi



Agak lama aku menunggu komuter di stesen Serdang. Mataku meliar melihat persekitaran. Dan akhirnya tertumpu pada papan tanda di atas.

Jikalau dibaca oleh si adik kecil, mungkin soalannya, "Ada kereta ke jalan kat sini?"
Dan jika dijawab pula begini, "Bukanlah, CAR tu maksudnya komuter la.."
Si adik kecil dengan tegas mungkin berkata ," Adik belajar kat sekolah, CAR tu kereta dan TRAIN tu keretapi.. komuter la tu.."

Salah ke apa yang dikatakan si kecil itu? Tidak. Dia hanya mengenali CAR dengan maksud yang satu itu. Sedangkan kita mungkin sudah mengetahui maksud lain CAR dalam peristilahan sistem pengangkutan. [sila klik sini]

Jadi, adalah sangat rugi berbalahan untuk menegakkan faham masing-masing atas sebab istilah. Dari sisi si kecil, benarlah fahaman dia. Dan dari sisi kita, juga benar. Cumanya si kecil masih belum dapat adaptasi kepada realiti semasa. Sebabnya dia masih mentah.

Lalu aku terus terfikir, mengapalah istilah sering menjadi bahan perbalahan antara kita dalam menegakkan kerja Islam. Contoh, Negara Islam. Satu sisi, mempertikaikan 'keislaman' Malaysia. Satu sisi lain, mempertahankan 'keislaman' Malaysia.

Akhirnya berbalahlah soal istilah bertahun lamanya sedangkan pengisian untuk kerja-kerja Islam itu langsung tak dapat berlaku. Mana penting? Istilah atau 'Isi'nya?

Memandang dari sudut akademik, istilah memang penting. Tak dinafikan. Tapi marilah ramai-ramai kita memandang dari sudut praktikal, ketepikan soal istilah. Gunakan saja perkataan yang mesra umum. Yang penting, isinya.

Bukan apa, terlalu ramai yang masih mentah.. masih kecil. Biar istilah itu dibicarakan dalam diskusi ilmiah. Orang umum cukuplah diterangkan dengan bahasa mudah. Yalah, tiada gunanya juga kalau istilah digembar-gembur tapi isinya tiada.

Samy Vellu pernah marah apabila dia dikatakan sebagai 'kafir'

Di hari kelahiranku


Tak seperti tahun-tahun sebelumnya. Apabila jam berdetik tepat pukul 12 malam tanggal 7 September, akan kedengaran bunyi mesej pertama yang diikuti dengan mesej-mesej seterusnya. Biasanya melebihi 10 orang mengucapkan 'hepi besday' kepada aku.

Tahun ini tidak sebegitu. Hanya 2 orang iaitu tunangku dan Timdina. Aku rasa lain sangat.. Mungkin kerana terbiasa 'dibelai' setiap 7 September dek rakan-rakan. Rasa sangat dihargai. Kini.. lain sekali.

Kenapa ya? Aku terfikir sendirian. Oh mungkin bulan puasa, orang tak ambil perhatian. Atau masing-masing sudah mula sibuk dengan diri dan famili. Atau sebab aku sendiri tak pernah wish besday mereka. Mmm..

Alhamdulillah, MAXIS beri hadiah panggilan percuma ke semua talian MAXIS. Hampir kesemua rakan MAXIS aku hubungi. Puas hati.

Aku bukanlah mengharap sangat pada ucapan itu. Aku pun lelaki, tak kisah sangat. Cuma bila terbiasa, akan terasa pula bila tiada. Dan beberapa minit melangkah masuk 8 Sept, Kimi hantar sms ucap 'hepi besday'.

Pagi tadi dapat pula ucapan Nadmin. Aku buka blog ni, ada ucapan Shazni. Buka friendster pula, ada ucapan ramai lagi. Wah, rupa-rupanya mereka masih ingat pada aku. Lega..

Terima kasih tak terhingga kepada nama-nama berikut yang membuatkan aku tidak berasa janggal dengan kesunyian tanpa ucapan 'hepi besday' keluarga, tunang dan teman-teman yang aku sayangi semua:

1)Ibu, ayah dan famili
2)Nur Nadzifa
3)Siti Fatimah
4)Arin
5)Kimi
6)Nadmin
7)Shazni
8)Hakim
9)Zainab
10)Norin
11)Annein Jihan
12) Hammad
13)Amy Zawani
14)Amalinazmy
15)Kak Bijah
16)Ryana
17)Asmazira
18)Najmuddin
19)Nurul Izzah
20.. (semua yang aku call hari tu..)

Apapun, orang wish ke tak, aku tetap TUA..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...