header-photo

Server down

Maaf sebab tak dapat kemaskini blog ini. Talian internet di sini diserang virus. Jadi, aku terpaksa menumpang komputer lain.

Baru-baru ini aku ke Singapura. Selain bertugas mengambil gambar, aku juga berkesempatan bertemu Mariah Mah. Dia orang cina Muslim yang arif tentang komuniti Islam di China.

Aku dijadualkan ke China pada akhir tahun ini. Tarikh yang pasti belum ada. Bergantung kepada persediaan dan dana. Kalau segala-galanya cukup, maka aku akan lebih awal ke sana.

Di Singapura, aku terasa keamanan dan ketenteraman yang betul berbanding Malaysia. Maksud aku, hubungan antara agama. Hairan bukan apabila aktiviti persatuan Islam ditaja persatuan Buddha.

Program aktivis sukarelawan melibatkan anak-anak terbiar dan bermasalah yang semuanya beragama Islam juga dibantu sukarelawan Kristian dari gereja berdekatan.

Kemurahan hati peniaga Cina beragama Buddha jelas dilihat apabila dipersembahkan kegiatan mendidik anak-anak Islam, dengan spontan dia mengeluarkan cek dan menderma SD 20,000. Sejak itu juga dia tetap menderma setiap bulan.

Makin mengagumkan aku apabila Masjid Ba'alawi sering dikunjungi pemimpin-pemimpin agama lain untuk diskusi dalam isu-isu yang disepakati. Mereka tidak pernah berbalah.

Islam diterima oleh agama-agama lain. Di sana ada Pusat Harmoni (Harmony Centre) yang menempatkan semua aktivis agama. Satu tingkat ke satu tingkat lain, anda akan dapati agama yang berbeza.

Namun, di setiap tingkat itu, mereka hanya menceritakan tentang agama mereka agar difahami. Tidak sekali-kali menghina agama lain atau menimbulkan isu yang memecahbelahkan.


Hairan? Mungkin ada yang merasionalkan keadaan ini dengan mengatakan mereka takut dengan undang-undang. Erm.. mungkin juga itu penyebab asal.

Tapi apa yang berlaku kini bukannya kerana undang-undang. Mereka mempunyai semangat toleransi yang hebat untuk meminimakan perselisihan faham.


Apakah kita di Malaysia perlukan undang-undang juga untuk mencapai toleransi begini? Sebenarnya pada hemat aku, tak perlu. Kita orang Islam sendiri perlu berusaha bertoleransi dahulu.

Nampak mudah tapi susah. Sebabnya kita di Malaysia sering mencari isu untuk perselisihan. Tak perlu sentuh bab antara agama, sesama agama pun masalah makin meruncing.

Tambah pula pilihanraya tinggal seminggu saja lagi. Kita lihatlah pemimpin-pemimpin kita. Adakah dia mempunyai toleransi yang baik atau sering menghina orang lain?

Bukankah yang terbaik ialah menjual produk kita? Bukan mencerca produk orang lain. Seperti di Pusat Harmoni. Inilah kayu ukur yang aku letakkan pada diri dalam menilai sejauh mana pemimpin itu harus diraikan.

Nak tengok berita aku ke Singapura, sila klik di sini

Menyahut cabaran Sol-Jah


Hey korang, sini ada satu iklan menarik. Satu program yang kita boleh sertai. Sangat santai pada fikiranku. Terima kasih madulebah atas berita ini. Cuma.. erm, sebarkan kebaikan itu digalakkan bukan sekalipun mungkin kita tak dapat pergi. Setuju?

Kesenian yang mendamaikan


Aku baru saja menemani kumpulan USRATIKA ke RA Fine Arts Gallery milik Pak Raja (orang kebanyakan memanggilnya Pak Ungku). Di sana kami berpeluang mempersembahkan lagu puisi buat karyawan lain untuk penilaian umum.

Tak disangka-sangka, antara tetamu yang hadir ialah Dato' A. Samad Said, Sani Sudin (Kopratasa) dan Pyan Habib. Ramai lagi sebenarnya yang sangat hebat dalam dunia seni dan sastera yang turut serta tapi kami sendiri belum mengenali mereka.


Tugasan aku sebagai krew Serambimaya, pasti akan merakamkan setiap aktiviti. Sesudah itu, aku ajak rakan-rakan USRATIKA ke Laman Santai. Sudah takdir Tuhan mempertemukan kami dengan Sani Sudin. Cukup banyak pesanan yang diberikan kepada kami golongan muda yang baru melangkah untuk berdakwah melalui seni.


"Perjuangan ini memakan masa. Tak termakan kita. Kadang-kadang termuntah balik..."

"Nak dapat ilmu perlu berguru. Wajib berguru. Takde karang memang sesat jadinya..."

"Kenapa seni dipandang hiburan semata-mata? Sebenarnya seni membuatkan kita mengenali siapa diri kita..

Kau kenal siapa diri kau? Kalau kau tak kenal, macam mana kau nak kenal pencipta diri kau?"

Inilah antara kata-kata Sani Sudin yang setiap hari boleh kita temui di Balai Seni Lukis Negara. Di situlah dia berkarya dan menjual karyanya. Hanya berbasikal dari Gombak ke Ampang.

Dalam mengukuhkan gerak kerja dakwah (termasuk bidang seni ini) 3 elemen ini tak boleh dipisahkan. 1) Ilmu. 2) Ruh (amalan ruhiyyah). 3) Kumpulan yang menggerakkan. Dan akan pincanglah natijah yang dihajati jika elemen-elemen ini terpisah. [sumber: buku 'Hassan al-Banna wal halaqatul mafqudhoh']

Semoga aku dan penggerak-penggerak lain dapat berusaha mengikat rapi setiap elemen menjadi rantai penyambung kepada risalah kebenaran yang ingin disebarkan.

Biadab atau bi adab

Pada suatu hari, anda didatangi seorang tetamu. Kedatangannya disambut mesra. Dedaun pintu terbuka luas menyambutnya. Lalu dia dipersilakan duduk di sofa empuk yang cantik dan bersih.

Sambil berbual mesra, isteri anda datang menjamunya minuman panas dan sedikit halwa mulut. Lalu anda pelawanya makan.

Sambil mengunyah, dia mencungkil-cungkil celahan gigi mengeluarkan sisa makanan itu. Sekejap dia guna tangan kiri. Sekejap dia guna tangan kanan.

Tanpa segan silu, dia menyeret dan menyapu jari tangan tadi pada sofa anda. Dia tak sedikit pun membersihkan jari itu dengan air yang anda sediakan.

Apa reaksi anda? Dan apa pula tindakan anda apabila dia ingin pulang dengan dihulurkan tangannya menyalam anda?

***

Aku ke IKIM pada Jumaat lalu. Hajat ingin bertemu Us Zamri untuk berbincang tentang media Islam. Sebelum itu, aku sempat solat Jumaat di Masjid Wilayah.

Duduk bersebelahan dengan orang tua harus beradab. Tapi kali ini aku biadab. Bukan bi adab (Bahasa Arab= dengan adab). Kerana si tua itu adalah tetamu biadab Rumah itu.

Tak seperti kisah di atas. Kisah ini bukan berkenaan sisa makanan pada celah gigi. Tapi sisa kotoran pada dinding hidung. Anggota terlibat masih sama, iaitu jari tangan kanan dan kiri.

Mangsanya pula ialah tikar permaidani sejadah Rumah itu. Wajarkah dia buat begitu?

Salam? Memang aku tak bersalaman dengan dia sebaik habis solat sunat sebelum Jumaat. Bahkan aku melarikan diri ke saf hadapan untuk menenangkan jiwa.

Ini Rumah itu, bukan rumah biasa. Rumah yang sangat menerima tetamu dan melayan mereka dengan layanan luarbiasa. Aku selesa menjadi biadab dengannya kerana tiada ruang untuk aku menjadi orang yang bi adab (baca: bi adabin).

Melangkah setapak ke hadapan

Sila layari blog terkini SERAMBI MAYA.. Aku rasa sudah tiba masanya untuk aku maju ke depan.. Aku dah serius nak jadi fotografer ni.. Hehe..

Doa menjaga 'harta'

Aku pasti ramai di antara kenalan aku mengenali tokoh yang ingin aku ceritakan. Orang yang aku maksudkan adalah seorang bekas mufti Pulau Pinang.

Syeikh Azmi adalah antara barisan pemimpin yang pernah memberi bimbingan kepada aku dan rakan-rakan dalam menjalani proses kematangan diri. Ingatkah lagi wahai sahabat-sahabatku sewaktu kita mengenali beliau buat kali pertama di Sri Rampai?

Itulah pengalaman pertama aku mendekati ulama'. Tak pernah terfikir untuk berbual atau berbincang dengan seorang mufti seawal umur 20-an. Setinggi mana pun mereka ini, tidak pernah mereka memperkecilkan kita. Kerenah anak muda sanggup dilayan.

Hakikatnya beliau juga manusia biasa. Yang bisa gembira dan sedih. Yang bisa ketawa dan menangis. Dalam menempuhi keadaan yang sering berubah dari semasa ke semasa.

Semalam aku berkesempatan berbual dengan seorang kakak yang agak rapat dengan mak mertua Syeikh Azmi. Banyak perkara yang diceritakan termasuklah sesuatu yang tidak diketahui ramai.

"Sampai takat mana kaki Syeikh Azmi dipotong?"

"Sampai atas lutut"
"Akak sedih bila dengar Mak Ungku cerita bla bla bla.."


Tak siapa sangka penyakit beliau semakin kronik sehingga menyebabkan kaki beliau dipotong. Begitu juga dengan diri beliau sendiri. Syeikh Azmi, menurut cerita kakak itu, asyik membuka selimut menutupi kakinya yang dipotong dan menutupnya kembali.

Berulang kali beliau berbuat demikian. Sebelum dipotong, beliau berusaha menunjukkan bahawa kaki beliau masih elok dengan membuat senaman ringan menggunakan kaki itu. Tapi sebenarnya kaki beliau tidak boleh berbuat demikian.

"..1..2..3..10"

Kiraan beliau dilangkau selepas 3 kepada 10 bagi menunjukkan seolah-olah beliau boleh menggunakan lagi kaki itu untuk bersenam sebanyak 10 kali ulangan. Hakikatnya, beliau tidak berdaya lagi.

Sesiapa yang hadir di Kampung Baru Medical Centre (KBMC) pada waktu itu sayu melihat keadaan Syeikh Azmi. Derita seorang muslim seharusnya menjadi derita muslim yang lain.

Sebelum aku mengakhiri perbualan dengan kakak itu, aku dimaklumkan bahawa Syeikh Azmi kini mengalami komplikasi jantung pula. Beliau baru sahaja dimasukkan ke CCU di tingkat 1 IJN.

Tidak seperti di KBMC, ramai yang beratur untuk bertemu dengan Syeikh Azmi dengan mudah. Di IJN, pelawat adalah dihadkan dan tiada sesiapa dibenarkan menemani beliau.

Hari ini adalah hari pertama beliau dimasukkan ke IJN dan aku memohon kepada sahabat sekalian yang membaca entri ini untuk menyebarkan maklumat ini dan mendoakan agar beliau segera sembuh. Mereka ini harta berharga buat kita.
p/s: aku tulis entri ini pada 5.2.08 tapi tak sempat siarkan cepat

Terkini

Silalah kunjungi laman fotopages hasil shooting aku untuk pakej perkahwinan yang ditawarkan dalam SERAMBI MAYA

Butiran lanjut akan diterangkan kemudian..
Masih dalam proses kemaskini..
Gambar-gambar terkini akan dimasukkan tak lama lagi..
Jangan lupa tinggalkan komen anda..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...