header-photo

Sudah ketetapanNya

Semalam aku sangat terkejut dengan berita kematian Loloq sebab berita dia koma tidak aku ketahui. Maklumlah rumah tiada tv dan jarang membeli akhbar.

Tahun ini ramai orang yang dikenali meninggalkan kita. Antaranya Pak Harto, Megat Junid, ayah Rosyam Nor, emak Razif Arshad (kawan aku), nenek Farah Fauzana, Loloq, Christopher Fernandez dan Dato’ Ishak Baharom. Semua ini berlaku dalam tak sampai sebulan menjelang tahun baru.

Sejauh mana kita bersedia menerima keadaan begini. Saat kita kehilangan orang yang tersayang dalam hidup. Aku selalu berfikir mengenainya.

Semua kisah pemergian mereka yang aku nyatakan tadi benar-benar mengejutkan kita. Siapa kita? Kita tiada jalinan saudara pun dengan mereka melainkan seagama. Itu pun sudah berasa terkejut. Bagaimana dengan ahli keluarga terdekat mereka? Pasti lebih terkejut kan?

Kejutan begini yang selalu mendebarkan aku. Di sekeliling aku ramai insan tersayang yang sangat bermakna dalam mencorakkan hidup aku. Mereka yang mewarnai detik masa yang berlalu dan membimbing aku melangkah ke hadapan. Pastinya kehilangan mereka sekelip mata bisa menyentap jiwa dan meruntun emosi aku.

Kata ustazah aku, "Jika kamu terkejut melihat orang yang sihat di sekeliling kamu tiba-tiba mati, bagaimana pula dengan si mati itu sendiri?"

Kata-kata ini lebih menakutkan aku. Kalau tadi, orang lain yang mati. Bagaimana pula kalau aku sendiri yang mati. Selama ini, bingkas aku bangun pagi terselamat daripada mati sebenar. Tidur dikatakan umpama mati tapi sementara.

Jadi, kalau aku bangun dari tidur, semuanya berbeza daripada biasa, aku yakin aku sangat terkejut. Mungkin kejutan ini yang ustazah aku maksudkan. Cuba bayangkan kita bangun dalam kegelapan dan didatangi makhluk Allah yang tak pernah kita lihat.

Hanya yang bersedia tidak mengalami kejutan.

“Allah memegang jiwa(orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa orang yang belum mati di waktu tidurnya; Maka Dia tahanlah jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia melepaskan jiwa yang lain sampai waktu yang ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang berfikir” [Az-Zumar(39):42]

“Orang yang paling bijak adalah orang yang paling banyak mengingati mati dan paling bersedia menghadapinya”(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Lagu untuk tersayang

Baru-baru ini aku kembali ke warung di mana aku terjumpa mamat yang aku ceritakan dalam entry 'Berhati-hati'. Masakan di sini sedap-sedap belaka.

Mamat tu semacam kenal aku lagi. Mujur kali ini tak memakai baju yang sama tempohari. Riak wajah dia tak semanis dulu. Mungkin meluat dengan aku (ini kalau fikir negatif) atau sedang hadapi masalah (ini kalau fikir positif).

Kisah kali ini berkenaan sepasang suami isteri dan seorang anak kecil yang berumur dalam lingkungan setahun. Aku memang pantang melihat anak kecil yang comel, pasti akan kurakamkan keletahnya. Disebabkan keletihan, aku malas ambil gambarnya (walaupun kamera ada).

Tiba-tiba kedengaran ibunya menyanyi
"..Empat belas melintang jalurnya, Semua negeri dalam Malaysia, Satu suara satu semangat, Itu sumpah warga berdaulat..
Jalur gemilang... di bawah naunganmu, Jalur gemilang... kami semua bersatu.."


Serentak itu, anaknya mengangguk-anggukkan kepala mengikut rentak lagu. Di dalam hati, aku pula berkata: ".. Wah, patriotiknya mendidik anak."

Sejurus selepas itu, ibunya menyanyi lagi. Lagu lain pula kali ini:
".. Jangan tidur lagi.. jangan tidur lagi.."

Anak kecil itu mengangguk-anggukkan kepala mengikut rentak lagu. Hati aku berkata lagi : ".. Anak ini selalu didodoikan depan tv agaknya.. Kalaulah sejak kecil dialunkan dengan zikir atau lagu ketuhanan, mungkin hatinya akan mudah terdidik.."

Tak semena-mena selepas aku berbisik begitu, si ayahnya pula menyanyi. Lagunya:
".. La ilaha illallah.. La ilaha illallah.. La ilaha illallah.."

Dan anak kecil itu terus mengangguk-anggukkan kepalanya seperti orang-orang tua di surau berzikir selepas solat sambil melenggokkan kepala ke kiri dan ke kanan.

Hatiku ketawa sendirian.


Bersantai bersama keluarga


Semenjak aku menganggur sementara ni, aku selalu pulang ke Melaka. Rumahku Syurgaku. Itulah ungkapan yang sering aku gambarkan untuk rumahku di Melaka.

Kalau aku sedang sakit, sakitku akan cepat sembuh. Kalau aku gelisah, hatiku kian tenang. Kalau aku bosan, diriku akan terhibur. Kalau aku buntu, fikiranku akn mudah bercambah. Semuanya tatkala aku kembali ke rumahku ini.

Pastinya ada aktiviti menarik setiap kali pulang ke Melaka. Kali ini kami ke Taman Botanikal Melaka. Dahulunya dikenali sebagai Hutan Rekreasi.

Teringat aku sewaktu remaja dulu, selalu kami ke sini untuk berjogging pada setiap hujung minggu. Tapi kini tidak lagi. Masing-masing sudah berjauhan.

Kepada sesiapa yang mengunjungi negeriku, marilah ke sini untuk menikmati udara nyaman dan sihat. Tambahan pula bagi peminat fotografi, banyak shot boleh ditangkap.

Bagi peminat buku, Kampung Buku pun ada. Jadi, marilah sama-sama kita hargai alam sekitar yang semakin hari semakin dihimpit pembangunan. Mungkin suatu hari nanti, baru kita tahu padahnya mengabaikan 'mereka'.

p/s: lagi gambar dalam fotopages aku

Berhati-hati


Cuba korang tengok pada baju mamat ni. Dah nampak belum? Satu kata-kata yang bagus tertera di belakang bajunya. Cuma ada sesuatu yang mencurigakan.

Aku tertanya-tanya adakah dia ini orang Melayu? Apabila aku sebut Melayu, ia sewajibnya seorang Muslim. Aku cukup tak setuju dengan kewujudan Melayu Kristian dan sebagainya. Maaf, aku tak mahu bicara panjang hal ini.

Dengan kesempatan yang ada, aku bertanya mamat ni.

"Abang, tumpang tanya sikit"
"Gapo dio?"

"Siapa Samuel yang tertulis kat belakang baju ni?"
"Entoh, tok tahu"

"Abang tak kenal Samuel tu sape?"
"Kawe pake baju ni tok tahu apo"

"Kalau tak silap saya, ini dari kitab Bible, puak Kristian"
"Iyo?"

Dalam keadaan sedikit tercengang, dia pergi meninggalkan aku selepas menghantar makanan yang dipesan. Sekali sekala aku nampak ditarik-tarik baju yang dipakainya. Dia kelihatan seperti bingung.

Hati aku terdetik untuk menegur kerana aku rasa bersalah kalau aku tak betulkan. Yalah, mana tahu dia tak tahu apa yang dipakainya. Memang pun dia begitu.

MAN LOOKS ON THE OUTSIDE BUT GOD LOOKS AT THE HEART (Samuel 16:7)

Mesej yang disampaikan baik dan benar. Namun, kita seorang Muslim punya rujukan kuat yang telah menyempurnakan kata-kata itu iaitu al-Quran dan al-Hadis. Tuhan yang dimaksudkan dalam Samuel berbeza dengan Tuhan kita. Konsep jelas bercanggah.

Tugas kita untuk menegur dan berdakwah ni bukan apabila kita diberi jawatan untuk kerja itu, tapi ia adalah tanggungjawab setiap individu bergelar Muslim.

Cuma, bezanya ialah kekuatan kita pada waktu itu. Kalau berupaya, gunakanlah kuasa yang ada, atau lidah atau setidak-tidaknya dalam hati untuk menjalankan tanggungjawab itu.

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh, rupa luaran dan harta kamu, tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu” (Riwayat Muslim)

Tahun Baru

1 Muharam 1429H. Hari ini adalah hari baru buat aku. Aku benar-benar merasakan nikmat bertemu tahun baru berbanding tahun-tahun sebelum ini. Macam biasa sebelum ini, aku akan membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun.

Kali ini sedikit berbeza. Mungkin kerana kali ini aku menyertai secara formal perayaan tahun baru hijriah ini. Aku bukan sahaja mengikut program sambutan ini sewaktu Asar dan selepas Maghrib.

Ayah dan ibu, maafkan suhail atas salah silap suhail selama 26 tahun hidup ini..
Abang, maafkan suhail atas kurang kemesraan dalam komunikasi selama ini..
Adik-adik, maafkan abg suhail atas kekasaran dalam membimbing..
Kawan-kawan, maafkan aku atas keterlanjuran dalam bersahabat..

Rasulullah, maafkan aku atas kealpaan untuk mencintai-Mu sepenuhnya..
Umat Muhammad, maafkan aku kurang berjasa untuk membantu kalian..
Allah, ampunkan aku atas dosa-dosa silamku yang sering kuulangi..

Doakan agar tahun ini menjadikanku lebih baik daripada tahun lalu.

Aidiladha di Kelantan



Ramai kata sambutan Aidiladha di Kelantan sangat meriah. Jadi aku, buat pertama kalinya, menjejakkan kaki ke Kelantan semata-mata untuk menikmati kemeriahannya.

Aku menumpang teduh di rumah kawan sepejabat, Laza. Kami tiba di sana jam 8.00pagi sebelum solat sunat Aidiladha bermula. Sepanjang perjalanan, tiada yang mencemaskan seperti yang didakwa media tentang banjir yang melanda.

Aku ringkaskan saja lah perkara-perkara menarik berkenaan Aidiladha di sini :

1) 4 ekor lembu ditumbangkan di rumah penghulu Kg Ketereh (biasa je, tak menarik pun..) Yang menariknya bukan pada lembu tapi pada penghulu. Satu kampung ada 2 penghulu, masing-masing lain bendera.

2) Ziarah menziarahi amalan biasa. Yang menariknya semua rumah menyajikan nasi dan juadah berkonsep daging (kebanyakkannya sup) Banyak juga kejadian tetamu pening dan demam (sebab banyak makan daging).

3) Aku mula meminati budu. Selama ini aku makan itu saja, patutlah tak sedap. Kini dah tahu rahsianya, penyekkan cili padi, campur tempoyak sikit dan perah limau. Fuhh..

4) Keramahan orang Kelantan dengan bahasanya tersendiri membuatkan aku terpikat dengan masyarakatnya.

5) Ayah kawan aku banyak mengeluarkan kata-kata nasihat yang berguna seperti :

"Bila kita nampak orang lain maju ke depan, kita jangan berundur walaupun kita tak mampu jadi seperti dia"

"Makin besar periuk nasi, makin banyak keraknya"

"Kita orang jantan, kena tunjuk kejantanan tu.. jangan sampai orang perlekeh kita"



Belum terpesona


Ayahku memiliki kereta Gen2 dan pernah berselisih pendapat dengan jurujual Persona.
Sebabnya ayahku mengatakan ia adalah Gen2 yang ditambahbaik pada beberapa spesifikasi.
Jurujual itu pula menolak pernyataan ayahku dengan mengatakan ia adalah model lain.

Tambah ayahku lagi walaupun Persona memiliki but yang lebih panjang daripada Gen2, bukaan but itu lebih kecil daripada Gen2
Maka, ruang but yang dikatakan lebih besar tidak dapat memuatkan bagasi yang lebih besar.
Jurujual itu turut menolak pernyataan ini.

Hakikat kebenaran kata-kata ayahku pada pandanganku adalah benar.
Jika dipandang dari jauh pun kelihatan Persona itu persis Gen2.

Apapun aku dan ayah bukan ingin merendah-rendahkan Persona disebabkan mempunyai Gen2.
Tetapi berpandangan seharusnya Persona itu dapat memberikan kelainan yang ketara.
Barulah sesuai dikatakan ia model baru, bukannya tambahbaik daripada Gen2.

Aku saja-saja ubahsuai tempat letak nombor plat untuk melihat kelainan yang ketara.
Ya, dengan meletakkannya di posisi itu membuatkannya nampak lebih eksekutif.
Tapi aku yakin ubahsuai yang ketara ini takkan membolehkan harganya semurah hari ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...