10 Ogos 2005

Biarlah Adil...

Memang sudah menjadi rutin harian bagi sahalfikri membaca buku yang cukup bermakna baginya. La Tahzan karangan Aidh al-Qarni benar-benar mengajar dirinya untuk tidak bersedih dalam banyak keadaan. Cukuplah baginya membaca satu babak untuk satu malam sebelum tidur. Semalam dia meneruskan rutinnya seperti biasa. Tajuk yang dibuka kali ini berbunyi, "Demikianlah telah kami jadikan kamu umat yang adil dan terpilih".

Kita harus adil dalam mengendalikan setiap perasaan dan keinginan. Bahkan kerelaan dan kemurkaan juga perlu kita sikapi dengan adil. Begitu juga kegembiraan dan kesedihan. Tindakan berlebihan pada sesuatu dan melampaui batas dalam menyingkapi peristiwa lalu bererti kita menzalimi diri sendiri.

Akibatnya, semua yang dihadapi seseorang itu sekadar khayalan dan ilusi semata-mata. Rasa curiga dan was-was pada orang lain. Kadangkala terasa khuatir akan tiba suatu saat kebahagiaan kita direntap orang. Demikianlah perasaan itu sering berada dalam kegelisahan dan kecemasan.

Sahalfikri teringat pada pesan ibunya, "Suhail, jangan mengata orang lebih-lebih. Nanti suatu masa akan kena pada kita pula." Pesan ibu itu hanya diambil sekadar kata-kata nasihat biasa. Tidak lebih daripada itu. Namun, segala-galanya terbukti apabila hari demi hari, pelbagai peristiwa berlaku.

Entahlah nak cerita macamana pun tak tahu. Mungkin rakan-rakannya juga pernah merasai perkara yang sama. Cukup banyak contoh orang-orang yang cukup keras dalam memberikan pandangan atas sesuatu isu termasuklah dirinya.

"Mana boleh berlembut dengan perempuan. Aku tak suka nak jaga hati perempuan. Leceh.."
"Aku takkan keluar dengan perempuan. Kau tengoklah budak tu, langsung tak ingat dosa pahala ke? Free je dapat dosa"


Macam-macamlah kata-kata yang pernah menerjah telinga sahalfikri. Sebagai orang biasa, mungkin kadangkala terlepas cakap. Akhirnya, tiada siapa sangka rupa-rupanya apa yang kita tegah dan sindir dengan keras terkena pula pada diri sendiri. Pada waktu itu, tiada apa yang dirasakan salah. Semua yang dilakukannya betul walaupun dahulunya berbeza. Mungkin itulah balasan yang ditimpakan pada kita jika kita melampaui batas dalam penilaian kasar terhadap orang lain.

Sahalfikri terfikir untuk berkongsi dengan rakan-rakannya akan sebuah hadis Rasulullah :

"Cintailah orang yang Anda cintai sesuai dengan kadarnya, sebab boleh jadi suatu hari nanti dia menjadi musuhmu. Dan, bencilah musuhmu sesuai dengan kadarnya, sebab boleh jadi suatu hari nanti dia menjadi orang yang Anda cintai."

Kecintaan dan kebencian juga harus diseimbangkan seperti yang dipesan Rasul. Sahalfikri terus sahaja selepas menghabiskan bacaannya pada babak tersebut, menghadap komputer untuk menaip butir penulisan yang ingin dikongsi dengan rakan-rakannya. Sebaik sahaja selesai menaip, matanya yang cukup berat untuk dibuka telah membawa dirinya ke alam ruh setelah batang tubuhnya yang longlai menyentuh tilam empuk di sebelah meja komputer .

Obiter Dicta : Terima kasih kepada Hisham sebab pernah memberi pesanan untuk jangan mempercayai seseorang 100% tetapi simpanlah 40% untuk persiapan menghadapi kemungkinan kepercayaan yang diberikan dikhianati. Dengan 40% inilah mampu menjana kembali semangat untuk menjadi 100% semula. Nampak macam 'poyo' tetapi inilah modal yang aku guna untuk sesi kaunseling dengan teman-teman.. sekali lagi terima kasih pada Hisham (kem salam pada isteri.. hehehehe)

Tiada ulasan:

Daun Rerama Pengubat Sakit Kronik

Kelmarin saya sempat bertemu dengan pakcik Khamarul, seorang pengusaha daun rerama hijau sejak 2006 lagi. Pengalaman beliau merawat pesakit ...

Popular